SEBUAH kelab permotoran, Anita Bikers Club melaksanakan pendekatan tersendiri dalam usaha membantu kerajaan mengurangkan kemalangan jalan raya membabitkan penunggang motosikal menerusi penganjuran konvoi secara berhemah.

Presidennya, Anita Yusop berkata, menerusi kempen itu, peserta konvoi terlebih dahulu diajar oleh pakar pemotoran mengenai etika menunggang dan mengendalikan motosikal dengan betul termasuk ketika berdepan detik cemas.

“Selain mengajak mereka menunggang dengan berhemah sepanjang konvoi, kita juga akan melakukan pelbagai aktiviti lain seperti pembersihan pantai, pembersihan di kampung Orang Asli dan menyantuni anak yatim sebagai pengisian konvoi.

“Ini kerana kita mahu hobi menunggang motosikal ini turut memberi manfaat kepada masyarakat,” katanya.

Konvoi yang disertai 30 peserta itu bermula semalam di Sendayan, Negeri Sembilan menuju ke Melaka sebelum ke utara negara dan kembali semula ke Melaka pada 30 September ini.

Tidak dinafikan aktiviti menunggang secara berkumpulan atau berkonvoi mampu memberikan kepuasan dan sememangnya menyeronokkan sekiranya dijalankan secara beretika dan tidak menimbulkan kontroversi ataupun bahaya kepada diri sendiri, peserta konvoi dan pengguna jalan raya yang lain.

Antara beberapa etika dan panduan berkonvoi adalah seperti berikut :

1. SERTAI KURSUS LATIHAN

Sertai sebarang kursus yang berkaitan dengan aktiviti berkonvoi. Tidak kira sama ada korang memandu atau menunggang. Pengetahuan teori dan praktikal berkonvoi sangat penting dan berguna ketika korang menyertai konvoi yang sebenar.

2. PENGURUSAN MASA

Tiba awal ditempat permulaan. Dengan ini jadual perjalanan tidak akan terganggu, tidak tergesa gesa mengejar masa yang terlepas dan ini juga bermakna tunggangan akan menjadi lebih selamat. Ketibaan awal membolehkan peserta melakukan senaman ringan (stretching) dan membuat pemeriksaan secara serentak dengan peserta konvoi yang lain.

Iklan

3. PEKA DENGAN ARAHAN

Sentiasa dengar dan peka dengan maklumat yang disampaikan oleh penganjur atau pihak marsyal ketika sesi taklimat diadakan.

Ini sangat penting kerana segala tempat berhenti rehat, mengisi minyak, jarak tunggangan serta makan dan minum akan diberitahu ketika taklimat.

Kefahaman mengenai perkara perkara itu dapat membantu memahami situasi yang akan ditempuhi semasa berkonvoi.

Iklan

4. PAKAIAN YANG SESUAI

Pakaian hendaklah sesuai dengan cuaca dan mudah dilihat, kasut, sarung tangan, helmet, vest pantulan cahaya, bezakan vest yang dipakai oleh marsyal dengan peserta konvoi. Gunakan hanya helmet yang mendapat pengiktirafan SIRIM.

PATUHI UNDANG-UNDANG

Semua yang terlibat dengan konvoi sama ada marsyal, peserta mahupun penyelaras tidak dibenarkan sama sekali untuk menggunakan siren dan lampu amaran.

Hanya pihak PDRM yang mengiringi konvoi tersebut sahaja yang berkuasa berbuat demikian, termasuklah menahan, mengalir dan mengubah lalu lintas bagi memberi laluan kepada pergerakan konvoi.