Bahana akibat tidak cukup tidur. Boleh bawa maut tau...
Mengantuk… mengantuk.. Nak tidur mana? Mengantuk.. mengantuk tolonglah saya… Itu antara bait-bait lirik lagu yang tular daripada kartun siri animasi popular, Didi & Friends berkenaan tidur.
Namun begitu, hakikatnya kini ramai orang akan berasa letih selepas bekerja dan ingin tidur, tetapi tidak dapat melelapkan mata. Mengapa keadaan sedemikian berlaku?
Hasil tinjau selidik Pertubuhan Kesihatan Sedunia, 27 peratus penduduk di 14 negara dirundung masalah tidur. Nampaknya bukan masyarakat Malaysia sahaja yang dihantui masalah berkenaan. Antara fakta penting lain yang perlu diketahui tentang masalah tidur mereka di negara ini, 35 peratus rakyat Malaysia mengalami sesuatu bentuk gangguan tidur.
Selain itu, lebih 53 peratus tenaga kerja Malaysia mendapat kurang daripada minimum tujuh jam tidur dalam tempoh 24 jam.
Sekurang-kurangnya 51 peratus disebabkan mengalami tekanan berkaitan dengan kerja. Kaji Selidik Tidur Global yang dijalankan oleh Philips mendapati bahawa masyarakat dunia mengalami masalah kurang tidur yang membimbangkan.
Golongan dewasa dunia hampir tidak mencapai jumlah jam tidur yang sepatutnya setiap malam dengan purata hanya tujuh jam setiap malam berbanding purata 7.1 jam pada 2019. Hampir separuh iaitu 47 peratus golongan dewasa di Asia Pasifik tidak berpuas hati dengan kualiti tidur mereka.
Persoalannya, apa sebenarnya 'di sebalik' tidur? Apa pula akan terjadi jika sering berhadapan masalah sukar tidur?
Pakar Perunding Perubatan, Paru-paru & Permasalahan Tidur, Pusat Perubatan Sunway Velocity, Dr Nurul Yaqeen Mohd Esa atau Dr Nurul ada perkongsiannya.
“Ketika tidur, kebanyakan organ-organ dalaman badan akan berehat setelah penat bekerja seharian. Sel-sel mati di dalam badan dan sel-sel rosak ditukar dengan sel-sel baru
"Terdapat satu kajian yang dijalankan oleh Dr Spiegel pada tahun 2002. Beliau mendapati bahawa orang yang mendapat tidur yang cukup sebanyak lapan jam sehari mempunyai tahap antibodi dua kali ganda lebih tinggi daripada orang yang tidak cukup tidur iaitu hanya empat jam sehari," katanya ketika dihubungi Sinar Plus baru-baru ini.
lain yang dijalankan oleh Dr Cohen di tahun 2009, mendapati bahawa orang yang tidak mendapat tidur yang cukup iaitu kurang dari tujuh jam sehari adalah 2.9 kali ganda berisiko untuk mendapat jangkitan kuman.
Orang yang kecekapan tidurnya kurang dari 92 peratus adalah 5.5 kali ganda lebih berisiko untuk mendapat jangkitan kuman. Kedua-dua kajian berkenaan jelas menunjukkan betapa pentingnya fungsi dan peranan tidur untuk menguatkan sistem imunisasi di dalam badan manusia.
Faktor gangguan tidur
Masalah tidur boleh disebabkan oleh banyak faktor. Walaupun puncanya berbeza, natijahnya adalah sama iaitu akan berlakunya gangguan kitaran semula jadi badan yang mana tahap kesegaran dan kesedaran di waktu siang akan terganggu, kata Dr Nurul.
Antara faktor yang boleh menyebabkan permasalahan tidur adalah genetik. “Saintis telah menemukan faktor genetik bagi penyakit narkolepsi (narcolepsy), sejenis penyakit saraf yang mengganggu kawalan tidur dan sekaligus menjejaskan tidur dan kesedaran di siang hari.
"Selain itu, kerja (syif) pada waktu malam juga menyumbang kepada masalah tidur kerana mereka tidak boleh tidur di waktu malam ketika sedang mengantuk. Jadi perkara itu bercanggah dengan jam biologi di dalam badan manusia,” terang Dr Nurul.
Dalam masa sama, aspek ubat-ubatan juga memberi kesan. Banyak ubat yang boleh mengganggu tidur seperti ubat bagi mengawal tekanan perasaan, ubat darah tinggi dan ubat untuk flu.
