SEDAPNYA kuih kaswi! Kuih ini kategori kuih talam, cara masak dikukus. Rasa lembut, tak manis sangat, sedikit kenyal dan dihidangkan bersama salutan kelapa parut yang lemak. Memang membuka selera!

Bagi penggemar Kuih Kaswi memang kena cuba resipi ini. Rasanya yang lembut dan bergoyang, disalut pula dengan kelapa muda memang puas hati. Yang bestnya, bila sudah sejuk tetap lembut Kuih Kaswi ni.

Jom kita cuba buat menggunakan resipi ini!

Resipi Kuih Kaswi Sukatan Cawan Yang Sedap

Bahan-bahan:

– 2 cawan tepung gandum
– 1 cawan tepung ubi
– 2 keping gula Melaka
– 1 cawan gula pasir
– 7 cawan air
– 1 sudu kecil kapur – bancuh dengan sedikit air
– Kelapa parut muda
– Sedikit garam

Cara-caranya:

1) Masak air dengan gula Melaka dan gula pasir sehingga gula hancur. Sejukkan sehingga agak-agak air gula suam.

2) Masukkan tepung gandum dan tepung ubi yang telah disatukan ke dalamnya. Kacau sebati.

Iklan

3) Masukkan air kapur dan kacau rata. Tapis adunan ke dalam jug bermuncung.

4) Panaskan periuk pengukus dan masukkan loyang. Setelah loyang panas, tuang adunan ke dalam loyang dan kukus sehingga masak selama 45 minit atau sehingga masak dengan menggunakan api yang besar. Kukus dalam 1 jam.

5) Sekali sekala, lapkan penutup pengukus atau balut penutup dengan tuala. Bila telah masak, buka penutup pengukus dan kukus tanpa penutup seketika untuk mengeringkan air di permukaan kuih, jika ada.

Iklan

6) Setelah sejuk, baru dipotong. Hidangkan bersama kelapa parut yang telah digaul dengan sedikit garam. Siap dihidang untuk berbuka!

Harap dapat memberi manfaat kepada anda yang memerlukan resipi Kuih Kaswi yang pasti sedap dan memikat selera. Selamat mencuba!

PENULIS: NURUL ADRIANA
FOTO: YOUTUBE (CHE NOM)