Topeng muka rekaan moden item fesyen popular masa kini

A
A
A

PADA kurun ke-19, topeng muka dicipta untuk tujuan perubatan bagi melindungi penduduk di China daripada dijangkiti wabak pneumonik, menurut penulis buku History of Surgical Face Masks, John L. Spooner.

Di Jepun dan Korea Selatan pula katanya, alat pelindung itu dipakai ketika kedua-dua negara itu berdepan dengan pencemaran udara melampau.

Itu cerita lama. Namun, pada era moden kini, topeng muka kembali menjadi signifikan.

Masakan tidak, pandemik Covid-19 yang menular membuatkan penduduk di seantero dunia terkesan. Graf permintaan terhadap alat pelindungan itu meningkat berkali-kali ganda.

Seiring dengan situasi semasa, topeng muka telah menjadi salah satu elemen fesyen. Siapa sangka alat keselamatan itu telah memberi tempias dalam industri penuh glamor itu?

Ramalan menyebut, memakai pelitup daripada logo jenama-jenama besar bakal menjadi trend. Memang benar. Lihat sahaja gaya selebriti antarabangsa yang menggayakan pelitup muka dengan jenama kegemaran masing-masing.

Mengikut portal berbayar, https://adage.com, Nike dan Gap adalah antara perintis awal kepada pembikinan alat keselamatan berkenaan.

Dari masa ke masa, Louis Vuitton, GAP, Madewell, Banana Republic, Juliya Kros, Lerros termasuk Disney mengikut jejak langkah sama.

Jenama-jenama tersebut berlumba-lumba menghasilkan corak dan warna topeng muka mengikut signatur masing-masing. Apa yang pasti, setiap kali dimuat naik dalam talian, ia habis dijual dalam sekelip mata walaupun harga yang ditetapkan mencecah ribuan ringgit.

Di Malaysia, pereka tempatan juga tidak ketinggalan meniti arus yang sama. Dalam memenuhi selera fesyen tempatan, mereka sangat mengambil berat aspek pemilihan fabrik, desain dan perincian yang digunakan bagi memastikan ia sesuai dengan mereka yang berhijab atau sebaliknya.

Justeru, pada minggu ini, segmen Indeks Fesyen memaparkan lima fesyen antarabangsa dan lokal popular yang mengeluarkan topeng muka untuk kegunaan jejaka mahupun wanita.

1 Louis Vuitton

topeng muka

LVMH iaitu pemilik jenama seperti Louis Vuitton (LV), Dior, Givenchy dan Fendi telah mengupah seramai 300 pekerja tambahan untuk projek topeng muka label LV.

Kos pembuatan topeng kanvas yang menerapkan corak monogram nuansa coklat klasik gelap itu mencecah harga RM7,690.50.

Sama seperti LV, Fendi juga menampilkan monogram logonya. Sebelum melancarkan topeng muka, LV telah membantu memerangi Covid-19 dengan menghasilkan 100,000 topeng seminggu sebelum diagihkan kepada barisan hadapan pasukan perubatan yang memerlukan.

2 Hermes

topeng muka

Jenama tersebut mempunyai cara tersendiri dalam menghasilkan pelitup wajah kontemporari.

Rumah fesyen Perancis tersebut telah mengolah koleksi selendang keluaran mereka lalu dijadikan topeng muka konsep glamor, feminin dan menawan.

Ia ideal digayakan ketika keluar bersantai sambil menikmati secawan latte panas atau dipadankan bersama gaun dan blaus.

3 Gap

Gap antara jenama yang aktif mengeluarkan topeng muka khas untuk orang dewasa dan kanak-kanak dengan pelbagai desain dan fabrik.

topeng muka

Gap dalam laman webnya terlebih dahulu memberi amaran bahawa alatan perlindungan diri itu tidak sesuai digunakan untuk anak kecil di bawah usia dua tahun.

“Topeng muka mesti dicuci terlebih dahulu sebelum memakainya buat kali pertama dan selepas penggunaannya. Elakkan juga topeng muka menyentuh wajah,“ kata Gap yang turut menghasilkan topeng yang boleh digunakan semula.

4 Jovian Mandagie

topeng muka

Selain rekaan kasual yang polos dalam variasi warna, Datuk Jovian Mandagie turut menghasilkan pelitup wajah untuk ratu sehari.

Berasaskan kain renda warna putih, topeng muka karyanya tampak kemas pada wajah susulan potongan dan jahitannya yang sangat teliti.

5 Rizman Ruzaini

topeng muka

Pereka fesyen duo popular negara, Rizman Nordin dan Ruzaini Jamil (Rizman Ruzaini) juga tidak terkecuali melancarkan kit khas yang mengandungi topeng muka dan cecair pembasmi kuman.

Kit istimewa itu hadir dalam beg mini.Bertambah menarik, penutup hidung dan mulut keluaran Rizman Ruzaini bukan hanya untuk wanita, malah golongan jejaka juga berpeluang tampak segak memakai alat pelindung berkenaan.

 

Foto Sumber internet dan instagram @JOVIANRTW, @RIZMANRUZAINI

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi

Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang

Teruskan membaca