'Dia tua & boroi.' Anak Abuya trauma kahwin paksa, dakwa didera & dinoda pemimpin atasan GISBH
SKANDAL Global Ikhwan Services and Business Holdings Sdn Bhd (GISBH) makin 'menyeramkan.' Satu persatu pengakuan 'berani' ahli dan pembongkaran kes oleh polis menjadi bualan ramai.
Bagaikan takkan habis kalau digali, pengabaian dan amang seksual, kahwin paksa dan penderaan kanak-kanak terus dikaitkan dengan ajaran sesat itu.
Terbaharu, cerita anak sulung kepada bekas pengasas Al-Arqam, Ashaari Muhammad atau dikenali Abuya menggemparkan Malaya.
Ummu Atiyyah, 41, mendakwa dirinya dipaksa berkahwin pemimpin atasan GISBH bernama Fadhil pada 2015 untuk mengukuhkan organisasi sesat tersebut selepas kematian ayahnya pada 2010.
"Ketika itu, saya memang menolak... saya memang tak nak (kahwin dengannya), sebab (dia) seorang yang tua, boroi, memang saya geli, saya jijik (dengannya).
"Selepas saya dapat WhatsApp itu, saya lari ke rumah kawan saya di Jordan... kemudian dia (lelaki berkenaan) dan pengikutnya datang dan mahu saya serahkan diri.
“Kemudian, saya melarikan diri ke rumah kawan saya di Jordan namun Fadhil dan pengikutnya yang juga adik-beradik saya sendiri sanggup datang seawal pukul 1 pagi buat kecoh di rumah itu untuk paksa saya serah diri.
“Mereka sampai memanggil kawan saya itu, mengugut dan menganggunya selama seminggu hingga akhirnya kawan saya meminta saya keluar dari rumah itu,” katanya dalam sidang media.
Wanita yang berstatus ibu tunggal kepada seorang anak itu terpaksa akur untuk menjadi isteri keempat dan dibawa ke Turkiye.
“Semasa hendak berkahwin dengan dia (Fadhil), saya dipisahkan dengan anak yang kini di bawah jagaan lelaki itu. Selepas dua tahun baru saya bertemu (anak) semula.
“Tindakan itu dibuat disebabkan saya enggan ‘bersama’ dengannya. Malah saya dicucuh dengan pemetik api, dikurung dalam bilik dan direndam dalam kolam berulang kali," katanya.
Episod penyeksaan tidak berakhir di situ. Ummu Atiyyah mendakwa dirinya diperlakukan kejam oleh Fadhil dan darah dagingnya sendiri.
“Paling menyedihkan, perbuatan itu dibuat oleh adik saya sendiri, Khaulah malah didesak untuk membogelkan diri depan Fadhil. Saya juga dilibas dengan getah paip oleh adik saya.
“Disebabkan takut mati kerana sudah sejam direndam dalam air dan telan air yang banyak, saya terpaksa akur dengan kemahuan lelaki tua itu hingga dirogol tanpa kerelaan saya," luahnya.
Tinggal di Turkiye dan pernah lari, Ummu Atiyyah kemudian dibawa ke Indonesia dan terus didera mental dan fizikal sebelum berjaya sekali lagi meloloskan diri.
“Apa yang hendak saya sampaikan di sini, selama berada dalam kumpulan itu betapa teruknya sikap mereka yang bernafsu dan tidak bermaruah.
“Mereka mempromosikan syarikat GISBH ini sebagai syarikat Islam supaya ramai orang percaya dan meraih pelanggan semata-mata,” ujarnya.
Setiap kali ada pengakuan bekas ahli GISBH, ceritanya boleh buat ramai terkedu dan tidak dapat diterima akal.
Polis Diraja Malaysia (PDRM) pun sedia menyiasat sekiranya ada laporan polis dibuat oleh Ummu Atiyyah.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, apabila laporan polis diterima, pihaknya juga akan mengesan keberadaan Ummu Atiyah.
"Sekiranya ada laporan dibuat, pihak polis akan mengesan mangsa dan siasatan akan dijalankan ke arah itu," katanya.
Setakat ini, Perlis, Selangor, Melaka, Pahang, Terengganu dan Pulau Pinang mengisytiharkan amalan dan kepercayaan GISBH sebagai sesat.
Sumber: Sinar Harian, Malaysia Gazzette
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi
Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang