Boleh tegas tetapi ada limit! Anak ragut nyawa sendiri lepas gagal dapat nombor 1,  ini cerita sebenar jadikan pengajaran

No Image Caption
A
A
A

Setiap orang ada cara tersendiri dalam mendidik anak. Ada yang menegur tetapi secara baik, malah ada juga yang lebih tegas dalam segala hal. Namun, dalam ketegasan terhadap anak-anak perlu ada batasnya. Jangan sampai berlaku sesuatu perkara tak diingini berlaku. Ketika itu, nak menyesal pun tiada guna.

Siapa sangka, sikap tegas si ayah membuatkan si anak nekad mengakhiri hayat hidupnya sendiri. Itulah yang dkongsikan oleh Khairul Hakimin Muhammad yang menceritakan semula kejadian yang menyayat hati ini. Diharapkan menjadi pengajaran buat orang ramai.

Semuanya bermula apabila seorang wanita berkali-kali meminta untuk berjumpa dengannya tetapi ditolak. Akhirnya, dia membuat keputusan bersetuju untuk berjumpa.

Sudah makan bulan saya mengelak untuk berjumpa Puan yang seorang ini. Demi Allah, saya tak selesa dihubungi berkali-kali, tetapi beliau tetap mahu berjumpa. Katanya dapat minum 10-20 minit pun jadilah. Entahlah apa yang jadi pada saya, akhirnya saya bersetuju.

Kami bersembang di kedai makan sekitar kawasan rumah saya. Duduk berdepan, beliau hanya banyak tunduk dan dapat lihat betapa susahnya beliau mahu memulakan perkataan yang datang dari mulutnya. Saya juga tidak selesa.

“Akak nak sangat kamu cerita kat semua orang, apa yang akak lalui ini perlu jadi pengajaran,”



Anak gantung diri gara-gara dapat no dua dalam kelas

Rupanya beliau ini seorang yang terpelajar dan dihormati di kawasan kejiranannya satu masa lalu. Anak-anaknya berjaya dan beliau suami isteri juga amat dikagumi dengan kehidupan mereka yang agak selesa dipandangan mata jiran-jiran.

Kehidupan beliau berubah 180 darjah beberapa tahun lalu apabila salah seorang anak perempuannya dijumpai di dalam bilik dengan tubuh yang tergantung bertali yang diikat di leher menggunakan telekung. Anak yang beliau sayang-sayang ini menamatkan kehidupannya semasa baru berumur 15 tahun waktu itu.

Suami beliau seorang tenaga pengajar, yang mana keputusan peperiksaan anak-anak tuisyen, kelas-kelas khas untuk terus belajar.

Sampai satu tahap, anak-anak mereka ini sudah boleh membaca dengan lancar seusia empat tahun. Jurang permainan dan pembelajaran amat besar. Hingga ke tahap, anak-anak tak reti bergaul dengan rakan seumur. Yang pandai hanya dengan buku dan alat tulis.

Hinggalah pada tahun sekian-sekian, anak perempuannya ini tidak pernah tidak dapat nombor satu, mendapat nombor dua dalam ujian percubaan walaupun keputusan yang diperolehi semuanya A.

Beliau tidak fikir panjang, terus sahaja pulang ke rumah, tunaikan solat zohor dan menggantung diri. Saat beliau menggantung dirinya ini, suasana di dalam rumah kelam kabut, masing-masing mendengar bunyi dari dalam bilik, pintu bilik tidak dapat dibuka dan akhirnya dipecahkan. Waktu dapat memasuki ruang yang sudah penuh dengan kesedihan itu, jasad itu baru sahaja menghembuskan nafas yang terakhir.

No Image Caption



Ayah tak mengaku anak punca segalanya

Kisahnya, pada malam sebelum beliau ke sekolah. Dia bertanya kepada bapanya. Jika pada satu hari, takdir Tuhan kata dia tak pandai dan dah tak dapat nombor satu, apa yang ayah akan buat padanya?

Ayahnya jawab, “kau bukan anak aku lagi,”

Dari kecil lagi, ayahnya tidak pernah sesekali bermanja-manja dengan anak. Tidak pandai, tidak mahu belajar dan tidak mahu memaksa diri bergaul dengan anak-anak. Yang penting anak-anak berjaya dan anak tahu bagaimana mahu hidup.

Jika ke kenduri, balik kampung dan sebagainya, anak-anak lebih suka bermanja dengan bapa-bapa saudara. Lebih suka bercerita dan bergaul kerana mereka jauh lebih mengerti. Anak yang seorang ini kaki meleset. Percubaan beliau hingga berumur 15 tahun untuk bermanja dengan ayahnya tak pernah berhenti.

Pernah dia menyiapkan kek hari jadi buat ayahnya, akhirnya ayahnya kata “aku tak pernah minta, beli lagi bagus jangan buang tenaga,pergi belajar!”

Pernah dia menyiapkan sarapan kesukaan ayahnya, ayahnya kata “kenapa kau nak jadi bibik macam Indon-indon ka?”

Dan macam-macam contoh lagi yang diceritakan oleh Puan ini.

No Image Caption



Si ayah berubah sifat selepas pemergian anak

Saat anaknya mahu diuruskan pengebumiannya, ada sedikit pergeseran dengan jiran-jiran. Ada jiran yang mengatakan anak ini bukan lagi muslim. Bukan lagi orang kita. Kuburnya perlu diletakkan di luar tanah perkuburan. Ada juga yang menyokong dan memberi kata dua. Maka waktu itulah si ayahnya ini melutut dan merayu-rayu supaya kisah mereka ini tidak menjadikan darjatnya jatuh tersungkur.

Selepas sahaja urusan pengkebumian itu selesai (tidak diceritakan bagaimana selesainya itu), ayahnya hilang dan pulang kembali selepas hampir dua bulan.

Kepulangan suaminya ini disambut dengan kerinduan yang paling dalam. Anak-anak yang lain juga berkumpul dan melihat ayahnya ini sudah bukan lagi ayahnya yang dulu. Rupanya dalam tempoh dia hilang, dia hanya tinggal di masjid-masjid dan hidup ala gelandangan. Katanya lagi, hampir berpuluh kali dia bermimpikan anaknya merayu-rayu diselamatkan dari tali cemeti yang sentiasa datang seperti ular dan mengikat leher dan kemudian menggantungnya dari dari sepohon pokok yang sangat tinggi dan dia tak pernah berjaya menyelamatkan anaknya itu. Perkara itu berlaku berkali-kali dan ia adalah mimpi yang serupa. Hingga pernah, dia sendiri takut untuk tidur.

Kini, dia sedar dia tidak boleh menolong anaknya itu. Tetapi dia boleh tolong dirinya sendiri. Dia sudah pandai berpeluk-peluk dengan anak-anaknya yang lain. Bergurau dengan cucu dan sering mengambil peluang keemasan untuk bergaul dengan anak-anak.



Titip pesan jangan berlebih dalam ketegasan

Puan ini berpesan kepada saya, dalam hidup ini kita jangan berlebih-lebih. Boleh tegas, tetapi ada limit. Apa sahaja yang kita lakukan walaupun berprinsip, jangan berlebih.



Oleh itu, kepada ibu dan ayah di luar sana, jangan berlebihan dalam mendidik anak-anak. Jika mereka buat salah, jangan menghukum mereka sampai anak-anak bertindak di luar pemikiran kita.

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi

Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang