DALAM kalangan penduduk di Kelantan, kuih gerodok telur dianggap antara  signatur kuih negeri itu terutama pada bulan puasa.

Hal tersebut diakui oleh anak jati Kelantan, Raja Noor Amanina Raja Mohd Faiza atau lebih mesra dengan panggilan Nina yang berkongsi pengetahuan dan cara-cara pembuatan sajian itu dengan SinarPlus.

Ujar Nina, kuih gerodok telur sebenarnya dikenali sebagai kuih sekaya telur bagi penduduk di negeri-negeru lain.

“Untuk makluman semua, 80 peratus bahan membuat kuih ini menggunakan  telur,” katanya ketika dihubungi SinarPlus baru-baru ini.

Memperincikan lebih lanjut, ujar remaja berusia 24 tahun itu, untuk  satu adunan kuih berkenaan, biasanya ia menggunakan 10 biji telur.

“Tujuannya bagi menghasil dan membangkitkan rasa lemak telur yang ‘menyengat’ dan sedap apabila digabung bersama santan. Resipi ini sebenarnya telah diolah sehingga puas hati oleh saya dan insya-ALLAH, hasilnya memberangsangkan,” katanya yang mempelajari membuat kuih itu kerana ayahnya sangat menggemari menu minum petang atau pemanis mulut ketika bulan puasa itu.

Sebelum beliau bercerita lanjut, penulis bertanyakan padanya, apa maksud ‘gerodok’? Jawab Nina, ia bermaksud adunan yang dikacau dengan tangan.

“Pada zaman dahulu, nenek moyang kita hanya menggunakan tangan sahaja untuk sebatikan adunan kerana tiada mesin pengisar,” katanya.

Nina berkata, bahan untuk membuat kuih gerodok telur seakan-akan ramuan yang sama membuat kuih akok.

“Untuk mendapatkan kuih yang kelihatan ‘molek’, adunan kuih perlu dipukul sehingga berbuih untuk mendapatkan tekstur kuih yang sangat lembut dan sebati.

“Sebenarnya, tak susah pun. Paling penting, seseorang perlu mahir dalam mengawal kuantiti telur kerana kuih ini tidak memerlukan penggunaan tepung yang banyak seperti kuih-kuih lain,” tuturnya.

Khas untuk pembaca SinarPlus, Nina berkongsi satu tips istimewa untuk membuat kuih gerodok telur lebih cantik.

“Saya sarankan orang ramai boleh mencuba menggantikan telur ayam dengan telur itik. Selain itu, bagi mengelak bau hanyir pada kuih pula, pusat pada telur tersebut perlu dibuang dengan teliti,” katanya.

Iklan

PROFIL

  • Nama: Raja Noor Amanina Raja Mohd Faiza
  • Umur: 24 tahun
  • Asal dan menetap: Kota Bharu, Kelantan
  • Facebook: Raja Amanina

RESIPI KUIH GERODOK TELUR

Bahan-bahan:
  • 10 biji telur gred A atau B
  • 1 ketul gula melaka
  • 1/2 cawan gula
  • 1 1/2 cawan santan pekat
  • 1/2 sudu teh garam
  • 2 helai daun pandan
  • 4 kuntum bunga cengkih
  • 1 cawan air
  • 1 sudu makan tepung gandum
Cara penyediaan:
  1. Satukan air, gula melaka, gula, bunga cengkih dan daun pandan dan masak hingga larut lalu tapiskan.
  2. Satukan telur, garam, santan dan tepung gandum (dikacau sehingga sebati, tidak perlu sampai kembang).
  3. Masukkan air gula melaka ke dalam bancuhan telur, kacau sehingga sebati dan tapiskan.
  4. Panaskan kukusan dan isi adunan ke dalam loyang.
  5. Adunan dikukus 30 hingga 40 minit.
  6. Kuih gerodok telur siap untuk dihidangkan.

Sumber: Raja Amanina Raja Mohd Faiza 

Iklan

ANEKDOT

RESIPI PULUT DAKAP

Bahan-bahan:
  • 3 cawan beras pulut
  • 1 sikat pisang raja atau pisang awak yang masak ranum
  • 3 cawan santan pekat dan ½ sudu teh garam
  • Daun pisang secukupnya (dilayur sehingga layu)
  • Tali untuk mengikat secukupnya
Cara-cara:
  1. Rendam beras pulut selama sejam dan kukus hingga masak. Gaul rata dengan santan ketika pulut masih panas dan ketepikan seketika.
  2. Ambil pisang dan belah dua. Sendukkan pulut dan letakkan di tengah-tengah daun pisang. Ratakan pulut dan letakkan pisang di tengah-tengahnya.
  3. Lipatkan daun pisang seperti membalut lepat. Pastikan pulut membalut keseluruhan pisang. Buat sehingga pulut dan pisang habis.
  4. Ambil dua bungkus pulut dan kembarkan keduanya secara bersemuka iaitu lipatan bertemu lipatan. Ikat dengan tali di bahagian atas dan bawahnya sehingga habis semua berpasangan.
  5. Setelah selesai bolehlah dikukus selama lebih kurang 25 minit atau 30 minit. Angkat dan hidangkan.

Sumber: Facebook Aneka Resepi Kuih Muih