MUSIM panas yang melanda kini akan menjadikan kita sentiasa kering tekak dan minum lebih banyak.

Mendapatkan minuman yang cukup pada hari-hari panas ini adalah penting untuk menyejukkan diri dan menyegarkan badan.

Tetapi apakah minuman musim panas yang terbaik?

Nikmati kesegaran jus dan minuman sejuk yang enak untuk meredakan rasa dahaga.

Pastinya jika disediakan sendiri di rumah lebih jimat dan menepati cita rasa semua ahli keluarga.

1. Bandung strawberi laici

Bahan-bahan;

  • 2 sudu makan gula
  • 2 sudu makan sirap
  • 5 sudu makan susu cair
  • 1 biji strawberi dibelah 4
  • 5 biji laici dalam tin
  • Air dan ais secukupnya

Cara membuatnya;

1. Larutkan gula dalam air.

2. Masukkan sirap dan susu cair. Kacau sebati.

3. Masukkan strawberi dan laici.

4. Tambahkan air dan ais. Sedia diminum.

INFO: Masam strawberi membantu mengurangkan muak sirap bandung

2. Soda serai bermadu

Bahan-bahannya;

  • 2 sudu makan madu
  • 1 cawan soda
  • 1 batang serai diketuk

Cara membuatnya;

1. Letakkan madu di keliling dinding gelas.

2. Masukkan soda.

3. Masukkan serai. Biarkan seketika.

4. Letakkan ais (jika suka). Sedia untuk diminum.

INFO: Harum serai memberikan rasa segar pada minuman.

Baca juga Air zamzam ‘the best’, ini 7 minuman terbaik di dunia

3. Air katira

Bahan-bahannya;

  • 1 sudu makan sirap hijau
  • 2 helai daun pandan
  • 1 liter air
  • 1 tin susu cair
  • 250 ml soda
  • Sedikit katira/ getah anggur
  • Sedikit sagu
  • 1 sudu makan cendol, cincau, gajus, badam, kacang tanah yang digoreng serta kurma
  • 3 biji buah kabung
  • 1 sudu makan kismis
  • 1 sudu teh biji selasih
  • Sedikit buah semangkuk
  • Gula batu secukupnya

Cara membuatnya;

1. Jerang sirap hijau, gula batu dan daun pandan dalam 1 liter air.

2. Kemudian masukkan semua bahan. Biarkan 30 minit supaya semua bahan sebati.

3. Sejukkan dalam peti sejuk atau tambah ais. Sedia diminum.

INFO: Selain gula batu, boleh juga gunakan gula pasir.

Tak rugi bagi siapa yang suka makan buah mangga!

4. Jus mangga pudina

Bahan-bahannya;

  • 2 biji mangga
  • 2 sudu besar yogurt
  • 2 gelas air
  • 1 biji limau kasturi
  • Sedikit daun pudina

Cara membuatnya;

1. Kupas mangga dan hiris buahnya. Kisar mangga dan yogurt bersama 2 gelas air.

2. Tuangkan jus mangga ke dalam gelas.

3. Hiris limau kasturi dan masukkan ke dalam gelas.

4. Tambah air gula jika suka.

5. Masukkan ais dan letakkan daun pudina.

INFO: Mangga harumanis lebih sedap digunakan kerana rasanya yang sedap dan baunya pula harum.

5. Peppermint lemonade

Bahan-bahannya;

  • 4 sudu makan gula
  • Secubit garam
  • 3 tangkai pudina
  • 500ml air
  • 2 biji lemon di perah jus dan tapis
  • Ais secukupnya

Cara membuatnya;

1. Masukkan gula, garam dan pudina ke dalam bekas. Isikan air. Kacau sehingga gula larut dan daun pudina agak hancur.

2. Masukkan jus lemon.

3. Tambahkan ais. Siap untuk diminum.

INFO: Renyuk-renyukkan daun pudina untuk lebih membangkitkan aroma mint dalam minuman.

