Bakat diintai! Pelajar Melayu raih tokoh pelajar terbaik SMJK, Ahmad Khidir jadi rebutan universiti!
BUKAN calang-calang kebijaksanaan dan sahsiahnya hingga terpilih sebagai Tokoh Pelajar Terbaik di Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan Heng Ee, George Town, Pulau Pinang.
Pelajar Tingkatan Lima, Ahmad Khidir Ahmad Nazri, menjadi bualan ramai selepas video yang dikongsikan kakaknya Fatimah Azzahra yang memaparkan majlis penyampaian anugerah kecemerlangan.
Apa yang membuatkan nama pelajar ini disebut-sebut, apabila ada beberapa buah universiti yang mula ‘mengintai’ kejayaannya!
Selain Tokoh Pelajar Terbaik, Khidir juga meraih empat lagi anugerah, termasuk Anugerah Timbalan Ketua Pengawas dan Anugerah Terbaik Mata Pelajaran. Kejayaannya itu turut mengukuhkan lagi imej pelajar Melayu yang hanya berjumlah tiga orang di sekolah tersebut.
Namun lebih membanggakan, difahamkan nama pelajar itu disebut-sebut, apabila ada beberapa buah universiti terkemuka mula ‘memerhati’ kejayaannya walaupun belum tamat persekolahan.
Memetik laporan Harian Metro, Ahmad Khidir, 17, berkata, beliau mengetahui perkara itu selepas dimaklumkan seorang daripada gurunya yang mendapat kiriman mesej daripada wakil universiti berkenaan di TikTok.
Pada masa sama, dirinya bersyukur dengan perhatian diberi namun tumpuan kini adalah membuat persediaan bagi menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) bermula dengan Ujian Bertutur Bahasa Melayu pada 2 Disember depan.
"Saya terkejut apabila Cikgu Sejarah maklumkan ada wakil universiti daripada bahagian pengambilan penuntut mahukan butiran lanjut mengenai saya.
"Tapi pihak universiti berkenaan belum menghubungi saya mahupun keluarga. Ikutkan saya memang berhasrat sambung pengajian ke peringkat universiti dalam bidang sumber manusia dan kalau boleh nak ke Universiti Malaya (UM) atau Universiti Utara Malaysia (UUM).
"Tapi buat masa sekarang kena fokus dengan SPM dulu kerana nak dapat keputusan terbaik memandangkan sudah buat persediaan sejak Tingkatan Tiga lagi," katanya.
Khidir menjadi tular di laman sosial selepas video yang dikongsikan kakaknya menerima lebih 1.6 juta tontonan dan lebih 186,000 tanda suka.
Menerusi temu bual Suria FM, Khidir berkongsi tip kecemerlangannya iaitu menjaga hubungan dengan ALLAH dengan menunaikan solat fardu, solat sunat sebelum Subuh dan solat hajat sebelum pergi ke sekolah setiap hari.
"Saya juga menghormati ibu bapa, minta ALLAH jaga mereka seperti mana mereka menjaga kami dan meluangkan masa dengan mereka kerana mereka adalah adalah akar kepada doa-doa.
"Menghormati guru. Pagi-pagi kalau jumpa cikgu jangan jemu tegur dan tunduk kepada mereka kerana mereka adalah pemberi ilmu. Hormati kepada guru sangat penting agar ilmu yang diberikan diberkati ALLAH.
Dalam pada itu, Khidir juga sempat berkongsi pesanan kepada rakan sebaya agar tidak berputus asa.
"Cuba dan cuba lagi. Saya pun pernah ada masa susah, tiada jalan terus untuk berjaya.
"Ingat orang yang kita sayang dan mereka yang mendorong. Kesusahan hanya sementara sahaja. Stay strong, motivated dan keep trying. Selepas pahit akan datang kemanisan," katanya yang turut mengucapkan selamat maju jaya kepada semua calon SPM tahun ini.
Terbaik Khidir, moga terus berjaya dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia dan pada masa akan datang!
Sumber: TikTok Fatimah Azzahra, Suria FM, Harian Metro
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi
Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang