AIR kencing adalah bahan kumbahan cecair badan yang disingkir oleh buah pinggang melalui proses penapisan daripada darah yang dikenali sebagai kencing dan dikeluarkan melalui urethra.

Mengulas lanjut mengenai itu, Pengamal Perubatan Am, Dr Zubaidi Ahmad ada hujahnya.

Katanya, buih dalam air kencing menunjukkan seseorang individu itu mempunyai banyak kandungan protein dalam air kencing.

“Antara puncanya adalah akibat mula mengalami masalah fungsi buah pinggang.

“Secara mudahnya ginjal mula rosak,” jelasnya.

Memperincikan lebih terperinci, ujar Dr Zubaidi, protein yang keluar ke dalam air kencing berlaku kerana proses penapisan yang dilakukan oleh struktur dalam ginjal tidak dapat melakukannya dengan sempurna, menyebabkan protein dalam darah dapat melepasi penapisan dan masukkan ke dalam untuk air kencing.

“Oleh itu, buih dalam air kencing adalah sesuatu yang agak serius jika individu itu bukan wanita hamil atau tidak dalam keadaan dehidrasi selain tidak mengambil suplemen minuman atau makanan yang mempunyai protein yang tinggi seperti daging atau produk tenusu,” kongsinya.

Selain daripada tanda kerosakan buah pinggang, buih dalam air kencing juga boleh menandakan beberapa penyakit lain.

“Antaranya adalah jangkitan pada pundi kencing atau ia dikenali sebagai kencing kotor.

“Ini kerana kuman yang berada ke dalam pundi dan saluran kencing lalu melepaskan gas yang menyebabkan buih,” beritahu beliau.

Iklan

Artikel berkaitan: Patuhi amalan, pantang larang khusus untuk penjagaan buah pinggang

Selain kencing berbuih, seseorang yang mengalami jangkitan kuman pada pundi kencing juga akan mengalami rasa sakit ketika membuang air kencing.

“Dehidrasi juga boleh menyebabkan kencing berbuih,” katanya.

Jika seorang individu itu melihat buih dalam air kencing dalam masa atau keadaan tertentu atau ia berlaku hanya sesekali maka tiada apa yang perlu dibimbangkan.

Iklan

“Bagaimanapun, jika melihat air kencing berbuih setiap kali membuang air kecil, saya mencadangkan agar melakukan pemeriksaan yang lebih lanjut
.
“Ia kerana besar kemungkinan beliau mula mengalami masalah kerosakan buah pinggang (ginjal),” pesannya.

Semoga bermanfaat.