strawberi

6. Jus strawberi laici

Bahan-bahannya;

  • 5 biji strawberi
  • 1 cawan air
  • 4 sudu makan gula
  • 5 biji laici
  • Air dan ais secukupnya

Cara membuatnya;

1. Kisar halus strawberi dengan 1 cawan air dan gula.

2. Masukkan jus yang telah dikisar ke dalam cawan.

3. Tambah air jika perlu.

4. Masukkan laici dan ais. Kacau sekejap. Sedia diminum.

INFO: Selain laici, boleh gunakan buah manis lain seperti ceri, mangga atau rambutan.

7. Air kelaut

Iklan

Bahan-bahannya;

  • 2 sudu makan gula
  • 2 gelas air
  • 1 sudu teh pewarna biru
  • 50gm tembikai ] potong dadu
  • 1/2 biji epal hijau, belimbing, oren dipotong dadu
  • 2 keping nanas dalam tin
  • 1 sudu makan biji selasih direndam
  • Ais secukupnya

Cara membuatnya;

1. Masukkan gula ke dalam air dan kacau sehingga larut. Masukkan pewarna.

2. Masukkan semua buah yang dipotong dadu, nanas dan biji selasih. Kacau sebati.

3. Masukkan ais. Sedia diminum.

INFO: Boleh pelbagaikan buah-buahan mengikut kegemaran anda.

8. Jus limau asam boi

Bahan-bahannya;

  • 2 sudu makan gula
  • 3 biji asam boi
  • 3 biji limau kasturi
  • Air dan ais secukupnya

Cara membuatnya;

1. Buat air gula dalam periuk kecil. Ketepikan.

2. Rebus asam boi dalam sedikit air. Ketepikan.

3. Belah dua limau kasturi. Kisar bersama secawan air dengan kulitnya. Tapis.

4. Masukkan air yang telah ditapis dalam cawan.

5. Masukkan air gula, asam boi dan ais. Sedia diminum.

INFO: Jangan guna air rebusan asam boi dalam minum. Bimbang jika terlalu masam.

Tular di Twitter dan permintaan tinggi, Nestlé terpaksa henti jual Milo di Jepun

Baca juga Minum air terlalu banyak boleh undang bahaya? Ini amalan sihat lain yang boleh jejaskan kesihatan

9. Cincau Milo tabur

Bahan-bahannya;

Iklan
  • 4 sudu makan serbuk Milo
  • 3 sudu makan susu pekat manis
  • 1/2 cawan air panas
  • 1/2 cawan air sejuk
  • 3 sudu makan cincau
  • Ais secukupnya
  • 3 sudu makan Milo untuk tabur

Cara membuatnya;

1. Masukkan Milo, susu pekat manis dan air panas. Kacau sehingga larut.

2. Tambah air sejuk. Kacau lagi.

3. Masukkan cincau. Biarkan 30 minit supaya rasa cincau sebati dengan rasa Milo.

4. Tambahkan ais. Sedia diminum.

INFO: Tidak perlu masukkan gula kerana Milo sudah sedia manis.

10. Sirap longan masam manis

Bahan-bahannya;

  • 2 sudu makan gula
  • 1 sudu makan sirap
  • 2 gelas air
  • 6 biji longan dalam tin
  • 1 biji lemon
  • Ais secukupnya

Cara membuatnya;

1. Larutkan gula di dalam air.

2. Masukkan sirap. Kacau sebati.

3. Masukkan longan.

4. Belah 2 lemon. Sebelah diperahkan ke dalam sirap. Sebelah lagi hiris untuk hiasan.

5. Tambah ais. Sedia diminum.

INFO: Buat sendiri sirap menggunakan gula, pewarna merah dan daun pandan lebih menyedapkan minuman anda.

Selamat mencuba!

Sumber : rasa.my

Jangan lupa follow kami di Instagram dan lawati portal SinarPlus

Dapatkan info daripada SinarPlus! Join grup Telegram kami DI SINI