SEJAK kebelakangan ini, cuaca di luar sangat panas. Masakan tidak, belum lagi waktu tengah hari menjelma, bahangnya sudah terasa.

Keadaan itu biasanya akan membuatkan kita cepat dahaga. Sudah pasti perkara yang bermain di dalam benak adalah mahu menikmati minuman berais, cendol atau ais batu campur.

Di negeri utara Semenanjung Malaysia, terdapat satu minuman yang menjadi ‘kegilaan‘ ramai.

Tidak lain tidak bukan adalah ais kepal yang  lazimnya dihiasi dengan variasi hidangan tambahan (topping) seperti buah-buahan, kekacang dan perasa.

ais kepal

Kepada SinarPlus, Mardiana Rasudin berkata, beliau bersyukur apabila percaturannya membuka bisnes ais kepal dengan mewujudkan premis yang dinamakan Cabin Ais Kepal Cik Ana di Taman Lagenda, Padang Serai, Kedah mendapat sambutan luar biasa.

Ujar wanita berusia 36 tahun itu yang mesra disapa Cik Ana, sejak perniagaannya dibuka pada tahun 2017, beliau tidak menang tangan untuk memenuhi permintaan para pelanggan yang ‘mengidam‘ sentuhan air tangannya.

Daripada 10 jenis pilihan yang ditawarkan, ais kepal buah campur dan ais kepal milo strawberi antara menu paling laris dijual.

ais kepal

Difahamkan pada setiap kali hujung minggu, penduduk setempat akan beratur panjang mendapatkan minuman viral yang dijual pada harga bermula RM3 hingga RM8 sahaja.

Apakah rahsia di sebalik kelazatan ais kepal Cik Ana?

Sambil tertawa ketika kami berbual menerusi corong telefon, usahawanita itu berkata, barangkali disebabkan variasi topping termasuk bancuhan krim berwarna putih yang dihasilkan mengikut resipinya sendiri.

“Banyak kali juga saya dan seorang kawan lagi mencuba untuk mendapatkan bancuhan krim yang betul-betul sedap selain milo.

“Selepas berekperimentasi, akhirnya menjadi juga. Bancuhan krim untuk ais kepal pun saya jual pada harga RM200 untuk satu bekas seberat hampir 13 liter,” ujarnya.

Iklan

ais kepal

Cik Ana berkata, produk tambahan yang berupa krim itu sanggup dijualnya kepada mereka yang berminat demi membantu lebih ramai individu khususnya golongan wanita yang mahu menjana pendapatan melalui jualan ais kepal.

“Mungkin dengan jualan bancuhan ini dapat memudahkan mereka menjalankan perniagaan sama dengan saya,” tuturnya yang turut melakukan perkhidmatan penghantaran dari rumah ke rumah.

Mengenai seleksi buah-buahan, selain strawberi, mangga, Cabin Ais Kepal Cik Ana turut menyediakan buah kiwi dan naga yang segar.

Iklan

Selain ais kepal, Cik Ana turut menjual minuman ais kisar yang mempunyai 15 pilihan menu.

ais kepal

Cabin Ais Kepal Cik Ana

  • Alamat: Taman Lagenda, Padang Serai, Kedah
  • Waktu operasi: 11 pagi hingga 6 petang
  • Menu signatur: Ais kepal buah campur dan ais kepal milo strawberi
  • Harga: Bermula RM3 hingga RM8
  • Facebook: Mardiana Ana

Mencari ais kepal yang enak dan kena dengan tekak memang tidak mudah lebih-lebih pada tempoh Perintah Kawalan Pergerakan ini yang menyaksikan banyak premis ditutup.

Jika di Kedah, Cabin Ais Kepal Cik Ana jadi perhatian, bagaimana pula dengan lokasi-lokasi lain?

Bagi membantu pembaca SinarPlus memilih destinasi yang menjanjikan kepuasan maksimum, berikut empat lokasi lain yang dicadangkan:

ais kepal

Ais Kepal JB

  • Alamat: No 23, Jalan Riang 9, Taman Gembira, Johor Bahru, Food Truck B5 Street Market dan Tebrau Food Truck Arena Johor
  • Waktu operasi: Bermula 10 pagi hingga 5 petang
  • Menu signatur: Ais kepal milo dan Manggo Kepal 2.0
  • Harga: Bermula RM3
  • Facebook: Kepal (Ais Kepal JB)

ais kepal

Ais Kepal Ipoh

  • Alamat: 99 Jalan Sultan Yussuf (@ Kong Heng Square), Ipoh, Perak
  • Waktu operasi: 11 pagi hingga 4 petang dan 10 pagi hingga 5.30 petang (Sabtu dan Ahad)
  • Menu signatur: Ais kepal mangga asam, limau kasturi asam dan pelangi
  • Harga: Bermula RM3
  • Facebook: Bits & Bobs – Sejak Selalu

ais kepal

Ais Kepal D‘Kuala

  • Alamat: Kampung Beruas, Pekan, Pahang
  • Waktu operasi: 2 petang hingga 7 malam
  • Menu signatur: Ais kepal buah
  • Harga: Bermula RM5
  • Facebook: AisKepal D‘Kuala

ais kepal

Ais Kepal-Kepal Delicious

  • Alamat: Berhadapan SMK Mudzafar Shah, Simpang Empat, Semanggol, Perak
  • Waktu operasi: 11 pagi hingga 8 malam
  • Menu signatur: Ais kepal milo special
  • Harga: RM2.50 hingga RM8
  • Facebook: Ais Kepal-Kepal Delicious