MAJLIS perkahwinan pelakon Mira Filzah dan pasangan, Wan Emir Astar Wan Mohammad Khair-il Anuar masih hangat diperkatakan dalam kalangan netizen.

Menerusi laman sosial baik Facebook mahupun Instagram, masing-masing galak berkongsi foto hari bahagia pasangan mempelai tersebut.

Nampaknya, keterujaan mereka terserlah apabila berbicara mengenai persalinan digayakan Mira bermula pada majlis pernikahan hingga resepsi kedua yang berlangsung di A-Park, Puchong, Selangor pada Ahad lalu.

Masakan tidak, penampilan pelakon manis itu berjaya mencuri tumpuan apabila menggayakan busana sentuhan tiga pereka fesyen tempatan hebat.

mira filzaj
PERSIS gadis Melayu apabila Mira Filzah menyarungkan baju kurung Pahang bertatah ribuan jemeki rekaan label Rizman Ruzaini.

Bagi majlis pernikahan Mira memilih baju kurung Pahang jenama Rizman Ruzaini nuansa putih. Dimaklumkan, busana tradisional bertatah ribuan jemeki pada bahagian kaki baju itu disiapkan dalam tempoh 200 jam.

Sementara itu, pada majlis resepsi pertama pula pereka Fizi Woo menghasilkan gaun perkahwinan potongan kembang yang berjaya disempurnakan dalam tempoh masa 500 jam. Taburan perincian mewah kilauan rona emas yang menghiasi bahagian atas gaun diinspirasi daripada corak Arabesque.

mira filzah
GAUN potongan kembang rekaan FiziWoo ini disiapkan dalam tempoh 500 jam.

Menariknya, baik majlis pernikahan mahupun persandingan kelihatan Mira tidak memakai tiara dan memegang jambangan bunga. Bagaimanapun, penampilan ratu sehari tersebut masih memukau pandangan mata hadirin apabila menggayakan layah dan selendang bertatah perincian.

Seterusnya, Ahad lalu Mira yang memilih resepsi berkonsepkan dalam taman menyarungkan busana kombinasi dres dan seluar warna powder blue rekaan Rico Rinaldi.

Iklan

Menurut Rico, pants dress berasaskan fabrik krep sutera itu menggabungkan manik berbentuk bunga yang dicampurkan bersama rona biru gelap, kelabu metalik dan hijau.

mira filzah
BUAT julung kalinya, Rico (foto kecil) menampilkan kelainan menghasilkan busana ratu sehari yang menggabungkan seluar dan dres.

“Dua minggu sebelum resepsi, Mira hadir berbincang dan mengimpikan busana yang mana rekaannya sesuai dengan majlis dalam taman.

Iklan

“Pada masa sama, memberitahu majlis itu diadakan pada sebelah pagi dan akan menganjurkan game. Usai memahami serba sedikit corak perjalanan resepsi, maka timbulnya idea mereka busana menggabungkan seluar dan sut serta belahan sedikit pada bahagian hadapan,” katanya ketika dihubungi SinarPlus hari ini.

Tambah Rico, rekaan pants dress terbabit merupakan karya pertama beliau sepanjang 12 tahun berkecimpung di persada industri fesyen tempatan.