TEPIS persepsi bahawa stailo itu hak mutlak untuk wanita bertubuh langsing, genit dan muda sahaja. Walhal, dalam konteks fesyen gaya adalah universal dan bebas dimiliki setiap individu termasuklah mereka berbadan gempal ataupun sedang hamil.

Bagi wanita hamil jangan sesekali malu untuk bergaya baik dalam persalinan moden mahupun trendy.

Lagipun anda tidak perlu berbelanja ekstra bagi memiliki koleksi busana jenama mewah, memadai konsep baju yang menjadi pilihan tampak sopan dan sedap mata memandang.

Buktinya, lihat sahaja penampilan model, Nurida Suraya yang sedang sarat mengandung cahaya mata sulung.

Jika meneliti satu-persatu foto beliau dalam laman sosial Instagram peribadi, nampaknya isteri kepada pereka fesyen popular jenama Rizman Ruzaini iaitu Rizman Nordin lebih selesa menggayakan busana potongan longgar nuansa lembut.

fesyen hamil
NURIDA SURAYA sentiasa tampak anggun dan manis dalam persalinan busana jenama suaminya, Rizman Ruzaini.

Biarpun kebanyakan dres dan kaftan labuh yang menjadi pilihannya konsep polos pada bahagian bawah, namun pereka Rizman Ruzaini bijak menyerlahkan gaya feminin dan anggun.

Antaranya menerapkan elemen potongan ala gelembung pada bahagian bahu yang bertatah bunga dan kain renda berlainan warna sekitar dada.

Bertambah menarik, Nurida Suraya turut mengenakan solekan yang minimalis bagi mengelakkan wajah kelihatan pucat.

Sementara itu, bagi wanita hamil khususnya yang berjawatan eksekutif ataupun usahawan mungkin gaya pelakon jelita, Nur Fazura boleh dijadikan rujukan.

Padanan jaket dan seluar sedondon rona hitam sedikitpun tidak menenggelamkan penampilan apabila beliau menyerikan dengan aksesori rantai leher dan tas tangan warna merah jambu terang.

fesyen hamil
FAZURA kelihatan sofistikated dalam persalinan serba hitam.

Kehadiran tali yang diikat riben pada bahagian pinggang juga secara tidak langsung menyuntik stail sofistikated.

Iklan

Selain dua personaliti tersebut hari ini segmen Sihat Cantik turut memaparkan gaya barisan selebriti Fasha Sandha, Dayah Bakar dan Bella Astillah yang masih kelihatan anggun dan manis walaupun sedang sarat mengandung.

Tip pilih baju mengandung
– Pilih potongan, rekaan dan labuh baju yang sesuai dengan usia kandungan.

-Elak pakaian yang terlalu ketat kerana ia akan menyukarkan pergerakan dan menyebabkan ketidakselesaan menjalani aktiviti harian.

-Sebaik-baiknya beli baju mengandung yang boleh dipakai untuk jangka masa lama.

Iklan

-Usah terikat kepada warna gelap seperti hitam atau coklat. Tiada salahnya wanita menyarungkan rona terang dan motif ceria seperti bunga , abstrak dan bintik polka.

– Jangan biarkan penampilan polos. Serlahkan penampilan dengan aksesori dan pelengkap gaya pilihan serta bersesuaian.

– Paling utama, pilih kasut bertapak rata berbanding tumit tinggi.