BARU beberapa hari umat Islam menyambut kedatangan bulan Syawal, pasti ada yang sudah merancang untuk mengadakan majlis rumah terbuka. 

Bila berbicara soal rumah terbuka pasti yang terlintas di fikiran adalah juadah-juadah yang bakal disajikan oleh tuan rumah. Jadi bagi mereka yang ingin mengadakan rumah terbuka, dah ada idea nak masak apa untuk para tetamu?

Jika belum ada idea lagi, SinarPlus ingin berkongsikan satu resipi yang boleh dimasukkan ke dalam senarai menu rumah terbuka iaitu soto ayam. 

Resipi ini dikongsikan oleh seorang pengguna Facebook, Elvianna El-Zahra di dalam entrinya. 

Soto ayam sangat sesuai dimakan bersama begedil.

Berikut bahan-bahan dan cara penyediaannya:

Bahan-bahan kuah soto ayam

  • Bahagian tulang ayam (boleh gunakan rangka ayam) 
  • Isi ayam
  • 1 biji bawang merah
  • 2 biji bawang Holland
  • 6 ulas bawang putih
  • 2 batang serai (diketuk)
  • Akar daun sup (dibersihkan)
  • Daun sup
  • Daun bawang 
  • 1 inci halia
  • 1 paket kecil serbuk kurma
  • 1 paket kecil rempah sup
  • 2 kiub pati ayam 
  • Sup bunjut (sup tulang)
  • Bunga lawang
  • Kayu manis
  • Cengkih 
  • Biji pelaga 

Cara penyediaan

Baca juga: Nasi beriani resipi original dari jiran asal Pakistan, juadah enak di hari raya

  1. Kisar bawang merah, bawang Holland, halia dan bawang putih sehingga lumat. 
  2. Seterusnya bancuh rempah rumah dan rempah sup bersama sedikit air. 
  3. Tumis sup bunjut bersama bunga lawang, kayu manis, cengkih dan biji pelaga kemudian, masukkan bahan yang dikisar dan tumis sehingga pecah minyak dan naik bau. 
  4. Kemudian, masukkan bancuhan rempah kurma dan rempah sup, serai yang sudah diketuk dan akar daun sup. 
  5. Masukkan semua ayam dan kacau sehingga ayam sebati dengan bahan yang ditumis. 
  6. Seterusnya, masukkan air mengikut kuantiti yang diinginkan dan biarkan ayam direbus bersama sup sehingga masak. 
  7. Apabila sup sudah mendidih, masukkan pula kiub ayam, garam dan serbuk perasa.
  8. Seterusnya, apabila ayam kelihatan sudah masak, keluarkan isi ayam yang untuk dicarik sahaja. 
  9. Akhir sekali, taburkan sedikit daun sup dan daun bawang ke dalam sup soto.

Bahan-bahan hiasan soto ayam:

  • Suun
  • Kacang tanah 
  • Ketupat
  • Daun sup
  • Daun bawang
  • Isi ayam 
  • Tauge 

Cara penyediaan

  1. Panaskan minyak dan goreng suun sehingga mengembang dan bertukar warna kekuning-kuningan. 
  2. Seterusnya, goreng pula kacang tanah sehingga garing. 
  3. Kemudian, rebus ketupat sehingga masak. 
  4. Panaskan air dan celur seketika tauge kemudian angkat dan toskan. 
  5. Selepas itu, isi ayam yang telah dikeluarkan itu hendaklah dicarik sehingga halus. 

Bahan-bahan sambal kicap:

Iklan
  • 10 biji cili padi atau lebih (terpulang)
  • 3 ulas bawang putih
  • 3 biji bawang kecil 
  • Kicap 
  • Garam dan gula

Cara penyediaan

  1. Potong halus bawang kecil kemudian, goreng sehingga keperang-perangan. 
  2. Seterusnya, goreng cili padi dan bawang putih bersama sedikit minyak sehingga layu. 
  3. Kisar kesemua bahan-bahan yang digorengkan itu tadi. 
  4. Masukkan bahan yang dikasar itu ke dalam mangkuk kecil kemudian, tuangkan kicap dan perasakan mengikut cita rasa. 

Bahan-bahan begedil ayam:

  • 8 biji kentang
  • Isi ayam
  • 2 biji bawang merah
  • 1 biji cili merah
  • Daun sup
  • Daun bawang
  • Lada sulah
  • Lada hitam
  • Garam 
  • 2 biji telur

Cara penyediaan

Iklan
  1. Potong halus bawang merah, cili merah, daun bawang, daun sup dan cincang halus isi ayam.
  2. Rebus kentang sehingga masak kemudian, toskan dan lenyek sehingga tekstur kentang menjadi halus. 
  3. Seterusnya, gaulkan kesemua bahan sehingga sebati dan perasakan kemudian, bulat-bulatkan begedil. 
  4. Pecahkan telur kemudian, celupkan begedil sebelum digoreng ke dalam minyak yang panas. 
  5. Pastikan minyak tidak terlalu banyak dan betul-betul panas apabila menggoreng begedil. 
  6. Goreng begedil sehingga masak kemudian, angkat dan toskan. 

Apabila kesemua bahan sudah selesai disediakan maka, ia sedia untuk disajikan kepada para tetamu. 

Sungguh terliur membayangkan soto ayam dimakan bersama begedil ayam memang membuka selera. 

Selamat mencuba!

Baca juga: 8 langkah mudah sediakan tauhu begedil, jom cuba