AKTIVITI hujung minggu bersama keluarga menjadi sesuatu yang paling bermakna kerana bukan sahaja dapat mengeratkan hubungan kekeluargaan, malah saling memahami kehendak antara satu sama lain.

Tambahan pula kini, trend berbasikal dilihat antara aktiviti santai bersama keluarga yang agak popular dan semakin mendapat tempat dalam kalangan rakyat Malaysia.

Itulah yang dilakukan oleh Komuniti Budak Pushbike Malaysia yang mana setiap minggu mereka akan bersama anak-anak dalam aktiviti menunggang basikal imbang atau lebih popular digelar sebagai pushbike.

Pushbike merupakan basikal dua roda yang amat sesuai bagi mengajar kanak-kanak seawal umur 18 bulan untuk mengimbangkan basikal tanpa terlalu menumpukan perhatian kepada kayuhan.

Berbasikal mempunyai banyak manfaat kepada kesihatan kanak-kanak seperti membina daya tahan kardiovaskular dan juga membina kekuatan otot.

Perlu difahamkan, pushbike tidak mempunyai pedal untuk dikayuh, anak-anak akan menolak dengan kaki untuk menggerakkannya. Hal sedemikian menyebabkan mereka bijak untuk mengawal keseimbangan saat untuk membelok, bila untuk berhenti dan ketika menggerakkan basikal.

Harus diakui, permainan pushbike masih lagi asing di Malaysia, namun di Eropah dan Jepun, ia sudah menjadi satu kebiasaan. Seperkara yang saya ingin kongsi, sebenarnya, kanak-kanak 12 bulan juga sudah boleh didedahkan kepada basikal imbang sebagai pengganti basikal roda tiga.

Seperti semalam, Dataran Merdeka, Kuala Lumpur dibanjiri dengan kehadiran si cilik comel yang lengkap dengan kelengkapan menunggang seperti topi keselamatan dan safety pad persis pelumba basikal profesional dalam Program Santai Petang Ahad anjuran oleh Komuniti Budak Pushbike Malaysia.

Dataran Merdeka dibanjiri 'Budak Pushbike', amal gaya hidup sihat di samping pupuk semangat kekeluargaan

Pastinya kehadiran mereka mampu mencuri tumpuan sesiapa sahaja yang berkunjung ke kawasan penuh bersejarah tersebut.

Pengasas Komuniti Budak Pushbike Malaysia, Mohamad Naim Mohamad Isa berkata, sudah pasti tanpa sokongan moral dan kewangan daripada ahli keluarga, komuniti pushbike di Malaysia mungkin tidak ke mana.

Dataran Merdeka dibanjiri 'Budak Pushbike', amal gaya hidup sihat di samping pupuk semangat kekeluargaan

“Untuk mencorak bakat anak-anak, galakan ibu bapa dan ahli keluarga sangat penting dan program sebegini juga mampu melatih kita mengamalkan gaya hidup sihat serta memupuk semangat kekeluargaan secara tak langsung.

“Kanak-kanak yang sihat juga mencerminkan mereka aktif dan berupaya melakukan pelbagai perkara. Salah satu cara terbaik bagi memupuk gaya hidup lebih sihat adalah dengan menggalakkan mereka berbasikal sebegini,” katanya ketika ditemui SinarPlus di Dataran Merdeka Kuala Lumpur semalam.

Dataran Merdeka dibanjiri 'Budak Pushbike', amal gaya hidup sihat di samping pupuk semangat kekeluargaan

Tambah Mohamad Naim atau lebih mesra di sapa Naim, seperti kebiasaan, komuniti akan berkumpul setiap hujung minggu untuk melakukan aktiviti kekeluargaan bersama.

Iklan

Namun, disebabkan oleh pandemik Covid-19, mereka terpaksa akur dengan arahan Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang mana SOP tidak boleh diambil mudah.

“Kini, kejohanan atau pertandingan pushbike juga perlu dihentikan…dulu tiap-tiap minggu ada je ‘race’ tapi kali ini hanya Segamat Kids Cup 2020 sahaja yang baru sahaja mendapat kelulusan yang mana kejohanan tersebut bakal berlangsung pada 31 Ogos ini.

“Diharap kejohanan di Segamat Kids Cup nanti akan berjalan lancar dan berjaya supaya ia menjadi titik permulaan buat kami untuk kembali ke arena gelanggang perlumbaan seperti sebelum ini,” katanya.

Komuniti juga sangat menghargai usaha ahli keluarga yang hadir memeriahkan perjumpaan kali ini dan lebih menarik sambutan hari lahir salah seorang anak ahli komuniti secara santai dan kecil-kecilan juga sempat dijayakan selepas selesai mereka berlatih.

Dataran Merdeka dibanjiri 'Budak Pushbike', amal gaya hidup sihat di samping pupuk semangat kekeluargaan

Iklan

Menurut Naim, Komuniti Budak Pushbike kini semakin aktif dan serius melatih bakat muda dalam sukan pushbike. Komuniti juga telah mewujudkan hashtag #Demianak yang baginya sangat memberi kesan kepada ibu bapa.

“Kalau sayangkan anak korbankan lah sedikit masa kesibukan kerja tu dengan luangkan masa bersantai dengan mereka di hujung minggu, percayalah hubungan kekeluargaan juga akan bertambah baik jika kita selalu meluangkan masa dengan keluarga dan orang tersayang,” katanya penuh optimis ketika mengakhiri perbualan.

Difahamkan, program seumpama ini akan diteruskan pada setiap hari Ahad jika tiada sebarang halangan daripada pihak-pihak tertentu. Siapa sahaja yang ingin turut serta juga boleh lawati page Facebook Budak Pushbike Malaysia.

Jom amalkan gaya hidup sihat!