SARDIN dalam tin tidak kurang enaknya kalau kita kreatif mengolah resipi dan dijadikan pelbagai menu hidangan lain.

Selain sedap dimasak dengan hanya menumis bawang dan beberapa bahan asas masakan yang lain, korang juga boleh cipta pelbagai menu baru yang cepat, mudah dan sedap. Sangat sesuai buat ibu-ibu yang sentiasa sibuk atau buntu nak masak.

Jom SinarPlus kongsikan beberapa menu mudah dengan hanya menggunakan sardin di dalam tin.

1. Ikan sardin percik

Jika kreatif, sardin dalam tin pun boleh jadi pelbagai menu

Bahan-bahan:

1 tin besar ikan sardin | asingkan kuah dan isinya

Bahan kuah percik:

500ml santan kotak
1 batang serai | titik
1 keping asam gelugor
1/2 helai daun kunyit | carik dan simpul
5 tangkai cili kering | kisar
4 ulas bawang merah | kisar
2 ulas bawang putih | kisar
2 cm halia | kisar
2biji buah keras | kisar
Garam dan gula secukup rasa

Cara memasak:

  • Bakar ikan sardin menggunakan ketuhar atau pemanggang. Setelah garing angkat dan ketepikan.
  • Untuk menyediakan sos, campurkan semua bahan kisar bersama santan.
  • Didihkan di atas dapur dengan api sederhana.
  • Setelah mendidih masukkan asam gelugor, serai dan daun kunyit.
  • Kacau hingga kuah pekat.
  • Kecilkan api, perasakan dengan garam dan gula secukup rasa.
  • Setelah timbul minyak. Tutup api dan hidangkan ikan sardin bakar tadi dengan sos percik.
  • Hidangkan sardin bakar dengan sos berasingan atau dituang terus di atas ikan.

2. Telur bungkus sardin

Jika kreatif, sardin dalam tin pun boleh jadi pelbagai menu

Bahan-bahan

1 tin sedang ikan sardin | asingkan dari kuah
Sedikit cili benggala | dadu halus
1 pokok daun bawang | hiris halus
1/2 biji buah tomato | dadu halus
1/2 biji bawang Holland | dadu halus
1 biji bawang putih | cincang halus
1 sudu makan pes cili kering
Garam dan gula secukup rasa
1 sudu makan minyak masak

Bahan telur dadar:

2 – 3 biji telur
Secubit garam
Secubit serbuk lada sulah

Iklan

Cara memasak :

  • Hancurkan isi sardin dalam mangkuk, kemudian ketepikan.
  • Panaskan minyak, tumis bawang putih dan bawang Holland hingga layu.
  • Masukkan pes cili, kacau hingga pecah minyak.
  • Seterusnya masukkan sardin, cili benggala dan tomato, kacau rata.
  • Kemudian perasakan dengan garam dan gula secukup rasa.
  • Setelah kuah kering, tutup api.
  • Sediakan pula telur dadar, pecahkan telur dalam mangkuk.
  • Masukkan sedikit garam dan lada sulah, kacau rata.
  • Panaskan kuali non stick dengan sedikit minyak.
  • Tuang telur dan dadarkan ikut saiz sesuai dengan isi sardin tadi.
  • Setelah garing, letakkan isi sardin di tengahnya, kemudian lipat bahagian tepi hingga menjadi bentuk empat segi sama.
  • Angkat dan sedia dihidangkan.

3. Ikan Mackerel asam pedas

Jika kreatif, sardin dalam tin pun boleh jadi pelbagai menu

Bahan-bahan:

1 tin besar ikan mackerel | asingkan isi ikan dari kuah
4 biji bendi
1 biji tomato | belah empat
1 kuntum bunga kantan | belah dua
3 pucuk daun kesum
1/2 cawan air asam Jawa
Air secukupnya
2 sudu makan pes cili kering
Garam dan gula secukup rasa
4 sudu makan minyak masak

Bahan kisar:

1 biji bawang besar
2 ulas bawang putih
2 cm halia
2cm lengkuas

Iklan

Cara memasak:

  • Panaskan minyak, tumis bahan kisar hingga wangi.
  • Masukkan pes cili, kacau lagi hingga pecah minyak.
  • Masukkan pula air asam Jawa, biarkan mereneh seketika baru masukkan ikan.
  • Seterusnya masukkan kacang bendi, bunga kantan dan daun kesum .
  • Akhir sekali perasakan dengan garam dan gula secukupnya.
  • Biarkan mereneh seketika sehingga timbul minyak. Tutup api,
  • Sedia dihidangkan.

Mudah bukan? Selamat mecuba!

SUMBER : RASA