Ibu yang berkerjaya sama ada makan gaji atau kerja sendiri, sebenarnya golongan ini terlalu istimewa.

Mana tidaknya, ibu ‘super power’ ini mampu melakukan pelbagai kerja.

Dalam sehari, selepas selesai tugasan di pejabat, balik ke rumah dan bermulalah tugasan untuk keluarga pula.

Memasak, mengemas, membasuh dan mengosok baju suami dan anak-anak.

Andai ada pembantu rumah, rasanya beban tersebut sedikit ringan, namun jika sebaliknya, pasti agak memenatkan.

Salah satu kekangan bagi ibu yang sibuk adalah mencari masa dan mengerah tenaga untuk memasak hidangan makan malam untuk keluarga.

Dikala keletihan, makan di kedai atau ‘tapau’ adalah jalan terbaik. Percayalah, bukan suka-suka sahaja si ibu nak beli makanan dekat kedai.

Sedih juga mengenangkan suami dan anak-anak makan nasi bungkus, tetapi apakan daya.

Timbul persoalan, adakah cara yang boleh membantu ibu-ibu berkerjaya ini untuk memasak hidangan makan malam untuk keluarga selepas balik kerja?

Jawapannya ADA!

Ada lapan cara yang boleh membantu para ibu menyediakan masakan dengan cepat dan mudah. Cara-caranya ialah:

1. Senaraikan Menu Harian

Jika berazam untuk memasak setiap hari, perkara pertama yang perlu dilakukan ialah senaraikan menu yang bakal dimasak dalam tempoh tersebut.

Senaraikan mengikut hari dalam tempoh masa seminggu dan cukuplah sekadar dua atau tiga lauk sehari.

Cuba elakkan membuat senarai lebih dari tempoh tersebut kerana ia hanya akan kertas catatan menjadi panjang dan menyukarkan anda untuk melaksanakan misi.

Untuk minggu kedua, ubah menu atau boleh juga ulang senarai dari minggu sebelumnya tetapi dengan sedikit penambahan menu ringkas lain agar tidak merasa jemu.

2. Pemilihan Menu Yang Ringkas

Untuk menjimatkan masa memasak, lauk-pauk mestilah ringkas dan tidak menggunakan bahan memasak yang pelik serta masa memasak yang lama.

Sebagai contoh, cukuplah jika sediakan sup sayur ringkas atau tomyam yang disertakan bersama ayam goreng dan juga telur dadar. Dalam masa 30 minit pun dah boleh siap.

Elakkan daripada memasak rendang atau gulai yang memerlukan masa yang lama. Jika teringin nak makan, masaklah ketika hujung minggu. Waktu tu selalunya lebih relaks dan kurang penat.

3. Beli stok barangan basah untuk kegunaan seminggu

Bila dah tahu menu yang nak dimasak, bolehlah berkunjung ke pasaraya untuk membeli bahan-bahan basah yang akan dimasak pada sepanjang minggu tersebut.

Apabila bahan sudah ada di rumah, maka mudahlah memasak. Namun jangan beli lebih daripada keperluan bagi mengelakkan pembaziran.

4. Simpan bahan masak secara sistematik dalam peti sejuk

Sesudah pulang dari pasar, tibalah masa untuk menyimpan bahan-bahan yang dibeli tadi. Undang-undang selepas shopping barang dapur ialah:

Iklan
  • Jika ada beli ikan, daging, udang, sotong, ayam atau seumpama dengannya. Basuh, siang, potong dan bersihkan siap-siap sebelum disimpan dalam peti sejuk.
  • Asingkan bahan-bahan tersebut ke dalam bekas-bekas mengikut jadual memasak anda. Sebagai contoh, jika beli 1 kg udang, jangan simpan kesemuanya dalam satu bekas. Ia akan menyukarkan korang untuk memasak. Sebaiknya, jika ada 2 hari korang bercadang untuk memasak udang, asingkan ke dalam dua bekas berbeza. Lebih praktikal dan senang.
  • Untuk sayur, jika membeli sayuran berdaun sepeti brokoli, sawi, kubis dan sebagainya, potong dan simpan di dalam bekas yang bersesuaian tanpa perlu membasuhnya terlebih dahulu. Ini kerana jika menyimpan sayur yang masih basah, sayur-sayur tersebut tidak mampu bertahan lama dan cepat busuk.
  • Kupas bawang merah, bawang putih, halia dan bawang besar. Simpan didalam bekas bertutup yang telah dialas dengan tisu dapur. Jadi setiap kali hendak memasak, tidak perlulah membazir masa untuk mengupas kulit bawang.

5. Sediakan Rencah Masakan Siap Kisar

Bahan asas masakan adalah bawang merah, bawang putih, halia dan cili. Oleh itu, korang boleh menyediakan kisaran bahan-bahan rencah ini dengan lebih awal.

Kisar dan simpan di dalam bekas tertutup. Jadi setiap kali hendak memasak, hanya perlu ambil dan masak sahaja. Jimat masa bukan?

Petua untuk bawang kisar tahan lama ialah, kisar bersama minyak masak dan bukannya menggunakan air. Dengan cara ini, bahan kisaran akan tahan lebih lama apabila disimpan dalam peti sejuk.

6. Guna Microwave

Ikan dan ayam sejuk beku memang lambat nak lembut berbanding dengan udang serta sotong.

Kalau sejam pun belum tentu lagi boleh masak. Nak mudah? Masukkan sahaja kedalam microwave dan setkan defrost. Jimat masa dan tak perlu tunggu lama. Jadi sesiapa yang ada microwave di rumah, boleh pakai tau.

7. Guna dapur sepenuhnya

Biasanya dapur paling sikit ada dua tungku memasak. Jadi gunakan kedua-duanya dengan memasak dua hidangan berbeza dalam satu-satu masa.

Iklan

Jika tidak biasa, pasti akan rasa sedikit huru-hara namun cubalah latih diri membuat pelbagai kerja.

InsyaAllah lama kelamaan korang akan biasa dan  dan dengan dapat menyiapkan masakan dengan lebih laju.

Contohnya, memasak sup sambil sambil dapur sebelah korang gunakan untuk menggoreng ayam. Semuanya berjalan serentak. Tak sampai satu jam sudah boleh menikmati sajian makan malam.

8. Pastikan sinki kosong dan bersih

Jangan biarkan peralatan memasak yang kotor berada di dalam sinki. Ini kerana ia boleh melambatkan proses memasak. Sebaiknya, basuh alatan-alatan tersebut sebaik sahaja digunakan. Barulah proses memasak boleh berjalan dengan lancar dan selesa.

Jadi, lepas ni kurang-kuranglahkan budaya ‘tapau’. Haha!

Selamat mencuba dan selamat memasak!

SUMBER : RASA