SABUN candy viral ini antara inovasi terkini yang menjadi kesukaan pengguna. Digunakan untuk membasuh baju, ia juga dikenali sebagai sabun basuh detergen kiub.

Terdapat lima jenis warna dan setiap satu daripadanya mempunyai jenis bau yang berlainan antaranya lavender, chanel dan rose. Pasti ramai mak-mak yang suka.

Pegawai Perubatan Pediatrik, Hospital Muar, Dr Redza Zainol jujur mengakui, sebenarnya ini pertama kali dirinya mendengar mengenai sabun candy viral itu.

“Lepas buat carian di Google terus keluar imej. Perhh… patutlah budak sanggup makan sabun ni. Memang sebiji macam gula-gula!,” tulisnya di Facebook baru-baru ini.

Kongsinya, mengenai perkara itu, pihaknya ada membuat panggilan ke Pusat Racun Negara. Kata mereka, kandungan sabun candy viral ini ialah bahan pencuci dan sabun (kategori bahan kimia ionic dan non ionic).

“Yang merisaukan ialah ‘half-life’ kandungan sabun ni tak tahu berapa lama. Maksudnya, kalau anak dah termakan sabun ni, kita tak tahu sabun tu akan kekal berapa lama dalam badan anak.,” ujarnya lagi.

Selain tu, sabun ini boleh katanya boleh menyebabkan:

Iklan
  1. Hakisan pada lapisan mukosa mulut dan laluan pernafasan. Kalau sangat serius, hingga perlukan bantuan pernafasan.
  2. Kecederaan pada lapisan usus hingga menyebabkan muntah yang teruk.
  3. Pengsan atau hilang kesedaran.

“Selama saya jadi doktor kanak-kanak, berkali-kali saya lihat anak terminum sabun pencuci tapi kali ni saya memang risau dengan bentuk dan warna sabun ni,” katanya.

Jadi, berikut antara nasihat Dr Redza Zainol:

Iklan
  • Simpanlah sabun ini di tempat yang selamat dan jauh dari jangkauan anak.
  • Kalau anak tertelan bahan pencuci, jangan paksa dia muntah.
  • Kalau paksa dia muntahkan sabun tu, anak boleh tersedak. Bila tersedak, sabun tu boleh masuk ke paru-paru pula. Lagi bahaya.
  • Basuh mulut anak dengan air berkali-kali.
  • Tukar baju dan seluar anak yang dah terkena bahan pencuci tu.
  • Bawa segera ke hospital.

“Sebarkan ilmu ini pada mak ayah yang lain. Kadang-kadang kita terlepas pandang isu macam ni tapi anak kita yang menjadi mangsa,” pesannya.

Pada SinarPlus pula, sekiranya sudah timbul rasa galau di hati, lebih baik elakkan risiko kepada si kecil. Guna sabun basuh biasa-biasa pun bersih dan boleh menyucikan juga bukan?