Atisha Khan umum berpisah, ikatan empat tahun terlerai
PEMPENGARUH media sosial, Atisha Khan mengumumkan perkahwinannya bersama suami, Wan Amirul Haiqal kini berakhir apabila kedua-duanya sepakat membawa haluan masing-masing.
Atisha yang juga adik kepada selebriti popular, Neelofa brrkongsi luahannya menerusi satu hantaran di laman Threads baru-baru ini.
Menurut Atisha, dia selama ini lebih selesa menjaga privasi kehidupan peribadi, namun memahami ramai pengikut turut mengikuti perjalanan hidupnya sejak sekian lama.
Justeru, dia memilih untuk berkongsi perkembangan berkenaan meskipun bukan sesuatu yang mudah untuk diterima.
"Saya sentiasa cuba merahsiakan perkara tertentu berkaitan kehidupan peribadi, namun saya juga faham bahawa selama ini saya sudah banyak berkongsi perjalanan hidup dengan anda semua.
"Sebahagian besar kehidupan saya dihabiskan dengan mempercayai bahawa perkara tertentu akan sentiasa menjadi sebahagian daripadanya.
"Menerima kenyataan bahawa kehidupan mungkin berbeza daripada apa yang selama ini saya bayangkan bukan sesuatu yang mudah. Namun, saya fikir amat penting untuk kita tahu bila masanya untuk melepaskan.
"Saya dan Haiqal sudah membuat keputusan untuk membawa haluan masing-masing dan kami berdua berada dalam keadaan baik," kongsinya.
Dalam pada itu, Atisha turut menitipkan penghargaan terhadap bekas suami.
Baginya, apa juga keputusan tidak seharusnya memadamkan kenangan yang pernah dikongsi bersama.
"Walau apa pun yang membawa kami ke titik ini, Haiqal ialah seseorang yang pernah memainkan peranan besar dalam hidup saya dan itu bukan sesuatu yang boleh saya ketepikan begitu sahaja.
"Saya akan sentiasa menghormati tahun-tahun yang telah kami lalui bersama dan berharap penghormatan yang sama dapat diberikan kepada kami berdua ketika masing-masing mencari jalan untuk meneruskan kehidupan," titipnya.
Sebagai info, Atisha dan Wan Amirul Haiqal mendirikan rumah tangga pada 22 Januari 2022 selepas hampir 10 tahun perkenalan.
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi
Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang
