KEHIDUPAN pada era milenium menyaksikan limpahan teknologi semakin mendominasi banyak sektor termasuk dalam bidang perubatan.

Pun demikian, amalan pemakanan sunah yang dianjurkan oleh Rasulullah SAW masih dipraktikkan oleh masyarakat sehingga ke hari ini.

Dalam satu penyelidikan yang dijalankan sekumpulan pengkaji dari Universiti Teknologi Mara yang bertajuk Kajian Literatur: Manfaat Makanan Sunah Dari Perspektif Islam (2017) antara lain menyatakan, menjadi satu kepentingan bagi seseorang khususnya umat Islam untuk mengetahui manfaat di sebalik apa yang dimakan oleh Nabi Muhammad.

Kata kajian itu, makanan tersebut boleh disatukan menjadi ubat untuk merawat pelbagai penyakit, sama ada dalam kategori kronik atau sebaliknya.

Air zamzam, kurma, kismis, madu, buah tin, buah zaitun, buah delima, buah aprikot, anggur, susu, tembikai, cuka, kacang badam dan barli adalah beberapa contoh.

Pada edisi kali ini, SinarPlus ingin menyentuh terlebih dulu tentang barli yang menjadi salah satu makanan yang digemari baginda SAW.

Bagi mendapatkan pencerahan dari sudut perubatan, SinarPlus mendapatkan Pakar Pemakanan, KPJ Ampang Putri, Nur Hayati Azmi.

Ujar Nur Hayati, kajian saintifik telah membuktikan bahawa barli mempunyai nilai pemakanan yang tinggi kerana kaya dengan vitamin, mineral dan sebatian tumbuhan bermanfaat yang lain.

BACA JUGA Barli mutiara satu lagi alternatif mudah untuk diet dan nampak cantik

Pun demikian, barli mutiara yang telah digilap adalah kurang berkhasiat disebabkan lapisan dedaknya yang telah hilang.

Berikut tujuh faktor sains berkaitan nutrisi barli yang dikongsikan Nur Hayati:

1. Kaya dengan serat
-Apabila diambil sebagai gandum penuh, barli secara khususnya kaya dengan serat, molybdenum, mangan dan selenium.
-Ia juga mempunyai nilai kuprum, vitamin B1, kromium, fosforus, magnesium dan niasin.
-Apabila direndam dan bercambah, makanan tersebut dapat meningkatkan kadar vitamin, mineral, protein dan antioksida.

2. Beta-glukan mengurangkan tahap kolesterol
-Beta-glukan iaitu sejenis serat berfungsi mengurangkan tahap kolesterol dengan cara menghalang pembentukan dan meningkatkan perkumuhan melalui tinja.
-Beta-glukan yang terdapat dalam barli terbukti dapat mengurangkan kolesterol LDL ‘jahat’ dengan mengikat asid hempedu.

3. Membantu proses penurunan berat badan
-Barli mengandungi serat larut yang dapat mengurangkan rasa lapar dan juga mempercepatkan rasa kenyang.
-Pada masa sama, menolong individu yang mahu menurunkan berat badan.
-Serat larut atau beta-glukan yang terkandung di dalam bijirin itu sangat membantu apabila dapat menyasarkan lemak pada perut yang selalu dikaitkan dengan penyakit metabolik.

Iklan

4. Memperbaiki kesihatan usus dan penghadaman
-Nilai serat yang tinggi di dalam barli dalam membantu makanan bergerak dan meningkatkan keseimbangan bakteria di dalam usus yang memainkan peranan sangat penting dalam proses penghadaman.
-Kajian menunjukkan lemak asid lemak rantai pendek dapat menolong ‘memberikan’ makanan kepada sel usus, mengurangkan keradangan dan memperbaiki gejala-gejala seperti sindrom iritasi usus, Crohn (penyakit radang usus kronik) termasuk kolitis ulseratif (peradangan pada usus besar).

BACA JUGA Perbanyak serat, elak tahan, tangguh proses buang air besar   

5. Mencegah batu karang hempedu
-Jenis serat yang didapati di dalamnya mencegah pembentukan batu karang dan mengurangkan risiko pembedahan.

6. Mengurangkan risiko penyakit jantung
-Menambah barli dalam pemakanan anda mungkin dapat mengurangkan risiko masalah penyakit jantung seperti darah tinggi dan juga kolesterol jahat.

Iklan

7. Magnesium dan serat larut dapat melindungi penyakit diabetes
-Gandum penuh dalam barli mungkin dapat memperbaiki pembentukan dan meningkatkan pengeluaran insulin serta mengurangkan kadar gula di dalam darah.
-Kajian menunjukkan bahawa sarapan bijiran berkhasiat itu meningkatkan kadar gula darah dan insulin maksimum yang lebih rendah berbanding sarapan yang terdiri daripada bijirin lain seperti oat.

 

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat

Jangan lupa follow kami di TwitterInstagramYouTube & Tiktok SinarPlus. Join grup Telegram kami DI SINI untuk cerita-cerita yang ohsem dan menghiburkan