KENCING manis atau diabetes mellitus tidak mengenal usia. Terbahagi kepada dua iaitu Jenis 1 (kekurangan insulin atau T1DM) dan Jenis 2 (rintangan insulin atau T2DM) juga boleh terjadi kepada kanak-kanak.

Apabila anak anda yang sihat dan aktif disahkan menghidap diabetes, hidup ibu bapa mungkin bercelaru memikirkan masa depan dan risikonya kepada kesihatan.

Perunding Endokrinologi Pediatrik IMU Healthcare dan Pensyarah Kanan dalam Pediatrik di Universiti Perubatan Antarabangsa, Dr Meenal Mavinkurve, memberi pencerahan yang boleh meredakan kerisauan ibu bapa berkaitan diabetes kanak-kanak.

“Kanak-kanak yang menghidap melitus diabetes boleh mencapai apa sahaja,” katanya.

Sepanjang berkhidmat, beliau enemui ramai ibu bapa yang berasa terkejut, tidak berdaya dan berputus asa apabila anak mereka disahkan menghidap diabetes.
Namun keadaan itu ada penyelesaiannya. Ia boleh diuruskan dengan keluarga dan pasukan rawatan diabetes.

“Saya benar-benar mahu pesakit dan ibu bapa memahami yang kanak-kanak penghidap diabetes boleh berjaya, malah lebih baik lagi berbanding kanak-kanak lain yang tidak menghidap diabetes.

“Tidak dinafikan ia sukar dan terdedah kepada tekanan emosi dan rutin kehidupan baharu, tetapi tidak mustahil ibu bapa boleh membantu kanak-kanak ini menikmati hidup sama seperti rakan sebaya mereka,” ujar Dr Meenal.

Perunding Endokrinologi Pediatrik IMU Healthcare dan Pensyarah Kanan dalam Pediatrik di Universiti Perubatan Antarabangsa, Dr Meenal Mavinkurve

APAKAH DIABETES MELLITUS?
Diabetes berkisar tentang insulin, sejenis hormon penting yang dikeluarkan organ pankreas.

Insulin memainkan peranan penting untuk mendapatkan glukosa yang merupakan satu sumber tenaga ke dalam sel. Diabetes adalah keadaan di mana penghidapnya mengalami kekurang insulin atau rintangan insulin.

Kedua-dua keadaan ini boleh membawa kepada kenaikan paras glukosa yang tinggi dalam darah atau disebut sebagai diabetes mellitus.

Terdapat dua jenis yang paling biasa bagu kalangan kanak-kanak iaitu Jenis 1 (iaitu kekurangan insulin, atau T1DM) dan Jenis 2 (rintangan insulin, atau T2DM).

T1DM adalah keadaan autoimun yang mana badan menghasilkan antibodi yang memusnahkan sel-sel beta di dalam pankreas. Sel-sel itulah yang bertanggungjawab menghasilkan insulin.

Bagi T2DM pula, badan masih boleh menghasilkan insulin, tetapi insulin kurang bertindak.

GEJALA & TANDA DIABETES
Gejala biasa diabetes ialah seperti di dalam kempen Diabetes 4T UK (United Kingdom) iaitu dahaga (thirsty), tandas (toilet), lebih kurus (thinner) dan letih (tired).

Terlalu dahaga, banyak kencing, terjaga pada waktu malam untuk membuang air kecil atau kencing di atas katil pada waktu malam adalah gejala penting yang perlu diberi perhatian pada kanak-kanak kerana ia mungkin petanda diabetes.

Sesetengah ibu bapa mungkin memberitahu kehadiran semut di dalam tandas kerana semut tertarik kepada air kencing yang manis susulan kehadiran glukosa dalam urin.

Kanak-kanak juga boleh mengalami jangkitan (jangkitan kulat), penurunan berat badan yang tidak dapat dijelaskan atau tidak naik berat walaupun selalu makan kerana lapar.

“Penting bagi ibu bapa untuk meminta doktor memantau berat badan anak mereka dan menyimpan rekodnya, tidak kira sama ada anak mereka sakit atau tidak. Pertumbuhan adalah isyarat yang baik mengenai kesihatan kanak-kanak.

“Sekiranya anda mendapati gejala dan tanda-tanda itu, segeralah berjumpa doktor. Ibu bapa perlu bertanya kemungkinan anak mereka menghidap diabetes dan ujian glukosa dan keton perlu dilakukan,” ujar Dr Meenal.

USIA LIMA TAHUN KE BAWAH PALING RAMAI SALAH DIAGNOS
Ibu bapa perlu bijak mengenal pasti gejala yang boleh membantu diagnosis dan rawatan awal.

“Jika gejala-gejala tersebut tidak dikesan dari awal, ia boleh melarat dan menjadi lebih teruk seperti gejala muntah, kelesuan, sesak nafas dan sakit perut,” kata Dr Meenal.

Jelasnya, gejala-gejala di atas adalah ketoasidosis diabetik (DKA) iaitu sejenis diabetes yang kronik.

Kajian terbaharu oleh Mavinkurve et al, 2021 bertajuk ‘Is Misdiagnosis of Type 1 Diabetes Mellitus in Malaysian Children a Common Phenomenon?, 2021, menunjukkan kadar salah diagnosis T1DM dalam kalangan kanak-kanak Malaysia ialah 38.7 peratus.

Dilaporkan bahawa kanak-kanak kencing manis biasanya mengalami salah diagnos sebagai berpenyakit pernafasan atau gastrousus.

Kanak-kanak yang berumur kurang lima tahun berisiko lebih tinggi untuk tersalah diagnosis.

Mereka datang ke hospital dengan gejala DKA lalu dimasukkan ke wad unit rawatan rapi. Secara keseluruhannya, kajian tersebut menekankan bahawa mencegah salah diagnosis sebagai faktor penting dalam mencegah DKA dan berada lama dalam wad hospital.

KES DIABETES KANAK-KANAK MAKIN MENINGKAT
Pada tahun 2019, Atlas Persekutuan Diabetes Antarabangsa (IDF 9th ed, 2019) melaporkan 977 kes diabetes dalam kalangan kanak-kanak berusia di bawah 18 tahun di Malaysia.

Angka tersebut meningkat lebih dua kali ganda bagi kes yang didaftarkan pada tahun 2008 di bawah Pendaftaran Diabetes di kalangan Kanak-Kanak dan Remaja, Malaysia.

Laporan akhbar The Star menyatakankan cadangan secara purata kira-kira 57 kanak-kanak disahkan menghidap diabetes setiap tahun.

Daripada kedua-dua jenis diabetes tersebut, yang paling biasa dihidapi kanak-kanak adalah Jenis 1 yang menyumbang lebih daripada 90 peratus kes melitus diabetes di seluruh dunia.

Kadar diabetes T1DM pada kanak-kanak telah meningkat di seluruh dunia dan diagnosis sedang dilakukan ke atas kanak-kanak yang jauh lebih muda juga. Di Malaysia, purata umur diagnosis adalah antara tujuh hingga lapan tahun.

Di dalam kes T2DM, faktor risiko yang diketahui ialah obesiti dan ia semakin meningkat di Malaysia. Ujar Dr Meenal, keadaan itu biasa dilihat dalam kumpulan umur remaja.

“Walaupun wujud kaitan yang kuat antara obesiti dan T2DM, terdapat faktor lain yang turut mempengaruhi seperti sejarah keluarga dan latar belakang etnik,” jelas Dr Meenal.

MEMAHAMI RISIKO DIABETES KEPADA KANAK-KANAK
Diagnosis melitus diabetes, tidak kira T1DM atau T2DM datang bersama risiko komplikasi termasuk tekanan darah tinggi, paras kolesterol tidak normal, penyakit hati berlemak bukan kerana alkohol dan kesan buruk pada buah pinggang, saraf dan mata.

Dalam kedua-dua jenis kencing manis ini, doktor memantau komplikasi dengan berhati-hati dan menanganinya. Kawalan glukosa secara optimum adalah asas dalam mencegah komplikasi.

Umumnya, saringan untuk komplikasi sedemikian bermula beberapa tahun selepas diagnosis. Namun ia berbeza mengikut jenis diabetes dan usia pesakit semasa diagnosis.

Sebagai contoh, T2DM perlu pemeriksaan komplikasi sejak diagnosis manakala bagi T1DM pula, saringan bermula selepas beberapa tahun.

“Dalam kes T2DM, penting untuk menyaring komplikasi berkaitan obesiti. Ia termasuklah apnea tidur obstruktif (masalah berdengkur) dan hati berlemak bukan kerana alkohol. Bagi kanak-kanak perempuan pula, sindrom ovari polisistik (PCOS) perlu diuruskan bersama-sama,” kata Dr Meenal.

MENGURUS DIABETES PADA ANAK
Menguruskan diabetes kanak-kanak memerlukan kerjasama padu antara ibu bapa, kanak-kanak dan pasukan penjagaan kesihatan.

Iklan

Pasukan ini biasanya terdiri daripada doktor, pendidik jururawat diabetes, pakar diet dan ahli psikologi yang mana setiap daripada mereka mempunyai peranan penting.

Bagi pesakit kanak-kanak yang menghidap T1DM, prinsip asas pengurusannya adalah untuk meniru fungsi pankreas.