“Lebih separuh daripada orang dewasa berusia lebih dari 65 tahun menghidap penyakit kesukaran tidur,” katanya yang bersetuju masih belum jelas sama ada puncanya adalah disebabkan faktor usia atau faktor ubat-ubatan yang banyak diambil golongan tersebut.
Risiko akibat tidak cukup tidur
Kurang tidur antara punca banyak kemalangan dan bencana yang berlaku dalam sejarah. Pada tahun 1979, kemalangan di tapak nuklear di Three Mile Island, diikuti dengan kes tumpahan minyak di lautan oleh Exxon Valdez dan kes letupan nuklear di Chernobyl pada tahun 1986 dipercayai berpunca daripada kecuaian pekerja yang kekurangan tidur dan mengantuk ketika menjalankan tugas mereka.
“Kekurangan tidur juga adalah antara punca banyak kemalangan jalan raya. “Keadaan mengantuk boleh melambatkan masa untuk bertindak balas ketika memandu seperti pemandu yang mabuk,” terang Dr Nurul.
Merujuk Jabatan Keselamatan Lebuhraya Nasional Amerika, dianggarkan bahawa penat dan mengantuk adalah punca kepada 100,000 kemalangan jalan raya dan 1,550 kemalangan maut setahun.
“Masalah ini banyak berlaku di kalangan pemandu berusia 25 tahun dan ke bawah,” katanya Dr Nurul. Dalam masa yang sama, tidur memainkan peranan yang penting dalam proses berfikir dan belajar.
Kurang tidur menurunkan proses kognitif melalui beberapa cara iaitu: “Pertama, ia akan mengganggu proses penumpuan, mengurangkan fokus dan mengganggu proses penyelesaian masalah. Ini menyebabkan kesukaran untuk belajar secara optimum.
“Kedua, di waktu malam, pelbagai fasa tidur memainkan peranan penting untuk menguatkan memori di dalam otak,” jelas Dr Nurul. Lebih membimbangkan, kurang tidur akan menyebabkan pelbagai penyakit perubatan lain seperti serangan dan kegagalan jantung, tekanan darah tinggi, angin ahmar, kencing manis dan kanser.
“Suatu kajian mendapati bahawa 90 peratus penghidap insomnia juga menghidap penyakit lain,” terangnya. Selain itu, kajian menunjukkan bahawa orang yang kurang tidur mempunyai kurang daya keinginan seksual.
Ini dikatakan berpunca daripada kurangnya tenaga, kurang tidur dan peningkatan tahap tekanan perasaan. Kongsi Dr Nurul, bagi orang lelaki yang menghidap penyakit obstructive sleep apnea (OSA) iaitu masalah pernafasan yang berlaku ketika tidur, terdapat faktor lain yang turut mengganggu masalah seksualnya.
Suatu kajian yang diterbitkan oleh Journal of Clinical Endocrinology & Metabolism pada tahun 2002 menunjukkan bahawa lelaki yang menghidap penyakit OSA turut mempunyai kadar hormon testosteron yang rendah.
Kajian itu juga menunjukkan bahawa lebih separuh pesakit lelaki yang menghidap OSA mengeluarkan hormon testosteron yang terlebih rendah pada waktu malam. Lebih membimbangkan, kurang tidur boleh menyebabkan tanda-tanda penyakit depresi.
“Satu kajian yang dijalankan di Amerika pada tahun 2005 mendapati bahawa orang yang menghidap penyakit depresi dan kerisauan lebih cenderung untuk tidur kurang dari enam jam di waktu malam,” ujar Dr Nurul.
Kata Dr Nurul, insomnia dan depresi saling bergantung antara satu sama lain. “Kurang tidur akan memburukkan lagi simtom depresi, dan depresi akan menyebabkan seseorang itu lebih sukar untuk tidur.
“Oleh itu, merawat permasalahan tidur boleh mengurangkan depresi dan begitulah juga sebaliknya,” ungkap Dr Nurul.
Menjejaskan pertimbangan
Seperkara, kurang tidur boleh menjejaskan interpretasi mengenai sesuatu perkara. Itu akan mengganggu kebolehan seseorang membuat keputusan yang baik kerana tidak boleh menilai sesuatu situasi dengan tepat dan tidak dapat membuat pertimbangan yang bijak.
“Kajian menunjukkan orang yang tidur sebanyak enam jam sahaja akan merasakan bahawa mereka sudah terbiasa dengan waktu tidur sebegitu.
