ANDA MUSYKIL DOKTOR JAWAB

Bersama:

Pakar Urologi,

Pusat Perubatan Universiti Malaya.

Prof Madya Dr Ong Teng Aik.

SOALAN 1:

DOKTOR, saya berumur 53 tahun dan kini berhadapan masalah kencing yang sangat kerap dan tidak lawas. Apakah itu merupakan gejala kepada masalah kanser prostat? Apakah yang perlu saya lakukan? Mohon penjelasan daripada doktor.

– INGIN TAHU, ZAIDI MOHD SAMAD, 53, BATU KAWAN, PULAU PINANG

JAWAPAN:

TERIMA kasih di atas soalan yang diajukan. Tuan, jika diamati, gejala tersebut menunjukkan terdapat sumbatan aliran keluar pada pundi kencing.

Sebenarnya, ia tidak semestinya pesakit menghidap barah prostat.

Jika gejala tersebut berlaku dengan lebih kerap, berkemungkinan besar pesakit berhadapan masalah pembengkakan prostat yang bukan kanser atau dalam bahasa perubatan dipanggil hiperplasia prostat benigna.

Ia adalah keadaan yang mana kelenjar prostat membengkak. Lazimnya, masalah itu berlaku kepada kaum lelaki yang berumur lebih 50 tahun.

Kadar kejadian pembengkakan prostat berlaku melebihi 50 peratus pada umur 60 tahun dan melebihi 90 peratus pada umur 85 tahun ke atas.

Ia juga merupakan penyakit yang penting untuk dirawat kerana masalah tersebut akan mengganggu pesakit yang ingin membuang air kecil (kencing).

Namun demikian, ia bukannya kanser walaupun gejala-gejala yang dihidap adalah menyerupai dengan kanser prostat.

Iklan

Pada kebiasaannya, doktor akan melakukan pemeriksaan dubur untuk mendiagnosis penyakit pembengkakan prostat. Doktor akan menggunakan sarung tangan dan pelincir semasa memasukkan jari ke dalam dubur pesakit.

Sekiranya kelenjar prostat yang bengkak itu lembut dan licin, kemungkinan ia disebabkan oleh pembengkakan prostat yang bukan kanser.

Sebaliknya, jika ia keras dan berbiji, berkemungkinan jangkitan prostat atau kanser.

Tuan, pada masa sama, prostat juga biasanya membesar apabila usia lelaki meningkat tua.

Oleh itu, jangan keliru dengan simptom-simptom barah prostat.

Iklan

Ingin saya kongsikan untuk pengetahuan tuan dan pembaca SinarPlus, barah prostat pada peringkat awalnya (juga dikenali sebagai kanser prostat setempat) terletak di antara prostat.

Berkemungkinan besar juga, kanser itu tidak menghasilkan gejala dan mungkin tidak menjadi kanser dan tidak memerlukan rawatan.

Bagaimanapun, sesetengah kanser prostat membesar dan merebak ke sekeliling prostat, itulah yang dipanggil kanser prostat yang teruk.

Secara ringkasnya, penyebab utama kanser prostat masih tidak diketahui.

Namun demikian, terdapat beberapa faktor yang boleh dikaitkan dengan masalah kesihatan itu antaranya faktor usia, sejarah keluarga (genetik) dan paras hormon testosteron (hormon seks lelaki) yang tinggi sehingga boleh mempercepatkan pembentukan kanser prostat.

Oleh itu, adalah lebih baik bagi pesakit  berjumpa dengan doktor umum atau pakar urologi untuk penilaian yang lebih tepat.