BERMULA dengan desas-desus dua tahun lalu, akhirnya hari ini Telenor dan Axiata mengesahkan penggabungan operasi syarikat telekomunikasi mereka di Malaysia iaitu Digi dan Celcom.

Dua syarikat telekomunikasi popular di Malaysia itu sah bergabung secara rasmi.

Menerusi persetujuan yang termeterai, syarikat baharu yang diberi nama Celcom Digi Berhad akan dibentuk dengan transaksi yang akan dilakukan pada suku kedua 2021 selepas menjalani proses ketekunan wajar (due diligence).

Dilaporkan, Telenor dan Axiata masing-masing akan memegang 33.1% saham dalam Celcom Digi Berhad.

Syarikat baharu ini akan dipengerusikan oleh Datuk Izzaddin Idris sementara Jorgen C Arentz Rostrup menjadi timbalan pengerusi.

Jawatan CEO pula akan dipegang oleh Idhan Nawawi sementara jawatan Naib CEO pula dipegang oleh Albern Murty.

Izzaddin berkata, penggabungan itu akan membantu mengatasi masalah struktural yang dihadapi oleh industri telekomunikasi.

Menurutnya, untuk terus berada di depan, kita harus memperkuat asas untuk menawarkan jalur lebar berkualiti tinggi yang berterusan, meningkatkan sambungan 4G dan seterusnya menyokong percepatan peluncuran 5G.

Penggabungan yang dicadangkan ini juga merupakan tonggak penting dalam strategi Telenor Group untuk memperkuat kehadirannya di Asia dan mewujudkan nilai di rantau ini.

Iklan

Baca juga LG umum tutup perniagaan telefon mudah alih di seluruh dunia

Entiti baru ini akan mempunyai kemampuan kewangan untuk menyokong aspirasi digital Malaysia dan memimpin pembangunan industri dalam masyarakat yang terhubung dengan harapan dapat bekerjasama dengan Axiata untuk merealisasikan potensi syarikat baru itu.

Iklan

Urus niaga akan mewujudkan sinergi dan memberi nilai kepada pemegang saham sejajar dengan strategi mereka untuk mengembangkan nilai dari aset telco teras.

Celcom Digi akan terus disenaraikan di Bursa Malaysia dan akan menjadi antara saham teratas dari segi permodalan pasaran dan menyumbang kepada daya tarikan pasaran modal tempatan.

Dengan terbentuknya Celcom Digi Berhad, ia akan menjadi penyedia perkhidmatan telekomunikasi terbesar Malaysia.