"Pun demikian, sekiranya mereka menjalani ujian pencapaian dan ketahanan mental, keputusan ujian akan menunjukkan kemerosotan,” jelasnya lagi. Menurutnya, oleh sebab berlakunya masalah kurang tidur, ramai yang meminta pil tidur, terutamanya pesakit yang sudah agak berumur.
“Keadaan tersebut berlaku kerana mereka terlalu banyak memikirkan masalah yang dihadapi sehingga tidak boleh tidur. Penggunaan pil tidur secara berterusan tidak digalakkan kerana ia boleh menyebabkan kesan sampingan.
“Untuk sesetengah penyakit seperti insomnia, pesakit sememangnya memerlukan ubat tidur secara berterusan tetapi dengan pemantauan doktor dan diikuti beberapa jenis rawatan seperti terapi tingkah laku, terapi kognitif dan sebagainya.
Menurut Dr Nurul, terdapat juga beberapa faktor lain yang boleh menyebabkan permasalahan tidur iaitu:
- Masalah fizikal seperti sakit kronik yang berterusan disebabkan arthritis, pening dan fibromyalgia (sakit otot).
- Isu perubatan seperti penyakit asma.
- Masalah psikiatri seperti tekanan perasaan atau depresi dan kerisauan (anxiety).
- Isu persekitaran seperti lampu terlalu terang dan pasangan yang tidur berdengkur.
Jangan ambil pil sesuka hati
UBAT tidur merupakan kategori ubat sedatif yang bertindak pada sistem saraf pusat dan menolong mengatasi masalah kesukaran untuk tidur.
Terdapat beberapa jenis ubat yang boleh memberikan kesan sedatif contohnya, ubat antikemurungan, barbiturate dan benzodiazepine.
Benzodiazepine merupakan ubat yang selalu digunakan untuk merawat keresahan dan masalah kesukaran untuk tidur. Sesetengah benzodiazepine digunakan untuk melegakan keresahan, gangguan panik dan sawan.
Pakar Psikologi Klinikal Agensi Pengamal Kesihatan Australia,berkongsi, tabiat mengambil pil tidur dan kesan jangka panjangnya.
Menurut Rosemary ketika ditemui di ibu negara baru-baru ini pada sambutan Hari Tidur Sedunia 2020 bagi tahun ke-5 bersama Persatuan Tidur Sedunia, AmLife, sembilan dalam 10 rakyat Malaysia berhadapan masalah sukar untuk tidur. Sebanyak 78 peratus pula mengalami kebimbangan akibat kesihatan tidur yang kurang baik.
“Apabila individu tersebut ‘percaya’ akan kualiti tidurnya, ia akan memberi pelbagai manfaat kepada mereka antaranya mempunyai kesihatan mental dan fizikal yang lebih baik,” kata Rosemary.
Kongsi pakar antarabangsa itu, di Amerika Syarikat, seorang daripada empat orang dewasa yang lebih tua menggunakan benzodiazepine untuk kegunaan jangka masa panjang mereka. Di Denmark pula seorang daripada empat orang yang berusia antara 75 ke 85 tahun masih menggunakan pil tidur.
“Antara kesan utama apabila mengambil ubat tidur adalah risiko kebergantungan yang tinggi terhadapnya akan wujud setiap hari.
“Dalam masa yang sama, keinginan penggunaan ubat tidur akan semakin membuak-buak sehingga boleh menyebabkan peningkatan risiko untuk jatuh, berlaku kemalangan jalan raya dan paling membimbangkan berlaku kegagalan pernafasan,” terangnya lagi.
Bukan itu sahaja, kongsi Rosemary lagi, terdapat juga kesan sampingan lain terutamanya kepada psikologi individu yang terlalu bergantung kepada ubat tidur iaitu berlaku kecacatan kognitif, sering berhadapan situasi kemurungan, boleh meningkatkan implusif dan tingkah laku bunuh diri akibat gangguan tidur serta mendapat penyakit kronik lain seperti kanser dan alzheimer.
“Oleh itu, jangan sesuka hati mengambil pil tidur. Gunakan apabila diperlukan sahaja,” tegasnya.
Rosemary turut menasihati orang ramai sekiranya mengalami kesukaran untuk tidur selama lebih daripada tiga malam setiap minggu selama tiga bulan, itu berkemungkinan adalah tanda-tanda penyakit insomnia.
“Berjumpalah dengan doktor pakar dengan segera bagi pemeriksaan lanjut. Elakkan membeli secara sendiri ubat tidur di farmasi kerana ia akan memberi kesan tidak baik secara perlahan-lahan kepada fungsi tubuh badan,” katanya.
ANEKDOT
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi
Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang