SUSULAN tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) lalu bagi mengekang wabak Covid-19 yang memerlukan pengguna berada di rumah, peningkatan penggunaan elektrik memang ketara bukan?

Hakikat itu juga diperakui oleh pihak Tenaga Nasional Berhad (TNB). Susulan itu jua diskaun berkaitan telah ditawarkan untuk meringankan beban orang ramai.

Begitupun, TNB menyarankan, hakikatnya, orang ramai perlu diingatkan agar mereka peka terhadap penggunaan tenaga penting itu.

“Selaku pengguna, kita boleh membantu sektor tenaga menjamin kestabilan dengan mempertimbangkan tahap penggunaan tenaga kita sendiri.

Untuk tujuan ini, rumah yang menggunakan teknologi Smart Meter (Meter Pintar) mempunyai kelebihan untuk memantau tahap penggunaan tenaga mereka secara harian, kerana mereka dapat menjejak penggunaan mereka menggunakan aplikasi myTNB.

Pengguna yang tidak memiliki Meter Pintar juga boleh menjejak penggunaan tenaga masing-masing menggunakan aplikasi, tetapi hanya secara bulanan.

Selain menggalakkan pengguna meter pintar menggunakan tenaga secara lebih cekap, aplikasi ini juga membantu menjimatkan tenaga yang seterusnya boleh disalurkan kepada kumpulan yang lebih memerlukan, terutamanya dalam sektor penjagaan kesihatan yang bergantung kepada tenaga elektrik untuk merawat pesakit,” kata TNB dalam kenyataan media kepada SinarPlus baru-baru ini.

Tambahan lagi, kata TNB, mereka yang mempunyai meter pintar mendapat manfaat tambahan tidak memerlukan pembaca meter datang mengambil bacaan meter.

Sebaliknya, meter boleh dibaca secara jarak jauh, bil diberikan tepat pada masanya. Pengguna bukan sahaja boleh menyemak penggunaan harian, tetapi juga membayar bil dalam talian untuk memudahkan lagi hidup mereka. Dengan kata lain, penjarakan sosial dapat diamalkan.

Menurut TNB lagi, walaupun bekalan tenaga kita boleh ditampung pada hari ini, penggunaan bekalan elektrik yang semakin meningkat memerlukan cara yang lebih cekap untuk menguruskan penggunaannya.

Pengguna boleh kawal tenaga

Dalam hal ini, kita sebagai pengguna bekalan elektrik harian boleh memainkan peranan penting dalam pengurusan tenaga, kerana kita sebenarnya boleh mengawal permintaan tenaga.

Dengan menggunakan Meter Pintar, kita boleh mengatasi segala cabaran menguruskan penggunaan elektrik kita dengan lebih mudah. Ia juga menjadi asas bagi penciptaan Grid Pintar, yang akan terus menambah baik pengedaran bekalan elektrik di seluruh negara.

Dengan memanfaatkan teknologi IoT, komunikasi antara kawasan yang memerlukan bekalan elektrik dan kawasan yang tidak memerlukannya, akan membolehkan TNB menguruskan pengagihan elektrik dan mengurangkan pembaziran.

Iklan

Tindak balas lebih pantas boleh diberikan terhadap sebarang bentuk isu, lantas menambah baik kehidupan dan merintis jalan bagi Kehidupan Pintar dan Bandaraya Pintar.

Kata TNB, Meter Pintar adalah sebahagian daripada perjalanan negara kita ke arah proses pendigitalan, satu konsep yang sangat munasabah dan diterima pakai dalam dunia hari ini berbanding masa lepas, sambil kita bekerja dan berhubung dari rumah.

Kita perlu ingat bahawa pendigitalan bukan sahaja berkaitan dengan peranti mahupun perisian yang kita gunakan dalam peranti tersebut, tetapi lebih daripada itu, ia meliputi manfaat teknologi yang mengubah cara hidup kita.

Meter Pintar membantu kita memainkan peranan ini dengan menjadi alat asas yang diperlukan untuk mengubah cara kita memanfaatkan tenaga elektrik dan manfaatnya kepada orang di sekeliling kita.

Iklan

“Tempoh mencabar masa kini seharusnya dijadikan pengajaran dan peringatan tentang betapa pentingnya tenaga elektrik dalam kehidupan kita, dan mengapa kita perlu menaik taraf alat yang kita gunakan untuk memantau penggunaan elektrik, dalam usaha kita meneroka segala kemungkinan untuk merangka masa depan yang lebih cerah dan lebih baik,” kata kenyataan TNB lagi.

ANEKDOT:

Meter Pintar adalah cara yang baru bagi rakyat Malaysia untuk mendapatkan bacaan meter mereka. Rumah yang menggunakan Meter Pintar mempunyai kelebihan untuk:

1) Jejaki penggunaan tenaga mereka menggunakan aplikasi myTNB
2) Pembaca meter tidak perlu datang ke rumah untuk mengambil bacaan meter
3) Bil diberikan tepat pada masanya dan pengguna boleh membayar bil secara online