Kim Seri mohon maaf, janji bayar duit pelanggan dalam masa 2 bulan. ‘Tidak dapat lunaskan sekali gus’

No Image Caption
A
A
A

PERSONALITI media sosial yang kini bermastautin di Korea Selatan, Kim Seri membuat permohonan maaf di laman sosial susulan dakwaan penipuan pelanggan sehingga menyebabkan kerugian hampir RM400,000.

Kim Seri atau nama lengkapnya Seri Azlina Mohamed Sani menerusi Insta Story memuat naik permohonan maaf atas segala kesulitan yang berlaku berpunca daripada pihaknya.

"Saya menulis kenyataan ini memaklumkan kepada semua pelanggan yang saya hormati.

"Pertama sekali saya ingin meminta maaf dengan setulus hati atas segala kebimbangan dan kesulitan yang telah saya timbulkan. Saya sedang berusaha sedaya upaya untuk menyelesaikan masalah ini," titipnya.

Ibu kepada tiga cahaya mata itu juga berharap orang ramai memahami situasi sedang dihadapi dan memaklumkan sedaya upaya berusaha melangsaikan tunggakan.

No Image Caption

"Saya memohon agar anda dapat memahami bahawa pada masa ini, saya tidak dapat untuk melunaskan jumlah pemulangan secara sekaligus.

"Saya ingin memberi jaminan bahawa saya akan menyelesaikan masalah ini melalui pelan pembayaran seperti berikut iaitu semua jumlah tertunggak akan dibayar sebelum atau pada 1 Februari 2025," katanya.

Beliau malah berjanji akan bekerjasama memberi butiran dokumen kepada pelanggan yang terjejas sewaktu menggunakan perkhidmatannya pada hari ini.

"Saya berjanji akan memikul tanggungjawab sehingga akhir dan memohon kerjasama serta kefahaman anda semua.

No Image Caption

"Dokumen penyelesaian untuk para pelanggan berdasarkan perkara di atas akan diberikan esok (hari ini) kepada semua pelanggan yang telah membuat tempahan sebelum ini," kongsinya.

Menerusi hantaran yang berbeza di platform yang sama, Kim Seri memberitahu dia pasrah jika hidupnya berakhir di jeriji besi.

"Jika jalanku nanti bawanya dengan rotan dan digantung tali, aku pasrah.

"Ia bukan lagi tentang rasa tenang dan takut, sekarang tentang redha dan pasrah. Setelah segala percubaan dalam menemukan jalan, ia masih didatangkan dengan pelbagai ujian," ujarnya.

Baru-baru ini tular beberapa video dipercayai menjadi dimuat naik mangsa kepada pakej pelancongan yang ditawarkan Kim Seri.

Rata-rata mereka berdepan dengan pelbagai masalah sepanjang trip percutian ke Korea Selatan dan masalah itu mula timbul sejak mereka masih berada di Malaysia.

Artikel berkaitan:

Sukar dapat kerja sebab berhijab, bekas guru & TikTokers ini akhirnya buka restoran halal di Korea!

Sementara itu, polis menerima lima laporan berhubung dakwaan menjadi mangsa penipuan pakej pelancongan ke Seoul, Korea Selatan yang dikendalikan pempengaruh dan usahawan berkenaan.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Sulizmie Affendy Sulaiman mengesahkan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi menerima laporan berhubung perkara itu namun dijadikan laporan luar kawasan.

‘HARI INI DITENDANG, KEJAM YA DUNIA PERNIAGAAN’ – KIM SERI

Susulan terpalit isu menipu pelanggan, wanita berusia 38 tahun itu juga mendedahkan terkejut apabila mendapat tahu restoran halal tiga tingkat di Myeondong, Seoul yang terdahulu diusahakan bukan lagi miliknya.

"ALLAH tahu siapa yang dahulu berusaha keras mendapatkan kedai ini dulu daripada pemiliknya. ALLAH tahu penat lelah memulakannya.

"Berbulan-bulan draf rangka dan hias reka. Hari ini ditendang tiba-tiba. Kejam dunia perniagaan. Selamat datang ke dunia muka-muka.

"Selamat tinggal Kimseri Restaurant," kongsinya.

No Image Caption

Perkara itu dikongsikan menerusi hantaran IG Story. Hantaran tersebut menunjukkan tangkap layar individu meminta orang ramai tidak ‘menyerang’ WhatsApp restoran tersebut kerana perniagaan tersebut sudah bertukar hak milik.

Sementara itu, pemilik baharu restoran tersebut menyatakan hal-hal berkaitan isu tular ketika ini tiada kena mengena dengannya.

“Salam. Hal tentang Kim Seri, Investor Restaurant, Tour, Guest House atau sebagainya adalah diluar bidang kawalan saya.

“Segala urusan berkenaan bisnesnya yang lain, tiada kena mengena dengan saya. Saya tak tahu dan tak terlibat. Nama saya untuk dibayar. Boleh rujuk kepada Kim Seri Eina Sani.

“Harap maklum dan terima kasih. Semoga dipermudahkan urusan dia,” tulisnya.

Pada masa sama dia meminta orang ramai berhenti ‘mengganggu’ dirinya berhubung isu yang sedang tular kerana pihaknya tidak terlibat.

Pemilik restoran berkenan juga tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan sekiranya masih ada yang masih berbuat demikian.

Sumber: Instagram

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi

Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang