BAKING soda merupakan bahan kimia ionik yang mempunyai formula molekul NaHCO3.

Ia adalah bahan bersifat bes dan mudah bertindak balas dengan bahan bersifat asid dan mempunyai pelbagai kegunaan dalam kehidupan seharian termasuklah sebagai bahan pengembang dalam pastri, bahan dalam pembuatan bunga api dan bahan pemadam api, ubatan, bahan pembersih, penyerap bau dan pelbagai lagi.

Berdasarkan perkongsian doktor gigi di Klinik Pergigian Azila Bangi, Dr Azila Mohd Kasim menerusi entri Facebooknya, beliau mendapati ramai yang menggunakan bahan itu ketika memberus gigi.

Apakah ia selamat?

Menjawab persoalan itu, Dr Azila menjelaskan, baking soda adalah alternatif yang baik untuk menggantikan ubat gigi biasa terutamanya bagi orang yang bimbang dengan kandungan kasar sesetengah ubat gigi untuk membersihkan enamel.

“Namun demikian, penggunaan soda yang berlebihan boleh membahayakan enamel gigi kerana sifat kasar baking soda.


“Selain itu, baking soda bukanlah pengganti ubat gigi kerana ia tidak mengandungi fluorida untuk melawan kaviti (karies),” beritahu Dr Azila.

Menjawab satu soalan lain, beliau berkata, fluorida adalah mineral yang wujud secara semula jadi dalam banyak jenis makanan dan air.

Setiap hari, terdapat tambahan dan kehilangan mineral daripada lapisan enamel gigi melalui dua proses iaitu demineralisasi dan remineralisasi.

“Kehilangan mineral (demineralisasi) daripada lapisan enamel gigi berlaku akibat serangan asid yang terhasil daripada tindak balas bakteria dalam plak dengan gula dalam mulut.

“Demineralisasi yang berlebihan tanpa remineralisasi yang mencukupi untuk memulihkan lapisan enamel akan menyebabkan kerosakan gigi,” kata doktor gigi itu.

Ujar Dr Azila lagi, sebenarnya fluorida bertindak dengan mempercepatkan pembinaan semula struktur enamel dan boleh menghentikan ataupun membolehkan ‘kebalikan’ proses pereputan gigi.


Pada masa sama, fluorida boleh membuatkan enamel lebih tahan kepada asid yang menyebabkan demineralisasi berbanding keadaan asalnya.

Jadi, bolehkah ubat gigi baking soda digunakan setiap hari?

Iklan

Jawabnya, disebakan oleh komposisi abresifnya, ia lebih berbahaya daripada selamat.

“Enamel seseorang mungkin terluka dan mudah berkaviti jika anda menggunakan baking soda setiap hari untuk membersihkan dan memberus gigi.

“Kesannya, gigi anda akan menjadi lebih sensitif dan terdedah kepada kaviti gigi serta ia boleh merosakkan enamel sekali gus menyebabkan gigi menjadi lebih sensitif terhadap suhu panas atau sejuk selain menyebabkan rasa sensitif ketika memberus gigi,” katanya.

Iklan

Beritahu Dr Azila lagi, jika menggosok gigi menggunakan baking soda setiap hari, sebilangan orang mungkin mendapati bahawa mulut mereka sensitif terhadap sifat bahan itu, tetapi secara amnya, baking soda tidak membahayakan atau menyebabkan kerosakan gigi jika digunakan secara berkala.

Artikel berkaitan: Tiada kajian kukuh dapat buktikan produk berasaskan arang boleh putihkan gigi, sebaliknya…

“Masalahnya timbul apabila seseorang memberus dengan kuat atau agresif apatah lagi bersama dengan baking soda, ia boleh menghilang atau berpotensi merosakkan enamel,” tambah Dr Azila.

Diharapkan orang ramai di luar sana lebih cakna dengan kepentingan ubat gigi berflorida. Semoga bermanfaat.