Elak kasut tapak rata, fesyen ekstravaganza ketika hadir temu duga. Ikuti tip ini...

A
A
A

BERSAMA Perunding Imej dan Penata Gaya,

Azlia Idha

SOALAN 

PADA pertengahan April lalu, saya ialah antara pekerja di sebuah syarikat kosmetik yang diberhentikan kerja susulan syarikat terjejas akibat pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Justeru, selepas hampir lima bulan ‘berehat‘, Isnin depan saya bakal menghadiri sesi temu duga jawatan sebagai pegawai pemasaran di sebuah syarikat swasta. Oleh itu, apakah tip pakaian ideal untuk digayakan bagi menampakkan imej korporat?

- LIZA KHUSYAIRI, 30, CHERAS, SELANGOR

JAWAPAN:

PERKARA utama wajar dititikberatkan adalah memastikan pemakaian ke sesi temu duga kelihatan formal. Bukannya, bergaya dalam persalinan fesyen yang ekstravaganza ya!

Bagi wanita tidak bertudung, pastikan rambut didandan kemas. Jangan sesekali membiarkan mahkota wanita kusut-masai dan tidak disisir rapi kerana tindakan sedemikian akan menjejaskan imej kelak.

Sementara itu, kepada para hijabi, jangan sewenang-wenangnya memilih tudung sehingga tidak dapat membezakan antara konsep formal dan kasual.

Teknik lilitan misalnya, memadai mengaplikasikan lilitan minimalis berbanding gaya keterlaluan memandangkan fokus utama anda adalah untuk menghadiri sesi interviu bukannya keluar bersantai membeli-belah.

Selain itu, elak memakai hijab sarat dengan corak abstrak ataupun flora. Jika ingin menggayakan tudung bercorak sekali pun, pilih motif geometri atau jalur yang minimum sahaja.

Berbicara tentang warna, koleksi hijab nuansa kusam dan gelap bukan pilihan tepat kerana ia akan menenggelamkan penampilan. Justeru, anda disarankan menggayakan tudung berasaskan warna yang lebih terang daripada pakaian seperti biru, ungu, hijau, kuning atau merah jambu.

TIP CANTIK

Dalam pada itu, untuk kelihatan korporat, kombinasi kemeja dan blazer bersama seluar slack atau skirt adalah pilihan bersesuaian.

Di sini saya kongsikan juga tip ringkas dan mudah untuk dipraktikkan sebelum menghadiri sesi temu duga.

- Suai dan padan blazer bersama kemeja jalur atau polos warna cerah.

- Elak blazer sarat corak funky atau warna terang kerana ia tidak bersesuaian dengan imej formal. Nuansa hitam dan kelabu amat disarankan.

- Pilih blazer yang diperbuat daripada material slack berbanding denim.

- Kemudian, pilih seluar slack potongan lurus bukannya tirus (skinny) yang mengikut bentuk kaki.

- Pastikan warna blazer dan seluar slack atau skirt adalah senada. Elakkan konsep warna blok kerana ia tidak bersesuaian dengan etika gaya formal.

- Seterusnya, jangan menyarungkan kasut tapak rata. Sebaik-baiknya sepatu bertumit tinggi minimum 1.5 inci (3.81 sentimeter).

Sentiasa diingatkan bahawa penampilan kemas, menawan dan formal bermula dari hujung rambut hingga hujung kaki memberikan gambaran positif majikan terhadap anda.

Secara tidak langsung, anda mempamerkan keperibadian yang berdisiplin dan berkeyakinan tinggi untuk menumpahkah khidmat di syarikat berkenaan.

Justeru, jangan sia-siakan peluang apabila dipanggil menghadiri sesi temu duga. Lakukan yang terbaik dan sentiasa berfikiran positif.

View this post on Instagram

 

A post shared by sinarplus (@sinarplus) on

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi

Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang

Teruskan membaca