CENDOL merupakan sejenis minuman pencuci mulut yang terkenal bukan sahaja di Malaysia malah di beberapa negara Asia Tenggara yang lain.

Populariti minuman itu sama seperti air batu campur (ABC). Pun demikian, untuk membuat cendol yang sedap, tidak semudah yang disangka.

Seorang anak muda dari Melaka yang juga peniaga cendol, Faizal Khalid berkata, disebabkan meminati minuman berkenaan, beliau telah mengolah dan menambah baik resipi cendol sentuhan ibunya.

FAIZAL Khalid.

Kata pengusaha minuman itu, antara bahan utama yang digunakannya adalah tepung beras, tepung ubi, air kapur dan daun pandan.

Di sebalik itu semua, Faizal memberitahu, beliau menggunakan ramuan rahsia iaitu pandan serani yang dijadikan pewarna semula jadi tanpa perisa tiruan bagi melazatkan pencuci mulut berkenaan.

Ditanya perbezaan  pandan biasa dan serani, beliau berkata, ia adalah dari segi penghasilan warna dan saiz daun.

“Daun pandan biasa digunakan sebagai penambah rasa dan menaikkan aroma bau wangi, sementara daun pandan serani saiznya lebih kecil. Ia membantu untuk mendapatkan warna hijau yang sangat memukau,“ ujarnya ketika dihubungi SinarPlus baru-baru ini.

DAUN pandan serani yang digunakan untuk menaikkan lagi seri warna cendolnya.

Untuk memberi kelainan, cendol air tangan pemuda itu disatukan dengan ais blok yang dikisar halus dan lembut persis salji yang cair apabila masuk ke dalam mulut.

“Cendol buatan sendiri (homemade) saya, bukan sahaja menggunakan pandan serani, tetapi saya menggabungkannya dengan tiga jenis gula melaka nira asli (dari Indonesia dan Malaysia).

“Hasil gabungan tiga jenis gula melaka itulah yang membuatkan cendol yang dihasilkan lebih likat, pekat dan berbau wangi tanpa campuran gula pasir,“ kata Faizal.

Beliau menambah, bagi memvariasikan lagi menunya, beliau akan ‘mengahwinkan‘ cendolnya dengan buah-buahan segar seperti laici, nangka, dilema ataupun buah durian atau jagung.

Berkongsi rahsia kesedapan pencuci mulutnya yang sememangnya menjadi buruan orang Melaka, Faizal berkongsi tip yang perlu dipatuhi bagi mendapatkan rasa cendol yang segar dan tahan lama.

“Pastikan suhu (air yang direndam bersama cendol secara menyeluruh) sentiasa sejuk iaitu anggaran antara 5 ke 10 darjah Celsius. Ia bagi mengelak cendol itu cepat rosak dan tidak tahan lama,“ katanya.

RESIPI CENDOL HOMEMADE FAIZAL    

Bahan untuk cendol

  • 3 cawan air pandan biasa dan serani
  • 1 cawan tepung beras
  • 1 cawan tepung ubi
  • 1 sudu air kapur

Bahan untuk air gula

Iklan
  • 3 keping gula melaka

Bahan untuk santan

  • 1 cawan santan segar
  • 3 cawan air
  • Sedikit garam

Bahan hiasan

  • Buah-buahan
  •  Kekacang
  • Jeli

Cara-cara:

  1. Satukan kesemua bahan untuk membuat cendol dan masak menggunakan api sederhana sehingga berkilat. Pastikan cendol sentiasa dikacau bagi mengelak ia hangus.
  2. Kemudian, masukkan adunan tadi ke dalam beg piping. Gunting hujung piping beg dan picitkan ke dalam mangkuk berisi air ais.
  3. Cendol siap untuk dihidangkan.
  4. Untuk membuat air gula pula, masak beberapa keping gula Melaka sehingga larut dan bertukar menjadi sedikit pekat.
  5. Untuk santan pula, satukan kesemua bahan dan kacau rata.
  6. Cendol sudah sedia dihidangkan bersama ais dan bahan hiasan.

PROFIL

  • Nama: Faizal Khalid
  • Umur: 36
  • Asal: Bukit Baru, Melaka
  • Facebook: abcanakmelaka

Iklan

RESIPI SAGU KOKTEL         

      

Bahan-bahan:

  • 100 gram sagu mata ikan
  • 80 gram buah-buahan koktel
  • 50 gram tepung kastard
  • 200 mililiter air
  • 2 sudu kecil coffeemate80 gram gula

Cara penyediaan:

  1. Masak sagu sehingga kembang.
  2. Tuangkan ke dalam acuan.
  3. Tuang sagu berselang-seli dengan koktel buah-buahan.
  4. Kemudian sejukkan dan letakkan ke dalam mangkuk.
  5. Untuk sos kastard, didihkan air dan masukkan coffeemate.
  6. Kacau sehingga sebati. Ketepikan.
  7. Satukan gula dan tepung kastard.
  8. Kemudian, tuangkan bancuhan coffeemate tadi.
  9. Kacau perlahan-lahan.
  10. Kemudian panaskan di atas api sehingga ia masak.
  11. Sejukkan dan tuangkan ke atas sagu koktel tadi.

Sumber: Facebook Umie Saffiya