TANGGAL 31 Ogos adalah tarikh keramat buat rakyat Malaysia dan kebiasaannya hari bersejarah ini disambut secara besar-besaran dengan adanya acara perarakan, persembahan dan pertunjukan bunga api.

Namun, bagi kumpulan yang terdiri daripada 12 anak muda dari Kelab Sosial dan Rekreasi Halal Development Corporation Berhad (HDC), memilih untuk menyelam di dasar laut Pulau Tioman sambil mengibarkan Jalur Gemilang antara kelainan yang ditampilkan mereka dalam usaha menzahirkan rasa kesetiaan ketika negara berdepan krisis kesihatan.

Tujuan mereka lain adalah untuk menyemarakkan lagi semangat patriotisme dalam kalangan masyarakat meskipun kita berada dalam ‘tempoh ujian’ bagi mengadaptasi norma baharu ekoran pandemik yang melanda seluruh dunia.

Selain daripada menyemarakkan semangat kemerdekaan, ekpedisi itu dijayakan sebagai tanda sokongan kepada industri pelancongan yang terjejas akibat jangkitan Covid-19.

Wow, 12 anak muda kibar Jalur Gemilang di dasar laut semarakkan semangat kemerdekaan

Penyelaras program, Fakhirin Mohd Fauzi berkata, cetusan idea untuk mengibarkan Jalur Gemilang di dasar lautan diadakan berikutan keterbatasan meraikan Bulan Kemerdekaan tahun ini seperti kebiasaan selain menghidupkan aktiviti gaya hidup sihat dalam kalangan anak muda khususnya.

“Kita sedia maklum pandemik yang melanda dunia dan negara memberikan impak bukan sahaja dari segi ekonomi tapi juga kepada norma kehidupan harian.

“Sambutan kemerdekaan pada tahun ini juga agak terbatas tetapi sebagai rakyat Malaysia yang cintakan negara, kita semua bertanggungjawab menghidupkan suasana kemerdekaan ini dengan aktiviti gaya hidup yang sihat,” katanya.

Tambahnya lagi, suasana kemerdekaan ini harus diraikan dan ini adalah antara aktiviti yang mampu menanam sifat sayangkan negara kita.

“Kejayaan mengibar Jalur Gemilang buat pertama kali di dasar laut adalah satu kepuasan yang tidak terhingga buat kami.

“Dalam masa yang sama, saya berharap ia dapat menyemarakkan lagi semangat patriotisme di kalangan sesiapa saja meskipun kita berada dalam tempoh ujian dalam mengadaptasi norma baharu,” katanya.

Selain daripada aktiviti menyelam, Kelab ini juga turut menganjurkan aktiviti pendakian Merdeka pada 22 Ogos yang lalu, yang telah disertai lebih daripada 20 Orang ahli kelabnya di Bukit Sapu Tangan, Shah Alam, Selangor.

Pendakian Kemerdekaan

Aktiviti pendakian seringkali di lakukan oleh Kelab tersebut dan pelbagai kawasan pendakian yang telah diterokai, namun pendakian kali ini memberi objektif yang berbeza di mana para pendaki mengibarkan Jalur Gemilang di Puncak Bukit Sapu Tangan.

Iklan

Seiring dengan semangat kemerdekaan, aktiviti pendakian memerlukan stamina, semangat, fizikal dan mental yang kental untuk melalui halangan sepanjang trek pendakian. Dengan ini, dapatlah kita lihat di mana semangat kerjasama antara satu sama lain dapat dipupuk.

Ia merupakan salah satu objektif lain pendakian kemerdekaan ini, di mana dapat menyemarakkan jiwa kemerdekaan, bertujuan membina  semangat patriotisme dan setia kawan di kalangan para pendaki.

Walaupun disertai dari golongan pelbagai peringkat usia, namun mereka berjaya sampai ke puncak bagi merealisasikan misi merdeka.

Iklan

Ini merupakan satu kepuasan apabila dapat mencapai sesuatu dengan semangat yang membara disamping memupuk gaya hidup sihat dikalangan warga HDC.

Perpaduan dan kerjasama erat tanpa mengira latar belakang pasti memberi hasil terbaik seperti yang dapat dilihat dari semangat waja warga HDC.

Walaupun berdepan dengan pandemik global, semangat kesukanan masih perlu diterapkan di kalangan rakyat Malaysia sejajar dengan SOP yang telah ditetapkan. Kesihatan mental dan fizikal perlu dijaga agar kita dapat menikmati gaya hidup yang sihat.