'Kalau ALLAH beri rezeki, alhamdulillah’ – Radin tak terburu-buru soal cahaya mata, bahagia dengan keluarga yang ada

No Image Caption
A
A
A

Hampir 35 tahun hidup mengikut rentak sendiri, hos dan penyampai radio terkenal, Radin kini belajar menyusun semula kehidupan apabila tanggungjawab sebagai suami mula mengambil tempat yang lebih besar dalam rutin hariannya.

Bagi pemilik nama lengkap Radin Amir Affendy itu, perkahwinan bukan sekadar berkongsi kehidupan dengan insan tersayang, sebaliknya menuntut perubahan dalam cara membuat keputusan, mengurus masa dan menentukan keutamaan.

Memasuki fasa baharu rumah tangga yang ketika ditemu bualnya lebih lima bulan, Radin, mengakui masih banyak perkara yang perlu dipelajari, terutama dalam menyesuaikan tuntutan kerjaya dengan komitmen terhadap keluarga.

No Image Caption

Alhamdulillah, perjalanan itu menjadi lebih mudah apabila isterinya, Nur Amirah Shamsulbahrin. sentiasa memberikan sokongan dan memahami tuntutan kerjanya yang bukan hanya tertumpu kepada tugas di konti radio.

“Daripada awal lagi saya sudah cakap dengan dia, I'm ready to be a husband and to be a father. Cuma berikan saya sedikit masa sebab saya perlu mengejar rentak kehidupan baharu ini.

“Alhamdulillah, isteri saya memahami. Pada masa sama, saya juga perlu belajar memahami keperluan dan perasaannya,” katanya.

Bagi lelaki berusia 36 tahun itu, cabaran sebenar bukanlah soal kesediaan untuk berkahwin, tetapi bagaimana memastikan kehidupan yang sebelum ini bergerak mengikut jadual sendiri kini dapat diselaraskan dengan keperluan pasangan.

Jadual kerja yang tidak menentu, termasuk undangan acara dan komitmen di luar tugas penyiaran, kadangkala memerlukan perancangan semula. Apatah lagi apabila sesuatu aktiviti keluarga sudah dirancang lebih awal.

“Kadang-kadang isteri beritahu hujung minggu ini dia sudah beli tiket penerbangan, tetapi saya pula ada acara yang perlu dihadiri. Perkara seperti ini membuatkan saya sedar bahawa apa sahaja yang mahu saya ambil atau lakukan, saya perlu berbincang dengannya terlebih dahulu.

“Bukan bermaksud kita perlu meminta izin untuk setiap perkara, tetapi kita perlu saling mengambil kira tanggungjawab masing-masing,” ujarnya.

No Image Caption

KEUTAMAAN BERUBAH,

Perubahan itu turut dirasai dalam aspek kewangan. Jika sebelum berkahwin Radin mengurus pendapatan dan perbelanjaan sendiri, termasuk keperluan arwah ibunya, kini pertimbangan terhadap keluarga menjadi sebahagian daripada perancangan kewangannya.

Menurutnya, perkahwinan mengajarnya bahawa setiap keputusan perlu mengambil kira keperluan bersama, bukan hanya kehendak peribadi.

“Dulu, apabila gaji masuk atau ada rezeki lebih, saya menguruskan semuanya sendiri. Tetapi apabila sudah berkahwin, keutamaan kewangan itu berubah kerana kita mempunyai keluarga yang perlu difikirkan.

“Begitu juga dengan masa. Kalau ada pekerjaan baharu, saya perlu semak jadual bersama isteri supaya kami tahu komitmen masing-masing,” jelasnya.

Dalam proses itu, komunikasi menjadi perkara yang semakin penting. Radin mengakui ada kalanya dia tidak sempat menguruskan sesuatu perkara, lalu isterinya membantu menyusun keperluan keluarga agar semuanya berjalan dengan lebih teratur.

Bagi Radin, kehidupan berumah tangga bukan tentang siapa yang perlu mengalah setiap masa, sebaliknya bagaimana pasangan boleh mencari jalan tengah apabila berdepan perbezaan keperluan dan jadual.

Walaupun masih dalam fasa penyesuaian, dia bersyukur kerana mempunyai pasangan yang bersedia berbincang dan membantunya memahami tanggungjawab baharu itu.

No Image Caption

CAHAYA MATA

Bercerita mengenai perancangan menambah cahaya mata, Radin tidak menafikan hasrat untuk membina keluarga bersama isterinya. Namun, dia memilih untuk tidak terlalu memikirkan soal waktu atau menetapkan tempoh tertentu.

Baginya, rezeki anak merupakan sesuatu yang diterima dengan penuh kesyukuran, tanpa mengira bila ia hadir.

“Saya dan isteri tidaklah merancang secara khusus untuk setahun atau dua tahun akan datang. Kalau Allah berikan rezeki, alhamdulillah. Kalau belum ada, saya juga bahagia dengan keluarga yang ada sekarang.

“Sebagai seorang lelaki, memang ada harapan untuk membina keluarga sendiri. Tetapi saya percaya setiap perkara ada waktunya dan kita perlu menerima apa sahaja rezeki yang diberikan,” katanya.

No Image Caption

Selepas melalui fasa awal perkahwinan, Radin sedar bahawa membina rumah tangga memerlukan kesediaan untuk terus belajar, termasuk menerima pandangan pasangan dan memperbaiki diri apabila melakukan kesilapan.

Baginya, lima bulan pertama itu hanyalah permulaan kepada perjalanan yang lebih panjang. Tiada siapa yang terus mahir mengemudi kehidupan berdua, tetapi kesediaan untuk saling memahami menjadi asas penting untuk melangkah bersama.

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi

Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang