'Jangan malu atau berdiam diri daripada mendapatkan bantuan'   

No Image Caption
A
A
A

EMPAT tahun lalu, Ahmad Muhaimin Halim (bukan nama sebenar) yang kini sudah berusia 24 tahun menderita penyakit mental.

Namun, beliau bersyukur kerana beliau sudah pulih. Ahmad Muhaimin berkata, dirinya sangat berterima kasih kerana rakan sebiliknya telah memujuknya menjalani rawatan daripada pakar.

"Meskipun kini saya perlu mengambil ubat (secara harian) namun saya tetap lega dengan perubahan pada diri berbanding dulu terutamanya dalam aspek pengurusan emosi,” ujar penuntut di sebuah universiti swasta itu.

Mengimbau semula kisah lampau, Ahmad Muhaimin berkata, beliau kerap mendengar bisikan halus terutamanya ketika dirinya sedang bersendirian.

“Setiap hari, saya akan ‘dikacau’ dengan bisikan yang saya sendiri buntu dari mana datangnya. Bisikan itu seolah-olah menyeru dan mempengaruhi saya untuk mencederakan diri,” katanya yang mengakui gagal mengawal dirinya apabila mendengar suara itu.

Cerita remaja itu, kadangkala beliau gagal mengawal perasaan. Natijahnya, tangannya menjadi 'mangsa' atas tindakan diri sendiri.

"Lihat, kesan torehan bukan sahaja pada tangan tapi pada badan saya juga," ujarnya berterus-terang.

Keadaan dirinya yang bercelaru itu membuat rakan sebiliknya di universiti juga tidak keruan.

Atas desakan dan pujukan rakannya itu, Ahmad Muhaimin berkata, beliau bersetuju untuk mendapatkan rawatan daripada profesional.

"Daripada cuba menyelesaikan masalah saya sendiri, saya akhirnya pergi

merujuk pengurusan kolej dan unit kaunseling untuk mendapatkan rawatan.

"Saya dibawa berjumpa dengan pakar psikiatri. Saat itu, saya rasakan, sudah ada cahaya yang memandu saya berjalan keluar dari sebuah kawasan gelap,” kongsinya yang turut mengakui datuknya juga pernah mengalami masalah yang sama pada suatu masa dahulu.

Ditanya adakah beliau bisikan misteri itu datang kembali? Ahmad Muhaimin berkata: "Tidak lagi. Pada masa sama, saya juga ajak diri mendekatkan diri dengan YANG MAHA ESA."

Kini, Ahmad Muhaimin sedang meneruskan pengajian tahun akhirnya dalam jurusan perniagaan dengan kesihatan yang sangat jauh berbeza berbanding dahulu.

Pesannya, buat orang ramai di luar sana yang senasib dengannya, jangan berdiam diri atau malu mendapatkan bantuan.

"Insya-ALLAH, ALLAH akan mudahkan sekiranya kita berusaha. Kena ingat, kalau masalah mental tidak ditangani, ia akan memberi masalah bukan sahaja pada keluarga malah kepada orang sekeliling," katanya.

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi

Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang

Teruskan membaca