Pantai Hospital Melaka sebar kesedaran kanser payudara & kesejahteraan emosi: 'Saya ingat hidup dah berakhir, tapi masih ada harapan'
“SAAT doktor sahkan saya menghidap kanser payudara, dunia terasa gelap. Saya fikir semuanya sudah berakhir.
"Namun, apabila saya jumpa seorang wanita yang sudah bertahun-tahun hidup selepas diagnosis, pandangan saya berubah.
"Dia kata, ‘Ikut nasihat doktor, kuatkan semangat dan jangan pernah putus harapan.’ Sejak hari itu, kata-katanya jadi kekuatan saya.”
Itulah antara perkongsian menyentuh hati daripada seorang survivor kanser payudara yang tampil berkongsi kisah benar dalam program komuniti “Embrace Change, Empowering Life Navigator Masterclass” anjuran Pantai Hospital Melaka.
Program yang dijalankan dengan kerjasama Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) serta Persatuan Kanser Melaka, dan disokong oleh Pfizer Malaysia Sdn Bhd itu diadakan sempena Bulan Kesedaran Kanser Payudara.
Lebih daripada sekadar sesi ceramah, acara tersebut menjadi ruang terapi emosi untuk pesakit dan penjaga saling berkongsi semangat serta sokongan.
Dalam suasana penuh empati, setiap kisah yang disampaikan membawa mesej yang sama iaitu diagnosis kanser bukan noktah, sebaliknya permulaan kepada kekuatan baharu.
Dalam sesi forum, Pakar Onkologi Klinikal, Dr Eng Jie Yi menjelaskan, kanser payudara kekal sebagai jenis kanser paling lazim di Malaysia, dengan kira-kira seorang daripada lapan wanita berisiko menghidap penyakit itu sepanjang hayat mereka.
Walaupun jarang berlaku, kira-kira satu peratus kes turut melibatkan golongan lelaki.
Menurut beliau, komunikasi dua hala antara pesakit dan doktor amat penting dalam menentukan perjalanan rawatan yang berkesan.
“Bagi kanser tahap awal, matlamat kami adalah untuk sembuh sepenuhnya. Untuk kanser metastatik, tumpuan kami adalah untuk mengawal penyakit dan memperbaiki kualiti hidup pesakit.
"Pencegahan lebih baik daripada rawatan, dan pengesanan awal mampu menyelamatkan nyawa,” katanya.
Sesi diteruskan dengan forum bertajuk Navigating Emotional Wellness in the Cancer Journey yang dikendalikan oleh Presiden Persatuan Kanser Melaka, Encik Damien Yeo Shen Li.
Forum tersebut turut menampilkan dua pakar onkologi, seorang pesakit yang pulih serta seorang penjaga yang berkongsi pengalaman mereka secara terbuka.
Pakar Onkologi Klinikal, Dr Daniel Wong Wai Yan menekankan bahawa perjalanan melawan kanser bukan sekadar cabaran fizikal, tetapi juga ujian emosi yang besar.
“Kanser bukan penyakit individu, tetapi perjalanan seluruh keluarga. Sokongan paling besar datang daripada orang tersayang.

Namun, penjaga juga perlu dijaga kerana mereka turut berdepan tekanan dan keletihan emosi. Perjalanan ini panjang, penuh cabaran, tapi dengan kasih, iman dan semangat positif, ia boleh dilalui bersama,” ujarnya.
Dalam sesi yang sama, seorang penjaga menceritakan detik cemas sewaktu isterinya disahkan menghidap kanser.
Katanya, rasa takut dan kebimbangan menghantui dirinya pada awalnya, namun sokongan keluarga dan doktor menjadi sumber kekuatan utama.
“Kami melalui perjalanan ini bersama-sama. Dia melawan penyakit, saya melawan rasa cemas.
"Sokongan yang kami terima membuatkan kami terus kuat dan tidak berputus asa,” katanya.
Program separuh hari itu turut menggabungkan ilmu, emosi dan aktiviti kesihatan dalam satu platform.
Peserta diraikan dengan sesi “Healing Thru Body” Zumba, aktiviti santai yang menggalakkan mereka mengenali tubuh sendiri, membina tenaga positif dan menyalurkan semangat baharu.
Selain forum dan aktiviti, LPPKN turut menawarkan pendaftaran ujian mamogram percuma untuk wanita berusia 40 hingga 70 tahun, serta ujian HPV DNA percuma bagi wanita berumur 30 hingga 65 tahun.
Dalam masa sama, pegawai pergigian hospital juga menyediakan pemeriksaan kesihatan mulut percuma untuk pesakit kanser, bagi memastikan mereka kekal sihat sepanjang tempoh rawatan.
Program yang penuh nilai kemanusiaan itu menutup tirai dengan mesej yang cukup kuat bahawa penyakit bukan pengakhiran, sebaliknya peluang untuk menghargai hidup dengan lebih mendalam.
Dari kisah pesakit yang pernah melalui detik paling gelap, hingga kata-kata semangat daripada doktor dan penjaga, satu mesej jelas bergema: kanser mungkin mengubah perjalanan hidup, tetapi ia tidak mampu mengambil semangat untuk terus hidup.
Pantai Hospital Melaka melalui program berkenaan membuktikan kesedaran, kasih dan sokongan emosi adalah rawatan tambahan yang mampu memberi harapan baharu.
Kerana dalam setiap ujian yang berat, sentiasa ada ruang untuk bangkit semula dengan hati yang kuat dan semangat yang tidak pernah padam.
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi
Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang

