SIAPA kata warna merah jambu hak mutlak kanak-kanak perempuan ataupun kelompok remaja yang meminati fesyen Pop Art? Tahukah anda rona tersebut adalah bersifat universal yang ideal digayakan wanita tanpa mengira peringkat umur dan latar belakang.

Pengacara televisyen dan penulis makanan popular kelahiran Bath, United Kingdom (UK), Mary Berry misalnya, antara wanita berusia emas yang gemar menyuntik kelainan dalam bab berfesyen.

Tatkala, wanita seusianya selesa menyarungkan busana palet warna pastel dan lembut, namun Berry, 84, tampil berani menggayakan koleksi pakaian nuansa merah jambu terang.

Kemunculan beliau menyarungkan koleksi Damsel in a Dress rona merah jambu pada satu majlis tahun lalu misalnya, pantas meraih perhatian netizen dan pemain industri fesyen antarabangsa.

Majoriti menyifatkan keberanian Berry memilih warna berkenaan secara tidak langsung membuktikan merah jambu hak milik setiap wanita.

fesyen pink
BERRY antara personaliti kelahiran UK yang gemar menyarungkan busana merah jambu.

Bicara Berry, wanita seharusnya berani dan bebas bereksperimentasi menterjemahkan perkara diminati dalam medium penggayaan.

Sememangnya, faktor usia bukan penghalang bagi seseorang itu tampil stailo, apatah lagi memilih item fesyen rekaan dan warna moden seperti merah jambu.

fesyen
BAIK pelakon Uqasha Senrose (kiri) mahupun Janna Nick, masing-masing mempunyai cita rasa gaya tersendiri apabila menggayakan fesyen warna merah jambu.

Hakikatnya, nuansa itu ideal digayakan wanita daripada pelbagai peringkat umur asalkan bijak mempraktikkan konsep suai dan padan bersama pakaian, aksesori, tas tangan dan sepatu pilihan.

Tip gaya merah jambu:

1. Kombinasi bersama denim
Sekiranya menyarungkan blaus polos ataupun taburan bunga warna merah jambu, maka serlahkan penampilan dengan seluar atau skirt jenis denim.

Kombinasi tersebut menyuntik gaya kasual dan feminin.

Iklan

2. Paduan warna pastel
Jika menggayakan dres atau sut warna merah jambu, elak memakai aksesori berasaskan warna yang sama. Sebaliknya, suai padan aksesori, kasut atau tas tangan palet pastel untuk menyempurnakan penampilan.

3. Aksesori pink

fesyen
Bagi yang menggemari busana warna hitam pilih aksesori nuansa merah jambu untuk membangkitkan kembali penampilan yang tampak ‘tenggelam’.

Iklan

Pun begitu, aksesori merah jambu juga serasi dipadakankan bersama pakaian warna lain seperti biru, ungu atau kuning bergantung pada ton.

 

Foto: Instagram selebriti dan sumber internet