IRONINYA, majoriti wanita pasti akan berdiri di hadapan almari dalam tempoh beberapa minit selepas mandi. Mereka bingung seketika untuk memilih pakaian yang ideal untuk digayakan sama ada ke pejabat, kuliah atau keluar bersantai bersama teman.

Apa yang pasti, ayat klise sentiasa terpacul dari bibir, ‘Alamak…tiada baju nak pakai’ atau ‘Baju mana yang sesuai?’

Walhal, jika diperhatikan di dalam gerobok bersusun koleksi busana variasi rona, rekaan, konsep dan corak.

Justeru, jalan terbaik bagi menyelesaikan masalah itu adalah dengan membeli koleksi pakaian baharu, sedangkan situasi berkenaan boleh diatasi tanpa perlu membazirkan wang.

Caranya mudah sahaja. Apa kata kita praktikkan konsep suai dan padan item fesyen yang dimiliki. Antaranya blaus, skirt, sepatu, aksesori dan tas tangan. Mudah, praktikal dan menjimatkan kos.

Bagi membantu golongan wanita keluar daripada dilema ‘tiada baju’, perunding imej, Syaheerah Hanis Che Kamarudin berkongsi tip suai dan padan mengikut sudut pandangnya.

“Tip suai dan padan bertujuan menyuntik idea bahawa kita sebenarnya memiliki variasi baju dan seluar yang sepadan untuk digayakan. Misalnya, cuba susun baju, seluar dan tudung mengikut palet warna. Sebagai contoh, atur baju rona putih diikuti warna kelabu dan biru. Seterusnya, susun pula seluar slack nuansa putih dan hitam serta jean,” terang beliau yang sentiasa berkongsi tip gaya dan pemakaian bersama warga maya menerusi laman sosial Facebook beliau, @Syeera Hanis.

Katanya, apabila setiap helaian pakaian disusun mengikut warna dan kategori, maka kaedah berkenaan akan memudahkan wanita melakukan konsep suai dan padan.

Eksperimentasi

Cuba perhatikan stail pelakon dan pengacara, Scha Alyahya. Kombinasi dres elemen berkotak-kotak warna ceria tampak feminin apabila digayakan bersama kardigan, tas tangan dan sepatu berwarna coklat lembut.

fesyen
SCHA (kanan) tampak manis dan comel apabila menggayakan dres elemen berkotak-kotak warna bersama kardigan, tas tangan dan sepatut warna coklat lembut.

Biarpun tanpa percikan aksesori yang sarat, penampilan bekas juara Dewi Remaja 2005/2006 itu tetap kelihatan manis dengan solekan dan dandanan rambut konsep minimalis.

Begitu juga dengan gaya pilihan selebriti dan model, Ain Edruce. Padanan seluar putih polos bersama jumper (baju panas) warna merah terang sudah cukup untuk menyerlahkan fesyen kasual yang ringkas, tetapi menawan.

Sementara itu, perunding fesyen dan pensyarah kanan di Jabatan Fesyen, Fakulti Seni Lukis & Seni Reka, Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam, Selangor, Faizal Hamid berkata, berfesyen penuh gaya mampu dicapai sekiranya seseorang individu memahami konsep suai dan padan pakaian secara holistik.

“Paling penting, jangan terlalu mencuba sehingga menyebabkan penampilan kelihatan pelik.

Iklan

“Bagi wanita berusia lingkungan 20-an, rebut peluang keemasan ini untuk berfesyen tanpa had dan sempadan selagi bersesuaian dengan latar belakang dan budaya. Pada usia yang masih muda, anda bebas bereksperimentasi konsep suai dan padan dengan seleksi rekaan, warna, corak dan potongan pakaian serta aksesori pilihan,” katanya menerusi wawancara melalui e-mel.

fesyen
AIN EDRUCE (kanan) memilih gaya kasual dengan konsep suai padan seluar putih polos bersama jumper warna merah terang.

Tip suai dan padan

Pada peringkat awal, susun baju, seluar dan tudung mengikut palet warna daripada polos diikuti motif flora, corak abstrak dan berkotak-kotak.

Pemakaian jaket potongan pendek atau jaket labuh tampak kasual apabila digayakan bersama baju-T nuansa putih yang dimasukkan (tuck in) di dalam seluar ataupun skirt.

Iklan

Bagi wanita bertudung, padankan selendang bercorak dan warna terang bersama busana polos rona lembut. Selain itu, boleh juga menggayakan tudung polos dengan dres motif bunga.

fesyen
ROZITA CHE WAN bijak bergaya dengan konsep suai padan selendang dan busana pilihan.

Apabila memilih skirt baik potongan pendek mahupun labuh dengan teknik lipatan atau kembang, pastikan memilih blaus rekaan ringkas bagi mengelakkan penampilan kelihatan sarat. Sebagai contoh, padanan skirt bunga bersama blaus polos hitam pun sudah memadai.

Sebelum keluar rumah, jangan lupa sempurnakan penampilan dengan kasut pilihan dan solekan yang membantu wajah kelihatan menawan.

Foto: Instagram selebriti