Bersama Perunding Imej dan Penata Gaya Hijab, Azlia Idha

SOALAN

LAZIMNYA, saya lebih cenderung memilih fesyen rona merah jambu kerana warna tersebut seolah-olah membantu membuatkan penampilan nampak ceria. Namun begitu, kadangkala saya inginkan kelainan, tetapi ragu-ragu.

Justeru, boleh kongsikan apakah warna tudung dan pakaian yang sesuai untuk menaikkan seri penampilan?

-EVI ZAFRAN, 29, KOTA KINABALU, SABAH

JAWAPAN

MENARIK soalan ini untuk diulaskan. Sebelum itu, cuba fikirkan kembali. Pernah tak mengalami situasi yang mana anda memakai tudung warna hitam ke pejabat dan rakan sekerja asyik memuji penampilan tersebut.

Bagaimanapun, keesokan harinya tudung warna kuning pula menjadi pilihan, tetapi tidak mendapat respons positif daripada orang sekeliling sehingga ada mengatakan anda kelihatan pucat dan tidak berseri.

Ini bermakna anda mempunyai pengaruh terhadap warna digayakan. Adakah seseorang itu harus mengenal pasti kesesuaian nuansa tudung atau pakaian yang ideal untuk dirinya?

Jawapannya, ya! Terutamanya bagi wanita yang malas atau kurang selesa bersolek. Ini disebabkan apabila menggayakan tudung atau busana warna ideal secara tidak langsung wajah tampak lebih berseri walaupun hanya mengaplikasikan solekan nipis.

Selain itu, selepas mengenali palet warna bersesuaian dengan warna kulit dan personaliti, maka kita dapat menjimatkan masa khususnya ketika sesi memilih pakaian untuk ke pejabat, kuliah atau bersantai.

tip cantik

Iklan

Pada masa sama, dapat mengelakkan pembaziran membeli koleksi hijab atau pakaian variasi warna yang kurang bersesuaian. Maklumlah, pada pandangan mata wanita semua rona itu nampak cantik, sedangkan apabila dipakai tidak kena gaya. Rugi sahaja.

Justeru, bagaimana caranya untuk mengenali warna-warna ideal? Terdapat beberapa tip mudah yang boleh dipraktikkan. Antaranya menerusi memilihan tudung seperti:

– Letak cermin solekan di dalam kamar peribadi yang mana limpahan cahaya tidak terlalu terang dan terlampau suram.

Iklan

– Kemudian, duduk di depan cermin lalu pakai helaian tudung warna pilihan dan rapat pada wajah.

– Selepas itu, lihat sama ada rona berkenaan membuatkan lingkaran hitam bawah mata nampak lebih gelap atau sebaliknya. Jika lingkaran hitam bawah mata bertambah gelap ini bermakna warna itu harus dielakkan.

– Seterusnya, pastikan warna berkenaan tidak menyebabkan garisan senyuman, garis halus atau kedutan jelas kelihatan.

– Pada masa sama, pastikan rona terbabit tidak mewujudkan bayang-bayang di sekitar bawah rahang. Ingat ya bahawa siluet gelap akan menyebabkan wajah kita tidak berseri dan kusam.