Black Badge Cullinan tampil lebih elegan, berani buat orang muda

No Image Caption
A
A
A

DEMI memenuhi cita rasa pelanggan muda yang inginkan rekaan berdinamik tinggi, Rolls-Royce Motor Cars (RRMC) selaku pengedar rasmi kenderaan mewah Rolls-Royce di Malaysia memperkenalkan Rolls-Royce Cullinan edisi Black Badge untuk pasaran tempatan.

Pengarah Eksekutifnya, Anas Zawawi Khalid berkata, ramai pelanggan Rolls-Royce kini terdiri daripada golongan muda yang rata-ratanya menggemari cabaran lasak di samping berkeinginan untuk memiliki sesuatu yang kontemporari dan berani.

“Melihat kepada trend tersebut, RRMC membawakan perubahan dengan  penampilan lebih segar Cullinan edisi Black Badge,“ katanya ketika pelancaran model tersebut melalui aplikasi Zoom bersama barisan media tempatan baru-baru ini.

Kenderaan utiliti sukan (SUV) mewah itu kini melengkapi barisan Black Badge selain jenama Wraith dan Ghost yang telah dipasarkan pada sekitar tahun 2016 dan Dawn (2017).

Selepas pengenalan model tersebut pada tahun 2018, SUV itu bukan sahaja menggabungkan kemewahan dan kemampuan merentasi laluan lasak, malah memiliki ciri praktikal dan terbaharu tampil dengan kemasan baharu yang lebih elegan.

Antara kemasan yang dilihat sangat menyerlah adalah pada bahagian luaran yang tampil bersama tema hitam gelap dengan tagline The Spirit of Ecstasy.

Jentera mewah itu juga dilengkapi dengan krom hitam berkilat dan  garisan koc yang dilukis secara manual. Walaupun kelihatan legam, bar gril vertikal tetap digilap sehingga berkilat untuk memantulkan pergerakan persekitaran yang dinamik.

Ruang dalaman pula dihiasi simbol infiniti dengan ciri bespoke, gabungan kulit dan gentian karbon bermutu tinggi. Bumbungnya dihiasi dengan 1,344 lampu gentian optik sulaman tangan yang akan mewujudkan suasana malam dengan ribuan bintang.

Prestasi

Untuk prestasi, SUV mewah tersebut telah dipertingkatkan kuasa daripada 563 kuasa kuda (hp) kepada 593hp dan dijana enjin 6.75 liter V12 turbo dengan tork 900Nm serta dilengkapi kotak gear lapan kelajuan ZF.

Rangkaian pemacu (drive-train), kotak gear ZF 8 dan kedua-dua gandar hadapan dan belakang berfungsi secara kolaboratif untuk menyelaraskan tahap keterlibatan dengan bergantung kepada input pemacuan dan pendikit.

Jentera itu juga tampil dengan angkup bercat merah berkilat. Pastinya perubahan tersebut merupakan satu rekaan berani dan sangat memenuhi selera anak muda.

Rolls-Royce Cullinan Black Badge dijual untuk pasaran Malaysia pada harga bermula RM1.7 juta. Jika pelanggan membuat tempahan sekarang, kenderaan akan diterima sekitar Oktober hingga November ini.

PENULIS: FAIZUL HAKIMI ZULKIFLI

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi

Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang

Teruskan membaca