Bahaya makan tiram mentah, walau sudah diperah dengan lemon atau dibubuh sos, masih lagi tak selamat

BUKAN sahaja di hotel, malah pada majlis keramaian, tiram mentah selalu disajikan kepada tetamu. Kerang-kerangan mollusca itu sememangnya sedap untuk dimakan kerana teksturnya yang kenyal.

Peminat makanan laut dilihat lebih gemar menikmati tiram secara mentah dengan tambahan perahan lemon atau dengan sos terpilih.

Menurut Healthline, selain kaya dengan antioksidan, di dalam 100 gram tiram terdapat nutrisi yang diperlukan oleh badan manusia seperti protein, lemak, vitamin D, vitamin B1, vitamin B3 dan vitamin B12.

Ia juga terkandung zat besi, magnesium, fosfor, selenium, mangan dan fosfor termasuk omega-3 yang membantu merawat jantung, otak atau keradangan.
Pun demikian, menerusi beberapa pandangan pakar, menikmati tiram mentah boleh memberi dampak buruk kepada kesihatan.

Sebagai contoh, pada tahun 2018, seorang lelaki berusia 71 tahun meninggal dunia dua hari selepas makan makanan jenis itu di sebuah restoran di Sarasota, Florida, Amerika Syarikat.

Memetik artikel USA Today, pakar mengesahkan tiram berkenaan telah dicemari bakteria.

Untuk mendapatkan penjelasan lanjut mengenainya, SinarPlus menghubungi Pakar Pemakanan dan Pensyarah, Jabatan Dietetik, Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan, Universiti Putra Malaysia, Dr Syafiqah Rahamat.

Membuka gelanggang bicara, Dr Syafiqah berkata, tiram merupakan habitat yang menapis air dan bahan-bahan di lautan termasuk bakteria seperti vibrio.

“Itu sebab tiram berbahaya apabila dimakan mentah atau separuh masak. Kedua-dua bakteria vibrio sama ada jenis vulnificus dan parahaemolyticus boleh menyebabkan seseorang mengalami cirit-birit, pening kepala, muntah-muntah dan demam.

Lebih buruk lagi, ia berupaya mendatangkan kematian terutamanya kepada golongan yang berisiko tinggi seperti mereka yang berpenyakit, mempunyai kanser dan memiliki sistem imun yang rendah termasuk ibu hamil serta yang sedang menyusu,“ katanya.

Dalam pada itu, Virginia Department of Health (VDH), Amerika Syarikat berkata, menikmati tiram atau kerang-kerangan lain secara mentah atau kurang masak berbahaya kepada mereka yang mempunyai penyakit hati, kencing manis, leukimia, kanser limfoma dan golongan yang menderita penyakit pulmonari obstruktif kronik.

Bawa kematian

Berdasarkan statistik Centre for Disease Control and Prevention (CDC), kira-kira 80,000 penduduk Amerika Syarikat dijangkiti vibriosis dan seramai 100 pesakit mati akibatnya.

Menurut CDC lagi, lemon atau sebarang sos yang dipanaskan juga tidak cukup untuk membunuh bakteria vibrio, begitu juga dengan membubuh alkohol.

“Sesetengah tiram telah dibersihkan secara maksimum untuk tujuan keselamatan, namun tetap tidak membantu menyingkirkan semua kuman berbahaya,“ ujar mereka.

Menjawab soalan tentang berapa lama gejala mula muncul, VDH berkata, ia bergantung pada organisma yang telah mencemari kerang-kerangan itu.

Untuk bentuk jangkitan vibrio yang paling serius, biasanya akan berkembang dalam masa 12 hingga 72 jam selepas makan makanan laut mentah atau kurang masak. Gejala jangkitan norovirus pula bermula 10 hingga 50 jam selepas pendedahan,“ kata VDH.

Mengenai rawatan, individu yang mengalami cirit-birit harus minum banyak air bagi menggantikan cecair yang hilang. Namun, mereka yang mengalami jangkitan kulit yang serius atau demam harus berjumpa dengan doktor untuk tujuan diagnosis bagi mendapatkan rawatan yang betul.

BACA JUGA: Tiram mentah diperah lemon jadi buruan ramai, wanita wajib tahu ini ulasan Dr Zulkifli

Iklan

BACA JUGA: Ringkas tapi enak, ayam sos tiram wajib dicuba

Sehubungan itu, bagi mengehadkan pendedahan kepada bakteria, virus atau pun parasit yang terdapat dalam tiram, VDH menasihatkan orang ramai agar sentiasa memilih tiram yang dimasak apabila makan di kedai atau restoran.

Jika anda memilih untuk masak sendiri, berikut tip yang perlu dipatuhi :

-Jangan masak terlalu banyak tiram atau kerang dalam periuk yang sama kerana kemungkinan pada bahagian tengahnya tidak matang sepenuhnya.
-Masak tiram hidup di dalam air mendidih selama empat hingga lima minit selepas cangkerang dibuka.
-Kukus tiram hidup atau kerang empat hingga sembilan minit dalam pengukus.
-Buang mana-mana tiram atau kerang yang tidak terbuka semasa memasak.
-Kepada yang mahu membakar, pastikan prosesnya mengambil masa 10 minit pada suhu 450 fahrenheit.

Bagaimana pula cara membeli tiram dengan selamat? Merujuk artikel yang disiarkan The Conversation, kita perlu memastikan kerang-kerangan itu segar, di samping cangkerangnya masih utuh dan tidak berbau.

Satu petua menarik yang dikongsi, untuk memastikan kesegaran tiram, apabila cangkerang diketuk, ia masih tertutup rapat.

Iklan

Selain itu, The Conversation turut menyarankan agar tarikh luput disemak. Paling signifikan, ia perlu disimpan dengan betul pada suhu 4 darjah celcius atau lebih rendah untuk produk sejuk atau pada -18 darjah celcius.

“Sebaik-baiknya letakkan tiram mentah yang dibeli di kedai ke dalam beg termos sejuk semasa mengangkutnya pulang. Ini akan meminimumkan masa tiram terdedah kepada suhu bilik yang boleh menggalakkan pertumbuhan patogen bakteria vibrio.

“Tiram sejuk juga perlu dimakan dalam masa satu hingga dua hari. Tiram dalam cangkerang hendaklah diletakkan di dalam bekas dengan penutup untuk mengelakkan pencemaran silang di dalam peti sejuk,“ kata mereka.

The Conversation juga menggesa agar orang ramai turut menolak beberapa mitos tentang tiram.

Antaranya adalah jika mengelak daripada makan tiram mentah daripada air tercemar, seseorang pasti akan selamat.

Kenyataan itu salah sama sekali. Bakteria vibrio bukanlah hasil daripada pencemaran kerana ia adalah ‘penghuni semula jadi‘ dalam persekitaran marin. Walaupun makanan laut itu diperoleh daripada dari perairan yang bersih sekali pun, ia tidak menjamin bahawa seseorang tidak akan jatuh sakit,“ kata sumber perubatan itu lagi.

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di TwitterInstagramYouTube & Tiktok SinarPlus. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi.