BARU-BARU ini terdapat perkongsian daripada seorang doktor mengenai penyakit kurap yang boleh merosakkan hati.

Memberi definisi mudah, Dr Khairul Faizie melalui Facebooknya menjelaskan kurap adalah jangkitan kulat atau fungus.

“Masalah kurap hanyalah di kulit. Jadi, bagaimana hati boleh rosak?

“Ini yang anda kena hati-hati. Jangan memandai beli pil rawat kurap di mana-mana, termasuklah secara online,” pesan Dr Khairul Faizie.

Sebagai contoh membelinya di platform dalam talian seperti menjual ubat antifungal ketoconazole.

Ubat berkenaan telah pun digazetkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) iaitu tidak boleh diberi di klinik swasta, sebaliknya hanya hospital sahaja.

Kenapa?

Ia kerana ubat ketoconazole berkenaan mempunyai risiko merosakkan hati (hepatotoxicity) jika diambil tanpa pemantauan.

“Begitu seriusnya ubat ini sampaikan KKM bersidang dan menetapkan, demi keselamatan rakyat hanya hospital sahaja boleh prescribe ketoconazole tablet.”

Baca juga Amalan 3 mitos kecantikan penyebab kulit wajah rosak, iritasi

“Kita juga kena faham, kadangkala di klinik swasta ada minoriti yang tidak memantau tahap kesihatan pesakit secara menyeluruh,” tulis Dr Khairul Faizie.

Iklan

Adakah ubat ini langsung tak boleh diambil?

Jawabnya, ia boleh diambil, terutama untuk kes kes jangkitan fungus yang teruk. Namun, berkala doktor (termasuk ujian darah untuk lihat fungsi hati) adalah perlu.

Jadi, jika masalah kurap anda tidak sembuh-sembuh, berbincanglah dengan doktor.

Iklan

Mungkin cara anda jaga kebersihan tidak cukup betul atau mungkin juga ada pilihan rawatan lain yang lebih sesuai, ia akan disarankan oleh doktor setelah melihat kes anda secara menyeluruh.

Jadi, usahlah ambil mudah. Jika timbul keraguan, berjumpalah segera dengan doktor. Moga bermanfaat.