“Dear love, meskipun ragamu telah tiada di sini, tapi jiwamu akan selalu ada bersama kami.  Mendoakanmu adalah caraku untuk mencintai. Maaf lahir batin ya sayang. I miss u, each and everyday.”

Itulah antara luahan hati penyanyi dan pelakon terkenal kelahiran Indonesia, Bunga Citra Lestari (BCL) kepada arwah suaminya, Allahyarham Ashraf Sinclair yang meninggal dunia pada 18 Februari lalu.

BCL menerusi sebuah video berjudul Dear Love yang dimuat naik di laman YouTube milik dua hari lalu turut berkongsi sambutan Aidilfiri bersama anak tunggalnya, Noah Aidan Sinclair, 10, yang buat pertama kalinya dirai tanpa Ashraf.

Bait-bait kata dan luahan jujur daripada BCL ternyata meruntun hati mereka yang menonton video berdurasi 11.29 saat itu.

“Dear love, tidak terasa waktu berjalan begitu cepat kerana terasa baru semalam kita meraikan Aidilfitri sama-sama. Menjalinkan silaturahim bersama keluarga dan sahabat-sahabat di rumah. Siapa sangka, ia adalah Aidilfitri terakhir untuk kita berdua,”katanya.

Pelantun lagu Cinta Sejati itu turut mengimbau kenangan manis meraikan hari mulia itu bersama arwah suaminya pada tahun lalu.

Kata BCL, meski Aidilfitri kali ini cukup berbeza tanpa Ashraf, namun dia dan keluarga cuba untuk mengekalkan tradisi dan kebiasaan yang dilakukan saban tahun ketika meraikan Aidilfitri.

“Lebaran kali ini, aku masih lagi menyediakan masakan sama seperti kamu masih ada. Aku kekalkan tradisi ini untuk memudahkan Noah manjalani normal baharu,”katanya.

Dalam pada itu, BCL turut meluahkan rasa syukurnya mempunyai sebuah keluarga yang cukup penyayang dan sentiasa ada memberikan sokongan ketika dia berdepan ujian hidup.

Iklan

“Umi (ibu Ashraf) sudah dua bulan berada di sini, jauh dari keluarga di Malaysia menemani aku dan Noah.

“Oma dan  Opah selalu memberi sokongan dan cinta yang luar biasa untuk aku dan Moah menemukan kebahagiaan walaupun dengan kondisi yang berbeza,” ujarnya.

Iklan

Video tersebut kini telah meraih 3.6 tontonan selepas dua hari dimuat naik dan merupakan video pertama yang dikongsi di laman YouTube milik BCL selepas pemergian Allahyarham Ashraf pada Februari lalu.

 

(FOTO: Instagram Bunga Citra Lestari)