KONSEP Modern Victorian Farm House di sebuah kediaman dua tingkat yang terletak di Shah Alam, Selangor berjaya menyuntik elemen kedesaan Inggeris.

Bukan sahaja melatari ruang kediaman, malah di setiap ruang termasuk empat bilik tidur dan tiga bilik air mendapat sentuhan sekata.

Pemilik kediaman serba unik dan indah itu, Sheila Samsudin berkata, dekorasi dan segala susun atur adalah hasil kreativiti dan ideanya sendiri yang diperoleh ketika melancong ke luar negara.

“Saya suka terbang ke Eropah terutama sekali di United Kingdom (UK). Kawasan perkampungan mereka sangat cantik kerana masih mengekalkan tradisi British terutamanya pada era Victoria.

“Setiap kali ke UK, saya pasti habiskan banyak masa bercuti di perkampungan mereka. Hanya tiga hingga lima hari sahaja saya akan tinggal di kota London. Saya lebih suka melihat alam semula jadi berbanding membeli-belah,“ katanya.

Bermula dengan kecenderungan itu, Sheila terus jatuh cinta dengan ilham dekorasi Victoria Farm House yang banyak diterapkan di setiap perincian sudut.

“Apabila rezeki saya dapat masuk Istana Buckingham pada tahun 2019, ia telah menambahkan lagi kecintaan saya memandangkan di dalam istana tersebut penuh dengan konsep era Victoria,“ ceritanya.

KARAKTERISTIK

Menjelajah ke segenap ruang membuatkan sesiapa sahaja akan cepat terpesona. Mainan warna memang mematuhi ciri khas gaya Victoria yang cukup terkenal dengan desainnya yang rumit dan terkadang asimetri.

Ujar ibu kepada sepasang cahaya mata itu, setiap ruang rata-ratanya didominasi dengan rona putih, sementara kelengkapan perabot, langsir dan aksesori lain dipadankan dengan warna keperangan (beige).

Di ruang tamu misalnya, tidak hanya susunan yang tampak kemas, malah rona lembut sofa empuk, jam dinding, lampu chandelier, hiasan yang menempel di dinding, aksesori tambahan lain termasuk meja tamu yang memiliki percikan warna emas memang secocok.

RUANG PRIVASI

Begitu juga di ruang makan yang sarat dengan nilai estetika. Seleksi perabot berasaskan elemen kayu yang bertekstur menonjolkan lagi sisi sebuah kediaman ala farmhouse.

Menjengah ruangan bilik utama pula, ia kelihatan minimalis dengan penggunaan rona pastel pada sarung bantal, cadar dan selimut yang tenang dan mendamaikan. Aturan yang sama turut diterjemahkan di ruang privasi Sheila bersama belahan hatinya.

Iklan

Untuk bilik anak-anak pula, wanita berkenaan memberi kebebasan kepada si anak untuk membuat pilihan mengikut cita rasa masing-masing.

Seperkara yang menarik perhatian penulis ialah statement door yang dipasak pada pintu utama mahligai itu. Dengan desain klasik dan terselit unsur alami, ia seolah-olah mengalu-alukan tetamu yang datang bertandang.

HALWA MATA 

Sheila juga tidak melupakan bilik solat dan ruangan merias. Pewarnaannya lebih mengarah kepada kombinasi warna biru gelap, emas dan putih.

Turut mencuri tumpuan halwa mata penulis ialah landskap hadapan rumah usahawan yang juga perunding pelaburan itu.

Iklan

“Sejak memiliki rumah ini berkeluasan 3,455 kaki persegi, saya tidak pernah mengubah landskap sedia ada kerana saya suka kediaman yang memiliki tanah yang lapang. Sementelah, saya jenis yang suka habiskan masa di halaman rumah berbanding di dalam rumah.

“Sebab itu, saya biarkan halaman rumah seperti asal, cuma saya cantikkan ia menjadi taman yang berkonsepkan farm house,“ katanya.

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di TwitterInstagramYouTube & Tiktok SinarPlus. Join grup Telegram kami DI SINI untuk cerita-cerita yang ohsem dan menghiburkan