Hebat, hospital-hospital di Malaysia diiktiraf di peringkat antarabangsa

A
A
A

MALAYSIA sekali lagi membuktikan keunggulannya apabila menerima pengiktirafan pada Anugerah Pelancongan Perubatan 2020 anjuran International Medical Travel Journal (IMTJ) baru-baru ini apabila memenangi anugerah rebutan ramai iaitu Pelancongan Kesihatan dan Perubatan: Destinasi Terbaik Tahun Ini.

Kemenangan itu merupakan kali keempat untuk Malaysia setelah meraihnya sebanyak tiga kali berturut-turut dari tahun 2015-2017.

Anugerah itu disifatkan bakal meningkatkan lagi kedudukan Malaysia sebagai Pusat Penjagaan Kesihatan Mengagumkan Di Dunia (World’s Healthcare Marvel) sekali gus mencerminkan komitmen teguh daripada organisasi berkaitan bagi memastikan kesinambungan daripada sektor Penjagaan Kesihatan Malaysia ketika pandemik COVID-19.

Hebat, hospital-hospital di Malaysia diiktiraf di peringkat antarabangsaMALAYSIA meneruskan momentumnya sebagai pusat penjagaan kesihatan mengagumkan di dunia. Tahniah! Gambar kecil ialah Ketua Pegawai Eksekutif MHTC, Sherene Azli.

Selain itu, beberapa institusi peneraju penjagaan kesihatan swasta Malaysia turut meraih kemenangan di dalam anugerah berprestij tersebut:

1. Thompson Hospital Kota Damansara – Inisiatif Kualiti Terbaik (Best Quality Initiative)

2. Sunway Fertility Centre – Klinik Fertility Antarabangsa Terbaik Tahunan (International Fertility Clinic of the Year)

3. Prince Court Medical Centre – Hospital Antarabangsa Terbaik Tahunan (International Hospital of the Year)

4. Sunway Eye Centre – Klinik Mata Antarabangsa Terbaik Tahunan (International Eye Clinic of the Year)

Majlis Anugerah Pelancong Perubatan IMTJ 2020 yang berlangsung di atas platform maya pada tahun ini meraikan pencapaian cemerlang di dalam sektor pelancongan perubatan di seluruh dunia.  Setiap penyertaan dinilai oleh panel pakar-pakar antarabangsa yang diiktiraf global.

Antaranya ialah Ketua Pengarang IMTJ, Keith Pollard; Pengerusi Eksekutif LaingBuisson, Pengerusi Panel Penghakiman UK; Lutz Lungwitz, Presiden Persatuan Perubatan Kesejahteraan Jerman; Dr Claudia Mika, CEO firma TEMOS; Laszlo Puczko, Pengasas Pelancongan Kesihatan Sedunia, dan Presiden Latihan Pelancongan Perubatan, Elizabeth Ziemba.

 Hebat, hospital-hospital di Malaysia diiktiraf di peringkat antarabangsaHOSPITAL-HOSPITAL di Malaysia menerima sejumlah 1.3 juta pelawat penjagaan kesihatan pada 2019 sekali gus mengukuhkan lagi status Malaysia sebagai destinasi pelancongan kesihatan di mata dunia.

Berdasarkan rekod, Malaysia menerima sejumlah 1.3 juta pelawat penjagaan kesihatan pada 2019 berbanding 643,000 pada 2011. Pengiktirafan ini mengukuhkan lagi status Malaysia sebagai destinasi pelancongan kesihatan di mata dunia.

Sementara itu, Majlis Pelancongan Penjagaan Kesihatan Malaysia (MHTC) meneruskan kemenangan kali keempat anugerah Kluster Terbaik Tahun ini. Anugerah itu diberi berdasarkan perkongsian kukuh swasta-awam yang menjadi nadi kepada pertumbuhan pesat Penjagaan Kesihatan Malaysia sejak beberapa tahun ini.

MHTC adalah sebuah agensi yang telah diberi mandat untuk memajukan industri pelancongan kesihatan negara.

Ketua Pegawai Eksekutif MHTC, Sherene Azli berkata, kejayaan itu sekali lagi menunjukkan keyakinan global terhadap kecemerlangan prasarana kesihatan di Malaysia untuk pelancong penjagaan kesihatan.

“Semua ini wujud kerana dedikasi dan usaha semua pihak terlibat. Ini mendorong kami untuk terus menambah baik penyampaian perkhidmatan dan mengekalkan jenama Penjagaan Kesihatan Malaysia supaya terus gemilang,” katanya baru-baru ini.

Hebat, hospital-hospital di Malaysia diiktiraf di peringkat antarabangsaSHERENE berkata, pihaknya beriltizam untuk mempersiapkan diri untuk menerima ketibaan pelawat penjagaan kesihatan yang mahu dapatkan rawatan di hospital-hospital di negara ini yang mempunyai banyak pakar dan hospitaliti terbaik.

Mengulas lanjut, beliau berkata, ketika industri pelancongan penjagaan kesihatan masih terkesan akibat pandemik COVID-19, sektor Penjagaan Kesihatan Malaysia secara proaktif berusaha menyediakan pelan pemulihan untuk industri dengan mengetengahkan keupayaan dan kekuatan negara sebagai penyedia penjagaan kesihatan berkualiti bertaraf dunia.

Komitmen kami untuk menjulang Malaysia sebagai Pusat Kecemerlangan Penjagaan Kesihatan Di Dunia tidak akan pudar. Kami bekerja seiring Kementerian Kesihatan Malaysia bagi memastikan SOP ketat dipatuhi kerana keselamatan orang ramai sentiasa menjadi keutamaan tertinggi kami.

Kami juga mempersiapkan diri untuk menerima ketibaan pelawat penjagaan kesihatan yang mahu mendapatkan rawatan kesihatan dan kesejahteraan di Malaysia apabila tiba masanya nanti. Kita akan terus menumpukan usaha dengan memacu pertumbuhan industri secara berkekalan bagi Malaysia untuk terus diiktiraf sebagai Pusat Kecemerlangan Penjagaan Kesihatan Dunia,” kata Sherene.

Sumber Foto: Facebook Prince Court Medical Centre, Thompson Hospital Kota Damansara, Sunway Fertility Centre dan Sunway Eye Centre

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi

Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang

Teruskan membaca