Anak sulung Amyza Aznan meninggal dunia, suami kongsi detik akhir- 'Dia tanya kenapa makin tak kuat'

No Image Caption
A
A
A

PEMERGIAN seorang anak bukan sesuatu yang mudah diterima.

Namun dalam nada yang tenang, suami kepada pelakon Amyza Aznan, Khairil Idzhar Md Nazir memilih untuk reda dengan takdir yang tertulis buat keluarga mereka.

Anak sulung mereka, Andre Mikhail, menghembuskan nafas terakhir selepas hampir setahun berjuang melawan kanser paru-paru tahap tiga. Tempoh setahun itu menjadi saksi kesetiaan seorang ayah yang tidak pernah meninggalkan sisi anaknya.

Menurut Khairil, keadaan Andre semakin kritikal sejak Ahad dan pihak keluarga telah dimaklumkan lebih awal untuk bersedia.

“Semalam lagi kami dah diberitahu keadaan anak agak kritikal. Kami memang sentiasa tunggu saja sehingga habis,” katanya.

Dalam perkongsian bersama media, Khairil mendedahkan Andre berada dalam keadaan seperti ditidurkan walaupun masih sedar, namun tidak lagi mampu berbicara sehingga ke nafas terakhir.

“Dia seorang anak yang sangat baik. Kami tak dapat bercakap banyak dengan dia.

“Dia seperti ditidurkan walaupun sedar dan tak dapat bercakap sehinggalah nafas terakhir dia," dedahnya.

Dalam kepiluan itu, Khairil tetap bersyukur kerana segala urusan dipermudahkan dan anaknya pergi dalam keadaan yang tenang.

“Alhamdulillah, semua dipermudahkan. Perginya anak yang soleh ini terlalu mudah bagi saya kerana dia pergi, saya ada di sebelah,” ujarnya lagi.

Sepanjang setahun Andre melawan kanser, Khairil sentiasa berada di sisi walaupun dirinya sendiri kurang sihat.

“Setahun dia melawan sakit kanser dan saya bersama menemani dia walaupun keadaan saya pun tidak berapa sihat.

“Alhamdulillah, saya berpuas hati dapat membantu dia menangani sakitnya," ungkapnya.

Tambahnya lagi, pemergian anaknya pada bulan Ramadan menjadi antara kekuatan untuk dia terus reda menerima ketentuan.

“Itu yang menguatkan saya, perginya anak saya di bulan Ramadan. Alhamdulillah," ujar ayah kepada tiga cahaya mata itu.

Andre juga tidak meninggalkan pesan panjang. Kata Khairil, anaknya cuma tertanya-tanya mengapa dirinya semakin tidak kuat dan tidak sihat.

“Saya cakap itulah prosesnya dan dia faham,” kongsinya.

Terdahulu, berita pemergian Andre dimaklumkan sendiri oleh ibunya, Amyza Aznan, menerusi kemas kini di Instagram Stories pada Isnin selepas hampir setahun bertarung dengan kanser paru-paru tahap tiga.

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi

Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang