PENYAKIT gout adalah penyakit biasa yang berlaku dalam kalangan rakyat Malaysia.

Ia sering terjadi dalam kalangan kaum lelaki yang berada dalam lingkungan umur 30-an dan ke atas.

Bukan hanya melibatkan kaum Adam, kaum wanita juga boleh mengalami masalah berkenaan terutamanya selepas putus haid atau menopause.

Meskipun penyakit gout dianggap sebagai penyakit keturunan, terdapat ramai pesakit gout yang tidak mempunyai sejarah keluarga yang menghidapnya…

Penceramah Kesihatan dan Pemakanan, Dr Zubaidi Ahmad baru-baru ini berkongsi mengenai penyakit itu di Instagram miliknya.

Katanya, hanya orang yang pernah diserang gout sahaja yang akan memahami apa yang dikatakan gout.

Antaranya, rasa bengkak pada sendi hujung jari kaki, berdenyut-denyut dan kesakitan yang tidak boleh diceritakan sehinggakan sukar untuk melelapkan mata.

“Gout adalah masalah keradangan pada bahagian sendi dan dikelaskan sebagai penyakit artritis.

“Keradangan sendi ini disebabkan oleh tahap asid urik yang tinggi di dalam darah yang mana kebanyakannya melibatkan masalah sendi kecil seperti sendi jari kaki,” tulis Dr Zubaidi.

 

View this post on Instagram

 

A post shared by Dr Zubaidi Hj Ahmad (@drzubaidi)

Memperincikan lebih lanjut tentang gout, Dr Zubaidi menjelaskan, asid urik merupakan bahan kumuh yang dihasilkan oleh tubuh selepas berlakunya pencernaan dan penghadaman makanan yang kaya dengan asid amino purin.

“Purin adalah asid amino yang terdapat daripada sumber makanan berprotein.

“Apabila kita makanan yang kaya dengan purin, tubuh tidak mampu membuang asid urik, kita berisiko diserang gout atau gouty arthritis iaitu keradangan pada sendi. Ia menyebabkan sendi menjadi bengkak, sakit dan tidak boleh dibengkokkan.

Namun demikian, usah risau kerana asid urik selalunya boleh dikeluarkan dari tubuh melalui air kencing.

“Asid urik yang tinggi dapat diturunkan apabila pesakit gout minum air secukupnya dan mengambil makanan yang kurang purin,” katanya.

Namun begitu, ada beberapa kes yang mana pesakit mengalami serangan gout walaupun tahap bacaan asid urik normal.

Ia berlaku kerana terdapatnya faktor keradangan (chronic inflammation) yang berada dalam tubuh badan mereka.

Berikut saranan makanan yang dicadangkan oleh Dr Zubaidi untuk pesakit gout:

i) Pertama, pesakit gout perlu menurunkan berat badan. Pesakit yang obesiti selalu mengalami keradangan dalam tubuh. Faktor keradangan tersebut yang akan menyebabkan asid urik membentuk kristal. Oleh itu, pesakit yang obesiti lebih mudah mendapat serangan gout walaupun tahap urik asid mereka normal.

Iklan

ii) Minum air secukupnya kerana ia membantu lebih banyak asid urik dikeluarkan melalui air kencing.

iii) Memilih makanan yang mempunyai karbohidrat kompleks seperti buah-buahan, sayur-sayuran segar dan bijirin penuh. Ketahuilah bahawa sayur-sayuran seperti bayam, asparagus dan bunga kobis tidak meningkatkan risiko serangan gout.

iv) Makanan dan minuman manis bergula yang juga mempunyai indeks glikemik tinggi seperti kuih muih manis, roti dan kek juga harus dielakkan kerana ia meningkatkan tahap asid urik dalam darah.

v) Elakkan pengambilan lemak trans seperti makanan bergoreng, marjerin dan makanan berproses yang dijual dalam plastik dan tin. Elakkan juga makanan yang mempunyai lemak tepu tinggi seperti daging merah, daging terproses, lemak ayam/itik dan produk tenusu tinggi lemak. Sebaliknya, banyakkan pengambilan minyak sihat seperti minyak zaitun.

vi) Pilih protein sihat iaitu daging haiwan tanpa lemak, telur dan kekacang.

vii) Vitamin C dan vitamin E bukan sahaja membantu menurunkan paras asid urik tetapi juga mengurangkan tahap keradangan dalam tubuh.

Iklan

viii) Kopi kosong tanpa gula dan susu sejat juga membantu mengurangkan risiko mendapat serangan gout.

Terdapat beberapa jenis makanan yang perlu dielakkan oleh pesakit gout bagi merendahkan risiko serangan gout. Antaranya:

i. Elak makan organ dalaman haiwan seperti hati, paru, perut, jantung dan lain-lain kerana ia mengandungi paras purin yang tinggi dan meningkatkan paras asid urik dalam darah.

ii. Jauhi daging merah dengan mengurangkan pengambilan daging lembu, kambing dan haiwan berkaki empat yang lain.

iii. Tidak semua makanan laut dan ikan sesuai untuk pesakit gout. Ikan bilis, kerang kerangan, sardin dan ikan tongkol misalnya mengandungi purin yang lebih tinggi. Jadi, bersederhanalah dalam mengambil ikan.

“Oleh itu, suka untuk saya ingatkan sekali lagi, dua faktor yang dapat menurunkan risiko mendapat serangan gout iaitu minum air kosong secukupnya dan ambil makanan yang mengandungi tahap purin yang rendah. Semoga bermanfaat,” tulis Dr Zubaidi di hujung entri perkongsiannya.