K-DRAMA dan K-pop sudah pastinya menjadi antara faktor utama kenapa ramai rakyat di negara ini memilih untuk melancong ke Korea Selatan.

Penulis juga tidak terkecuali. Hampir setiap hari menonton K-drama di kaca televisyen, peluang keemasan yang diberikan untuk terbang ke negara itu baru-baru ini menjadi kenangan terindah buat penulis.

Tambah mengujakan, lokasi yang dibawa oleh Organisasi Pelancongan Korea bersama syarikat penerbangan, Batik Air bukan ‘biasa-biasa‘.

Ahli rombongan dibawa menjelajah ke 12 buah lokasi yang wajar dimasukkan dalam senarai destinasi pilihan anda jika berpeluang menjejakkan kaki ke sana.
Berikut penulis kongsikan destinasi-destinasi yang bakal membuat pembaca SinarPlus teruja:

1 Gangneung Ojukheon


Bagi mereka yang berminat dengan sejarah Korea, Ojukheon merupakan lokasi yang wajib dilawati.

Ia merupakan tempat kelahiran bangsawan Yi Yulgok yang wajahnya tertera pada duit 5,000 won dan ibunya, Sin Samidang (pada duit 50,000 won).

Di sini juga anda boleh bergambar dengan bangunan seni bina tradisional Korea.

2 Arte Museum Valley Gangneung


Kepada peminat seni, anda boleh singgah ke Arte Museum Valley yang terletak di daerah Gangneung.

Muzium ini sarat dengan karya seni ulung lagi kreatif yang menggunakan teknologi terkini. Percayalah, ia sangat mengujakan!

3 Mona Yongpyong Resort


Bagi anda yang meminati drama bersiri Crash Landing On You dan Winter Sonata, pastinya destinasi ini akan mengusik perasaan.

Banyak adegan dan momen menarik dilakonkan di sana. Barangkali singgahan anda di sudut-sudut tertentu akan terus mengingatkan kita tentang babak tertentu.

Untuk pengetahuan ramai, Mona Yongpyong Resort yang terletak berhampiran menjadi pilihan untuk melihat pemandangan Korea Selatan dari kawasan pergunungan.

4 Goseong Hani Lavender Farm


Golongan wanita pastinya menyukai Hani Lavender Farm ini. Aroma bunga lavender dapat dihidu terus ke rongga hidung membuatkan sesiapa pun berangan duduk lama di sana.

Selain hamparan bunga berona ungu itu yang cukup luas, terdapat bunga-bungaan lain yang pantas menangkap pandangan mata. Ah! Suasananya cukup menyegarkan.

5 Pasar ikan Jumunjin


Jika ingin melihat suasana pasar di Korea, datanglah ke pasar ikan tradisional Jumunjin.

Anda akan rambang mata melihat kepelbagaian hasil laut yang segar-bugar.

Kalau ikutkan hati, memang teringin membeli dan memasak terus.
Disebabkan lokasinya yang berdekatan dengan laut, maka harga jualan sangat berpatutan.

6 Yangyang Surfyy Beach


Kalau anda melihat foto-foto viral di media sosial termasuk babak drama popular Korea, Lovestruck In The City, di sinilah destinasinya.

Para pelancong boleh menyewa papan selancar untuk beraktiviti. Selain itu, pantai ini juga dilengkapi dengan sejumlah tempat istirehat dan kafe.

Jika anda tiada keinginan atau belum cukup kuat berbuat demikian, tidak salah hanya menghayati pemandangan atau menonton aksi hebat peluncur lain.

7 Pocheon Ilgyeong Farm


Memetik sendiri buah strawberi dan belajar membuat jem merupakan pengalaman yang menarik untuk diceritakan kepada kawan-kawan mahupun ahli keluarga. Sangat berbaloi kerana rasa buahnya cukup manis.

Jangan risau, layanan baik daripada pemilik kebun ini yang cukup ramah dan pemurah akan membuatkan anda seperti tidak mahu balik.

8 DMZ Gimpo Aegibong Eco Peace Park


Daripada banyak lokasi yang dikunjungi, DMZ Gimpo Aegibong Eco Peace Park merupakan singgahan yang bermakna buat penulis dan ahli rombongan lain.

Di sinilah kami berpeluang melihat pemandangan Korea Utara. Walau dari kejauhan, pengalaman melihat panorama di negara itu sangat mahal dan akan dikenang buat selama-lamanya.

9 Pocheon Herb Island

Iklan

Segala jenis herba daripada pelbagai bentuk, warna dan saiz terdapat di Pocheon Herb Island.

Semestinya, kesemuanya baik untuk kesihatan wanita dan lelaki. Sebelum membeli, anda boleh mendapatkan nasihat dan panduan daripada petugas di sana.

10 Rice Flower‘s Farmer

Kalau mengikut radius, Rice Flower‘s Farmer terletak di kawasan luar bandar. Namun, sebaik tiba, rasa lelah itu akan terubat apabila anda dipelawa mempelajari cara pembuatan kopi tradisional cara orang Korea.

Satu lagi, pelancong juga akan diajar membuat sambal masyarakat itu dengan cara paling mudah.

11 Positive Space 566


Bukan bangunan setingkat tetapi empat tingkat. Tidak hairanlah Positive Space 566 diisebagai kafe terbesar di dunia! Bayangkan, premis tersebut boleh menempatkan kapasiti 2,190 tempat duduk.

12 Hyundai Motor Studio Goyang


Di Hyundai Motor Studio, anda akan diterangkan secara ringkas, namun jelas bagaimana cara pembuatan jenama kereta yang terkenal di Korea ini.

Cara penerangan dengan teknologi yang dihasilkan membuatkan anda kagum dan yakin selamat.

Jom terbang ke Korea dengan Batik Air

LEBIH BANYAK ALTERNATIF. Bagi anda yang ingin melancong ke Korea Selatan, kini syarikat penerbangan, Batik Air sudah pun menambah negara tersebut dalam destinasi terbaharu mereka.

Iklan

Berdasarkan rekod, penerbangan pertama ke Incheon telah dijadualkan pada 24 Jun lalu.
Menurut Pengarah Grup Strategi Batik Air/Lion Air Group, Datuk Chandran Rama Muthy, pihaknya sangat teruja dengan penambahan destinasi ke Korea Selatan yang mana permintaannya sangat menggalakkan.

“Seperti yang ramai tahu, populariti Korea Selatan dari segi hiburan seperti muzik, drama, filem dan makanan telah menarik minat ramai rakyat Malaysia untuk terbang ke negara ini.

“Oleh itu, dengan penerbangan Batik Air terus ke Seoul, rakyat Malaysia boleh merasai sendiri pengalaman tersebut,“ katanya ketika ditemui SinarPlus baru-baru ini.

Chandran berkata, pihaknya berharap kehadiran Batik Air dapat menarik minat rakyat Korea Selatan pula untuk melancong ke Malaysia.

INFO
Penerbangan Batik Air dari KLIA ke Incheon, Korea Selatan dijadualkan pada setiap hari, jam 10.30 malam dan tiba pada jam 6 pagi.

Sementara pelepasan dari Incheon ke KLIA pula pada jam 7 pagi dan tiba jam 12.50 tengah hari.

Batik Air menawarkan harga istimewa termasuk pembelian makanan di dalam kapal terbang atau secara pratempahan.

Untuk maklumat lanjut, layari laman web batikair.com.my atau malindoair.com atau terus ke instagram @malindoair, @kto_malaysia dan @monayongpyong_global

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di TwitterInstagramYouTubeTiktok SinarPlus & Threads @sinarplus@threads.net. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi.

Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang