ADA sesetengah daripada kanak-kanak sangat gemar duduk menggunakan posisi berbentuk huruf W.

Pernah suatu ketika dahulu, tular kenyataan di media sosial yang menyatakan bahaya anak-anak yang duduk menggunakan posisi berkenaan.

Perkara itu telah menimbulkan kebimbangan dalam kalangan ibu bapa terutamanya anak-anak yang mempunyai tabiat berkenaan.

Menurut portal kesihatan medcom.id, kanak-kanak di bawah umur tiga tahun yang duduk dalam kedudukan tersebut dinggap normal.

Bagaimanapun, jika kebiasaan itu berterusan selepas anak kecil itu menjangkau usia tiga tahun, ia boleh memberi kesan negatif terhadap perkembangan keseluruhan mereka.

Apakah keadaan itu benar?

SinarPlus kemudian menyelak informasi menerusi entri Facebook Public Health Malaysia.

Tulisnya, jika ibu bapa ternampak anak-anak duduk dalam posisi W, ia mungkin suatu perkara yang normal pada usia anak kecil sekitar tiga tahun.

Ia adalah kerana pada ketika itu, tubuh mereka masih fleksibel dan perkara itu tidak menyakitkan mereka.

Bukan itu sahaja, ia sama sekali tidak akan mendatangkan bahaya pada perkembangan otot peha sekiranya duduk dalam posisi itu sekali-sekala.

Untuk pengetahuan ibu bapa di luar sana, kanak-kanak suka akan posisi berkenaan kerana ia memberi tapak yang lebih luas dan memberi keseimbangan yang lebih stabil semasa mereka sedang bermain.

Sebenarnya, terdapatnya satu kajian yang menunjukkan 99 peratus kanak-kanak yang duduk dalam posisi W akan meninggalkan tabiat tersebut selepas mereka semakin membesar tanpa sebarang intervensi.

Jadi, usah bimbang, kajian yang sama juga membuktikan duduk dalam posisi W tidak mengakibatkan Hip Dysplasia.

Iklan

Pesanan penting kepada ibu bapa adalah untuk memerhatikan pergerakan anak anak semasa beralih daripada posisi W ke posisi lain.

Ia turut diakui oleh Pakar Ortopedik Pediatrik, Hospital Johns Hopkins All Children, Amerika Syarikat, Dr Greg Hahn.

Katanya, kebanyakan kanak-kanak yang berjalan sedikit mempunyai kecenderungan memilih duduk dalam posisi berkenaan.

Bagaimanapun, beliau mendapati kedudukan duduk W hanyalah variasi normal bagi kanak-kanak dan tidak memerlukan rawatan.

Iklan

Namun demikian, jika mereka kelihatan kekok sama ada seperti dalam keadaan kesakitan atau tidak seimbang, segeralah dapatkan pemeriksaan doktor.

Seperkara, jika otot anak kecil kelihatan lemah, kerap jatuh, peha membengkak dan berlaku masalah koordinasi serta keseimbangan (tidak simetri), jangan berlengah-lengah lagi, ia mungkin petanda tidak baik kepada kesihatan
anak kecil berkenaan.

Oleh itu, cara lainnya, ibu bapa perlu memberi galakkan kepada anak kecil untuk berubah posisi semasa duduk dengan mencuba beberapa posisi seperti:

i) Duduk bersila
ii) Duduk melunjur
iii) Duduk bersimpuh
iv) Duduk melutut

Jadi, diharapkan dengan perkongsian ini memberi informasi yang jelas kepada ibu bapa di luar sana.

Foto: FREEPIK DAN SUMBER INTERNET