SEMBELIT adalah masalah biasa kanak-kanak yang sedang membesar kerana kira-kira 10 ke 30 peratus kes normal berlaku kepada kanak-kanak.

Jarang sekali masalah sembelit disebabkan masalah organik seperti saraf usus lumpuh, kekurangan hormon tiroid, terlebih zat kalsium dan anatomi usus yang tidak normal.

Menurut Pakar Kanak-Kanak merangkap Pensyarah Perubatan Universiti Sains Islam Malaysia, Dr Muhammad Yusoff Mohd Ramdzan, sembelit terjadi kebanyakan masa disebabkan oleh diet yang kurang seimbang, maksudnya pemakanan yang kurang serat contohnya sayur dan buah serta kurang minum air.

“Najis yang lembut terhasil apabila serat (yang tidak dihadam dan diserap oleh badan) membentuk rangka najis dan menyerap air.

“Najis yang kurang serat akan menjadi ketulan keras dan menyebabkan sembelit,” katanya ketika dihubungi SinarPlus baru-baru ini.

Mengulas lanjut mengenai isu sembelit dalam kalangan kanak-kanak, antara tanda-tanda awal sembelit adalah:

i) Anak mengambil masa lebih lama dari biasa di atas tandas.

ii) Anak mengadu sakit ketika membuang air besar.

iii) Lubang dubur terasa sakit selepas membuang air besar (kulit lubang dubur mengalami koyakan mikro).

iv) Kekerapan membuang air besar semakin berkurangan. Sembelit bukan sekadar bermaksud najis besar dan keras.

Iklan

“Kadangkala najis terlampau keras sehingga ia tidak mampu keluar! Yang dapat keluar hanya ketulan-ketulan kecil sahaja. Doktor menggunakan carta Bristol untuk mengukur tahap kekerasan najis. Perhatikan najis anak anda dan rujuk carta berkenaan,” ujarnya.

CARTA Bristol untuk mengukur tahap kekerasan najis.

Apapun, segeralah berjumpa dengan doktor untuk pemeriksaan awal untuk memastikan tiada masalah organik.

“Sembelit biasa (nama lain ialah functional constipation) boleh diatasi dengan memperbetulkan diet dan memakan ubat.

Iklan

“Diet boleh diperbetulkan dengan meningkatkan kandungan serat dalam makanan (tambah sayur, buah, kekacang) dan kerap minum air,” ulasnya.

Pada masa sama, ubat seperti lactulose (sejenis serat) membantu melembutkan najis manakala julap seperti ravin membantu pembuangan najis secara jangka masa pendek.

“Rawatan terbaik adalah memperbaiki diet anak-anak,” katanya.