Oleh itu, kanak-kanak dan ibu bapa perlu belajar memeriksa paras glukosa (menggunakan glucometer) beberapa kali sehari selain perlu memahami keadaan yang boleh menyebabkan turun naiknya paras glukosa dan tindakan yang perlu diambil.

Mereka perlu belajar tentang insulin yang berbeza-beza, cara menyuntiknya, kuantiti yang perlu disuntik dan cara mengira karbohidrat dalam makanan.

Umumnya, kanak-kanak dengan T1DM memerlukan insulin bersama pengambilan makanan mereka manakala insulin waktu malam bertindak lebih panjang.

Rutin ini mungkin berbeza mengikut nasihat doktor tetapi beberapa suntikan harian adalah yang terbaik untuk meniru fungsi pankreas.

Bagi kanak-kanak penghidap T2DM, mereka juga perlu memahami mengenai ubat hipoglisemik oral yang dibekalkan.

Diabetes
SUMBER Karolina Grabowska daripada PEXELS.

SOKONG ANAK DIABETES
Sejurus selepas di manja anda disahkan menghidap T1DM, banyak tugasan baharu yang perlu dipelajari dan dilakukan ibu bapa dan kanak-kanak itu sendiri sepanjang hidupnya.

Sememangnya ibu atau ayah mahu menggalas semua tugas demi anak. Namun perlu difahami bahawa mereka akan dewasa dan berdikari dalam semua aspek kehidupan.

Oleh itu, penting bagi ibu bapa untuk beransur-ansur menyerahkan tanggungjawab penjagaan kendiri diabetes kepada anak dan terus memberi sokongan setiap masa.

Ini bagi membolehkan kanak-kanak itu berdikari, bertanggungjawab dan yakin dalam penjagaan kendiri diabetes mereka dari semasa ke semasa.

Si cilik boleh dilibatkan dalam penjagaan kencing manis dengan melakukan perkara mudah seperti menyediakan barangan pemeriksaan paras glukosa seterusnya pemeriksaan glukosa tanpa pengawasan apabila sudah pandai berdikari.

Kanak-kanak yang sudah bersekolah juga perlu belajar cara menyuntik insulin sendiri.

“Serahkan tanggungjawab secara perlahan-lahan namun anda perlu memberikan sokongan berterusan,” kata Dr Meenal.

skil didik anak
Kredit foto: Ketut Subiyanto

PEMAKANAN ANAK DIABETES

Iklan

Menghidap diabetes bukan bermakna langsung tidak boleh langsung mengambil sajian manis dan bergula tetapi perlu sederhana dalam mengikuti diet.

Kanak-kanak penghidap diabetes perlu mengira jumlah karbohidrat di dalam makanan mereka makan dan menyuntik insulin.

Bagi kanak-kanak penghidap T2DM yang obes atau berat berlebihan, perlu menghadkan pilihan makanan yang tinggi kalori.

Sesetengah ibu bapa memberikan makanan ‘bebas karbohidrat’ untuk mengelak pemberian insulin.

Namun begitu, perbuatan itu tidak digalakkan kerana kanak-kanak perlu mengambil makanan sihat yang seimbang. Anda perlu memupuk si kecil mempunyai ‘hubungan baik’ dengan makanan dan insulin sejak mereka didiagnos.

Ibu bapa dan pesakit pasti akan keletihan dengan pelbagai rutin dan tugas seperti pemeriksaan glukosa, mengira karbohidrat dan menghitung dos insulin untuk anak yang menghidap diabetes.

Namun, penting untuk anda ketahui bahawa bukan setiap hari anda akan mendapat satu siri bacaan glukosa yang sempurna.

“Ada masanya bacaannya turun naik, mencapai bacaan glukosa yang sempurna pada setiap jam setiap hari bukanlah objektif utama. Usahalah untuk memahami sebab turun naiknya bacaan itu dan perbetulkannya ” kata Dr Meenal.

Bagi kanak-kanak yang disahkan menghidap diabetis, pesakit dan keluarga boleh mendapatkan sokongan daripada doktor dan bekerjasama untuk memastikan mereka menikmati zaman kanak-kanak yang indah.

Kesedaran dan pendidikan mengenai diabetes kanak-kanak melalui sumber yang boleh dipercayai adalah begitu penting.

“Diabetes boleh jadi satu keadaan yang kronik tetapi ada jalan penyelesaiannya. Dengan jalan penyelesaian itu dan kerjasama, kita mampu membantu anak-anak untuk mencapai potensi yang sewajarnya,” ujar Dr Meenal.

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat! 

Jangan lupa follow kami di TwitterInstagramThreadsYouTube & Tiktok SinarPlus. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi.

Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang!