MUNGKIN ada dalam kalangan kita terlupa akan kebersihan tilam yang digunakan hampir setiap hari.

Kesibukan tugas harian kadangkala menyebabkan kita alpa untuk mengambil peduli tentang kepingan pelapik tidur yang empuk itu.

Tilam salah satu keperluan wajib ada di setiap kediaman. Harga dan tahap keempukannya bergantung pada material yang digunakan.

Bagaimana tilam di kediaman korang, adakah ia dalam keadaan baik? Nak tahu cara terbaik membersihkannya? Jom ikuti tip ringkas ini.

1. Gunakan pelapik tilam (mattress cover) untuk melindungi tilam. Pilih pelapik yang boleh dicuci dan mudah ditukar ganti.

Kini terdapat pelbagai jenis pelapik tilam di pasaran. Ada yang direka untuk mengurangkan alahan debu dan tungau, malah ada juga mengurangkan keperluan untuk memvakum tilam.

2. Debu, bulu dan tungau boleh berkumpul di sebalik keempukan tilam. Kadangkala jelas kelihatan debu dan kotoran pada tilam.

Cara mudah, vakum tilam menggunakan muncung penyedut khas untuk upholsteri pada penyedut hampa gas. Jika ada antara ahli keluarga yang alergi terhadap habuk, maka korang perlu vakum atau menukar pelapik tilam lebih kerap.

3. Guna sabun khusus untuk menanggalkan kotoran atas permukaan tilam atau campurkan cecair pencuci serba guna dengan air paip sehingga ia menghasilkan buih.

Buih tersebut hanya pada kesan kotoran dengan menggunakan span. Kemudian bersihkan bahagian itu dengan span kering yang dicelup air panas. Biarkan sehingga ia benar-benar kering.

4. Setiap enam bulan sekali, tukarkan permukaan tilam depan dan belakang. Cara paling mudah melekatkan kertas tertulis tarikh permukaan tilam ditukar pada penjuru tilam sebagai peringatan.

Bilakah kita perlu menggantikan tilam?
Tiada jadual tepat, akan tetapi korang perlu peka pada beberapa petanda yang menunjukkan ia rosak dan tidak mampu memberikan fungsi maksimum. Antaranya:
– Rasa tidak selesa apabila baring dan sebaik sahaja bangun tidur esok paginya otot terasa penat dan sakit.

– Kesan haus pada tilam yang ditandai dengan kesan melorot atau benjolan padanya. Ketika bangun korang boleh dengar spring tilam berbunyi.

– Badan masih tidak selesa walaupun sudah berkali-kali cuba menyesuaikan posisi atas permukaan tilam.

– Menderita alergi dan gatal-gatal pada kulit. Sekiranya, tempoh tilam suda, maka segera menukarnya. Najis tungau boleh mencapai dua kali ganda berat tilam dalam masa 10 tahun walaupun suasana kamar tidur bersih.

– Tubuh menjadi lebih sensitif seiring peningkatan usia. Ia boleh menyebabkan kegelisahan dan masalah tidur, sekali gus memberikan impak buruk pada kesihatan. Jika tilam telah berusia lebih 10 tahun, tiba masanya korang menukar tilam baharu.

Iklan

5. Cara membersihkan tilam yang dikotori kencing anak kecil. Tidak semestinya gara-gara tompokan air kencing kita perlu membuang tilam tersebut.

Ikuti langkah-langkah di bawah untuk mengembalikan seri tilam dan membuang bau hancing dan kesan tompok.
– Serap sebanyak mungkin air kencing dengan tuala kertas atau tuala lama. Hati-hati untuk tidak menekan terlalu kuat kerana ia menyebabkan air kencing terserap jauh ke dalam tilam.

– Tabur kawasan tompokan dengan serbuk penaik. Ia bertujuan membantu menyerap lembapan dan bau hancing. Biarkan selama satu jam.

– Vakum serbuk penaik tersebut.

Iklan

– Bancuh larutan campuran cuka dan air dan isi ke dalam botol semburan lalu disemburkan pada tompokan air kencing tadi. Cuka membantu menyegarkan fabrik dan menghilangkan bau. Gosok sehingga kesan tompokan hilang.

– Jemur tilam di bawah sinar matahari. Cahaya matahari sangat efektif dalam menghilangkan bau dan membunuh kuman. Jika cuaca lembap, memadai sandarkan ia di dinding dan dipasangkan kipas sehingga kering.

Jika kita bijak menjaga dan membersihkan tilam sudah tentu ia boleh digunakan bertahun lamanya.

Semoga perkongsian tip ini memberikan manfaat kepada kamu semua!