BAGI ibu bapa yang bimbang membawa anak-anak keluar bersantai pada hujung minggu dek penularan virus Covid-19, mungkin anda boleh memanfaatkan masa dengan sesi pembelajaran sambil bermain di rumah.

Bayangkan, tanpa perlu meninggalkan kediaman permata hati tetap berpeluang menimba ilmu dan melakukan pelbagai aktiviti menyeronokkan. Satu daripadanya, adalah dengan ‘mengunjungi’ Galeri Kanak-Kanak dan  Galeri Numismatik di Muzium dan Galeri Seni Bank Negara Malaysia (BNM MAG).

Biarpun BNM MAG ditutup buat sementara waktu sejak 9 Mac lalu bagi memastikan kesejahteraan pengunjung berikutan pandemik, tetapi orang ramai masih berpeluang menerokai pusat pameran berkenaan.

Ia berikutan pihak BNM MAG mengambil inisiatif kekal beroperasi secara maya melalui media sosial berkonsepkan, ‘Muzium dari Rumah’ sepanjang tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).

MUZIUM BANK
MAKLUMAT tentang mata wang dihasilkan dengan konsep infografik yang ringkas, padat dan berwarna-warni bagi menarik minat kanak-kanak. 

Menurut Timbalan Pengarah, Muzium dan Galeri Seni Bank Negara Malaysiai, Noreen Zulkepli, selain menyalurkan maklumat berkaitan sejarah ekonomi Malaysia, sistem kewangan dan warisan numismatik serta seni, orang awam juga berpeluang menyertai beberapa aktiviti secara online.

“Antaranya ialah siri khas e-pembelajaran (e-learning) berkaitan topik ’Apa Itu Wang?’, asal-usul mata wang kesultanan Melayu dan Ringgit Malaysia. Aktiviti e-learning telah dilaksanakan sejak beberapa tahun lalu, namun ia dipergiatkan ketika PKP dan akan diteruskan dari semasa ke semasa.

“Sasaran kami tidak terhad pada satu peringkat umur sahaja, sebaliknya mensasarkan semua pengikut laman sosial BNM MAG seperti pelajar sekolah, pelajar institusi pengajian tinggi, pekerja sektor awam dan swasta serta kumpulan tenaga pengajar,” katanya kepada SinarPlus menerusi kiriman e-mel baru-baru ini.

muzium bank
SELAIN informasi menarik, orang ramai juga berpeluang menyertai pelbagai kuiz yang dimuat naik dalam laman sosial BNM MAG.

Tambah Noreen, menerusi program secara online seumpama ini, generasi muda terutamanya pelajar dapat mengisi masa lapang mempelajari sejarah mata wang dahulu seperti jongkong timah, wang berbentuk binatang dan ciri-ciri wang termasuk sejarah asal penggunaan nama wang dan perkembangan wang.

Iklan

Dalam pada itu, bagi menarik minat kanak-kanak laman sosial BNM MAG turut diceriakan dengan koleksi infografik yang ringkas, padat dan berwarna-warni.

“Bertambah menarik, bukan sahaja anak-anak, bahkan ibu bapa dan golongan dewasa juga diberi peluang menyertai pertandingan dan kuiz atas talian menerusi segmen, Zon Aktiviti.

Iklan

“Kami menawarkan variasi pertandingan atau kuiz uji minda mengenai topik kewangan dan pengurusan kewangan serta banyak lagi,” ulasnya yang mana semua aktiviti berkenaan boleh dilayari menerusi Facebook (BNM.MAG) atau Instagram @bnmmag.

muzium bank
PELBAGAI sejarah kewangan Malaysia boleh dibaca menerusi Facebook (BNM.MAG) atau Instagram @bnmmag.

Info 6 galeri BNM MAG:
– Galeri Kanak-kanak
– Galeri Bank Negara Malaysia
– Galeri Ekonomi
– Galeri Kewangan Islam
– Galeri Numismatik
– Galeri Seni