Sukar dapat kerja sebab berhijab, bekas guru & TikTokers ini akhirnya buka restoran halal di Korea!
PENGALAMAN tidak diterima bekerja disebabkan memakai tudung membuatkan bekas guru dan TikTokers yang mesra disapa Kim Seri akhirnya berjaya membuka restoran sendiri.
Perkongsian tersebut didedahkan menerusi laman TikTok miliknya sehingga meraih perhatian dan pujian ramai.
"Waktu itu, saya tinggal serumah dengan teman dari Indonesia. Beliau membuat kerja sampingan dari 8 malam hingga 5 pagi.
"Kebetulan beliau bukan Islam jadi tidak memakai hijab ke tempat kerja. Katanya di kilang ada mahu pakai orang. Jadi, beliau cakap jika saya berminat boleh datang temuduga," katanya.
Keesokan harinya, beliau terus ke kilang berkenaan untuk temuduga pada pukul 10 pagi.
"Ketika sesi bersama bos kilang, semua okey cuma beliau memberi satu syarat iaitu bila masuk dalam kilang saya kena buka tudung. Jadi, saya tolak kerja tersebut," ceritanya yang turut mendapat jawapan sama tatkala memohon kerja di tempat lain.
Berkat kesungguhan dan doa ahli keluarga, impian pemilik nama sebenar Seri Azlina Mohamed Sani tercapai apabila tertubuhnya restoran tiga tingkat yang terletak di Myeondong, Seoul.
"Berpegang kepada prinsip dan percaya setiap rezeki itu datang daripada ALLAH, maka saya berusaha membuka restoran sendiri iaitu Kimseri Restaurant," ungkap wanita berusia 37 tahun itu tatkala ditemu bual SinarPlus secara maya.
Selain itu, ibu kepada tiga cahaya mata itu turut mengakui ramai yang meminta beliau berbuat demikian memandangkan di sana sukar untuk mencari makanan Malaysia.
"Sengaja saya menyajikan masakan Malaysia kerana ia mendapat permintaan tinggi. Secara peribadi, saya sendiri begitu merindui masakan dari Malaysia.
"Malah, saya juga dapat perkenalkan menu dari negara kita kepada orang Korea. Setakat ini, menu istimewa yang banyak ditempah ialah gulai lemak ayam cili api dan ayam kicap pedas," ujarnya yang sudah dua tahun menetap di Korea.
Baca lagi Dapat peluang guna wajah Datuk Rosyam Noor, sales usahawan ini naik mencanak
MASALAH BAHASA
Menyentuh soal cabaran berniaga di tempat asing, ujar Kim Seri, banyak yang perlu beliau lalui. Salah satunya adalah masalah bahasa.
"Saya juga perlu menghadiri banyak kursus sebelum membuka kedai. Bukan itu sahaja, saya turut mengalami masalah kekangan masa terutama hal-hal berkaitan membuka premis.
"Bukan itu sahaja, saya juga harus memikirkan tentang tapak yang strategik, kena ambil tahu hal-hal berkaitan undang-undang terutama pengambilan pekerja Malaysia. Itu belum bab masalah bahasa kerana ada yang kurang fasih bahasa Korea," jelasnya.
Kim Seri pada masa sama turut melahirkan rasa syukur dan berterima kasih kepada ahli keluarga yang sentiasa memberi sokongan buat dirinya.
"Famili saya jenis menyokong sepenuhnya apa yang saya buat asalkan membawa kebaikan. Daripada menyambung pengajian di sini (Korea) sehinggalah mengambil keputusan membuka bisnes di sini, mereka tidak pernah membantah," ujarnya yang secara rasmi membuka restoran berkenaan pada 3 September yang lalu.
JANGAN AMBIL HATI, MUDAH EMOSI
Ditanya bagaimana sambutan dan penerimaan penduduk di sana, jelas tuan punya badan, jiran-jiran antara insan terawal yang memberi sokongan.
"Selain orang Malaysia, jiran-jiran di kawasan kedai selalu berkunjung ke restoran saya. Begitu juga rakan-rakan orang Korea terutama rakan-rakan universiti dan pensyarah.
"Mereka tidak ketinggalan untuk mencuba masakan kami. Puji mereka, makanan dari Malaysia sedap," ujarnya lagi.
Sempat melayangkan beberapa tip dalam meneruskan kehidupan di tempat asing, kata Kim Seri, paling penting kena selalu cekal dan tabah serta tidak mudah putus asa.
"Satu pesanan saya, kena fikir sebab kenapa mahu berada di sini. Jangan sia-siakan waktu yang ada untuk mencapai impian. Selain itu, jangan mudah ambil hati dan emosi dengan orang tempatan lebih-lebih lagi jika berkaitan dengan hijab.
"Anggap sahaja mereka tidak tahu. Alhamdulillah, saya selalu bertemu orang yang baik-baik dan selalu membantu," ujar Kim Seri sebelum mengakhiri perbualan bersama penulis.
Sumber gambar: Instagram kimseri_eina
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Twitter, Instagram, Threads, YouTube & Tiktok SinarPlus. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi.
Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi
Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang