KUKUS dan panggang. Itu gabungan kaedah memasak menu ayam asap teh hijau yang merupakan makanan terkenal dalam kalangan masyarakat Tionghua.

Kepada mereka yang mementingkan kesihatan dan ingin meningkatkan imun badan, sajian itu sesuai untuk dinikmati meskipun penyediaannya sedikit rumit.

Wan Rogayah Wan Muhamad, 56, yang handal memasak makanan itu mengakui fakta berkenaan.

KAK Wan menggagungkan elemen unik dalam masakannya.

PROFIL

  • Nama: Wan Rogayah Wan Muhamad
  • Umur: 56 tahun
  • Asal: Kota Bharu, Kelantan
  • Menetap: Puchong, Selangor
  • Facebook: Resipi Citarasawan
  • Instagram: @citarasawan

Wan Rogayah yang mahu disapa dengan panggilan Kak Wan berkata, tatkala ramai orang memilih untuk menggunakan teh hitam, resipinya menampilkan kelainan.

“Perbezaan yang saya ubah, insya-ALLAH menyelerakan. Saya memilih untuk menggunakan teh hijau. Ia akan memberi suntikan istimewa kepada resipi berkenaan kerana Kak Wan menggabungkan elemen resipi orang Cina dan Thai,” katanya ketika dihubungi SinarPlus baru-baru ini.

Menambah elemen kaedah memasak moden, wanita itu berkata, beliau menggunakan aluminium foil untuk ‘mengasapkan’ ayam tersebut.

BAHAN-BAHAN asap resipi Ayam Masak Teh HIjau.

“Seperti yang Kak Wan katakan, menu ini jarang dijadikan pilihan kerana agak remeh untuk disediakan, namun ada yang menganggap resipi ini mudah kerana hanya memerlukan lebih kurang 45 minit sahaja untuk siap sepenuhnya,” katanya sambil memberitahu, ayam asap teh hijau sesuai dimakan dengan nasi ayam, salad dan timun.

Untuk resipi berkenaan, Kak Wan mengesyorkan untuk orang ramai memilih ayam organik berbanding ayam kampung.

“Saya sarankan begitu kerana isi ayam organik lebih cepat lembut dan ayam tidak mudah cepat kering dan hasilnya akan lebih juicy,” ujarnya lagi.

Lebihan jus ayam tersebut juga boleh digunakan semula untuk dimasak bersama nasi atau dijadikan sup sebagai hidangan sampingan yang disajikan bersama cendawan dan brokoli, katanya.

RESEPI AYAM ASAP TEH HIJAU

Bahan-bahan:

  • 1 ekor ayam atau 4 ketul paha ayam
  • 2 hiris halia
  • 2 ulas bawang putih (diketuk)Bahan perapan: 1 sudu kecil lada hitam (ditumbuk halus)
  • 1 sudu kecil minyak bijan
  • 2 sudu kecil kicap pekat
  • 2 sudu besar sos tiram
  • 2 sudu besar madu
  • 2 ulas bawang putih (diparut halus)
  • 2 inci halia
  • 1/2 sudu kecil garamBahan asap (disatukan):2 sudu besar teh hijau Thai
  • 3 sudu beras
  • 3 sudu gula pasir
  • 1 mangkuk aluminium foil

Cara penyediaan:

Iklan
  1. Bersihkan ayam, lumur dengan garam dan cucuk isinya dengan garpu.
  2. Masukkan hirisan halia dan bawang putih ke dalam badan ayam.
  3. Satukan bahan perapan di dalam mangkuk lalu digaul rata.
  4. Lumur ayam dengan setengah bahan perahan.  Simpan bakinya untuk sapuan.
  5. Perap ayam selama 4 jam atau lebih dalam peti sejuk.
  6. Panaskan periuk pengukus dan kukus ayam dengan api besar selama 30 minit.
  7. Keluarkan ayam dan simpan air kukusan ayam untuk nasi dan sup.
  8. Rehatkan ayam hingga kulitnya mengering.
  9. Lumur ayam dengan baki bahan perapan.

Sementara itu, sediakan bahan asap:

  1. Lapik kuali dengan aluminium foil.
  2. Letak mangkuk bahan asap, alas dengan jaring.
  3. Panaskan kuali dan tutup hingga berasap.
  4. Letakkan ayam di atas jaring dan tutup kuali.
  5. Panggang dengan api besar selama 15 minit.
  6. Buka tutup kuali dan sapu lagi bahan perapan.
  7. Panggang semula selama 15 minit hingga kulit ayam mengering.
  8. Rehatkan ayam sebelum dipotong dan dihidang.

ANEKDOT

AYAM PANDAN THAI

Bahan-Bahan:

Iklan
  • 400 gram daging ayam (bahagian dada)
  • 18-20 helai daun pandan
  • Lidi
  • Minyak

Bahan perap:

  • 1 sudu besar bawang putih (dicincang)
  • 1/2 sudu besar halia (dicincang)
  • 2 sudu besar santan
  • 2 sudu besar sos cili
  • 1 sudu besar sos tiram
  • 1 sudu besar kicap pekat
  • 1 sudu teh minyak bijan
  •  2 sudu teh gula
  • 2 sudu teh serbuk lada sulah

Bahan sos:

  • 160 gram gula melaka
  • 100 mililiter cuka
  • 1 sudu teh kicap pekat
  • 1 1/2 sudu teh bawang putih (dicincang)
  • 5 – 6 cili padi (hiris halus)
  • 1 sudu besar sos ikan
  • 1/2 sudu teh bijan, (tumis hingga wangi)

Cara-Cara:

  1. Cuci daging ayam, potong kiub kecil dan gaul bersama bahan-bahan perap. Perap dalam peti sejuk selama sejam.
  2. Kemudian, keluarkan ayam dan bungkus menggunakan daun pandan. Ketepikan.
  3. Panaskan minyak dan goreng hingga masak (goreng 5-6 bungkus sekali) selama  4-5 minit.
  4. Angkat, toskan dan letak atas tisu dan biar minyak lebihan terserap.
  5. Untuk sos,  cairkan gula melaka dengan sedikit air dan tapis. Masukkan semua bahan-bahan sos lain kecuali bijan.
  6. Kacau rata dan sesuaikan rasa, jika suka boleh tambah sedikit gula.
  7. Taburkan bijan sebelum dihidangkan bersama ayam pandan.

Sumber: butterkicap.com